Oleh: Hassan Ahmad (email Fudzail)
SEMUA kerajaan di dunia menganggap bahawa kesalahan paling besar yang boleh dilakukan oleh warganya terhadap negara dan bangsa ialah “menderhaka” kepada negara itu. Tanggapan ini ada kaitannya dengan konsep setia pada negara. Orang yang setia pada negaranya tidak akan menderhaka kepada negaranya. Perasaan setia atau cinta pada negara boleh lahir secara spontan, yakni tidak dipaksa-paksakan oleh sesiapa atau mana-mana “pihak berkuasa”. Perasaan ini boleh disebut sebagai perasaan asaliah. Orang berasa “terikat” kalau tidak pun “cinta” pada tanah airnya kerana itulah tempat tumpah darahnya, atau tempat lahir nenek moyangnya. Di situlah “kampung halamannya”, di situlah dia mencari rezekinya, dan di situlah dia dan keluarganya hidup dan mati. Pepatah Melayu “hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri” atau “di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung” menunjukkan perasaan taat dan setia yang tulen pada tanah airnya, pada negerinya atau menurut istilah baru, “negara”nya. Selalunya, dalam keadaan biasa, orang tidak menyedari adanya perasaan ini dalam sanubari mereka. Kesedaran ini timbul dalam keadaan tertentu, misalnya apabila negara atau tanah air mereka diancam oleh musuh dari luar. Dalam keadaan demikian, kesetiaan rakyat terhadap negaranya akan teruji. Orang akan bersatu padu untuk menentang musuh luar itu, malah mereka sanggup menyabung nyawa untuk memper tahankan tanah airnya daripada serangan dan pencerobohan musuh asing.
Dalam keadaan biasa, kesetiaan rakyat terhadap tanah airnya tidak perlu dipersoalkan. Orang Melayu yang berasal dari kawasan yang disebut sebagai “Tanah Melayu” atau “Negeri Melayu” sejak turun temurun, tentu tidak perlu diseru setiap hari supaya menumpahkan taat setia “yang sejati” terhadap negeri ini, walaupun, kalau ditanya tentang buktinya, mereka mungkin tidak dapat memberi jawapan yang “objektif”. Perasaan mereka selalunya “subjektif”, berdasarkan emosi. Kesetiaan mereka pada negeri dibentuk, secara sedar atau tidak, oleh kesedaran perpaduan atau kesatuan asal usul (sejarah, misalnya), bahasa, dan budaya yang sama. Inilah faktor yang sering melahirkan kesedaran atau semangat nasionalisme. Perasaan cinta dan kesetiaan terhadap negara baru wujud setelah terbentuk kesedaran nasionalisme ini, walaupun tidak bererti bahawa tanpa nasionalisme negara tidak wujud. Masalah kesetiaan pada negara sering timbul di negara pelbagai bangsa.
Dalam negara pelbagai bangsa, soal cinta atau setia terhadap negara tidak perlu berdasarkan emosi, perasaan asaliah, dan semangat kebangsaan atau nasionalisme. Tidak semua warga di sesebuah negara menganggap negara itu sebagai “tanah air” tempat tumpah darah nenek moyang mereka atau sebagai tempat asal usul sejarah bangsa mereka. Bangsa dan negara merupakan dua “konsep” atau “kesatuan” yang tidak sama. Negara orang Melayu, misalnya, tidak semestinya “Tanah Melayu” atau Malaysia. Orang Melayu boleh menjadi rakyat Britain atau Australia dari segi taraf undang-undangnya atau politiknya. Hal ini bererti bahawa orang Melayu mesti menumpukan taat setianya pada Australia atau Britain, tidak lagi pada Malaysia atau “Negeri Melayu”. Kesetiaan ini dituntut oleh undang-undang dan perlembagaan negara itu sesuai dengan tarafnya sebagai warga/rakyat British atau Australia, tetapi kecintaannya pada negara itu, dari segi perasaan etnik/bangsa atau budaya, mungkin tidak ada. Misalnya, dia mungkin tidak secara emosi menyay ang i Ratu Elizabeth sebagaimana rakyat “asli” British menyayanginya. Jiwanya, dari segi perasaan etnik atau kesedaran budaya, boleh jadi masih terpaut pada tanah air asalnya.
Bangsa ialah kesatuan budaya manakala negara ialah kesatuan politik-geografi, kedua-duanya tidak semestinya “identikal” untuk membentuk kesatuan yang disebut sebagai “negara”. Di negara pelbagai bangsa, kesetiaan etnik boleh menggantikan kesetiaan pada negara. Jika hal ini berlaku, perpaduan negara boleh pecah, seperti, misalnya, di Sri Lanka apabila bangsa Tamil berperang untuk menubuhkan negeri (negara) sendiri di negara itu. Untuk mengatasi masalah seperti ini, penduduk pelbagai bangsa sering diseru oleh kerajaan supaya bersemangat patriotik pada negara. Istilah ini menggantikan istilah nasionalisme yang dianggap berbau etnik atau bangsa manakala patriotisme bererti “setia dan cinta pada negara” semata-mata, mengatasi setia dan cinta pada bangsa masing-masing. Berbagai-bagai cara dirancangkan untuk membentuk semangat patriotik itu.
Lagu patriotik yang memuja negara atau institusi dan lambang negara, seperti bendera kebangsaan dan raja, dicipta dan dinyanyikan di radio dan di televisyen. Rukun Negara atau ideologi negara dicipta dan rakyat diseru supaya berfikir dan mengamalkan cara hidup berdasarkan ideologi itu. Tetapi kesetiaan atau semangat patriotik tidak semestinya dapat dibentuk dengan cara demikian. Golongan elit negara, misalnya golongan profesional, golongan cendekiawan, dan golongan korporat perniagaan, mungkin tidak tertarik dengan kempen itu dan mungkin menganggapnya sebagai “slogan politik” kerajaan. Bagi mereka, nilai objektif dan rasional lebih penting daripada emosi dan perasaan dan slogan yang bercorak propaganda untuk mendorong semangat setia pada negara. Bagi mereka, sistem, dasar, dan amalan kerajaan yang adil, telus, dan cekap lebih penting daripada nyanyian dan muzik patriotik.
Kekeliruan yang serius tentang “konsep” setia pada negara boleh timbul apabila orang cuba mentakrif “konsep” ini berdasarkan ideologi tertentu atau berdasarkan kehendak pemimpin atau kerajaan. Setia pada negara mula disamakan dengan kesetiaan pada ideologi negara atau pada pemimpin negara atau kerajaan. Cara ini sebenarnya merupakan saki baki sistem feudal dan secara sedar atau tidak, rejim diktator zaman moden mengekalkan sistem itu dalam bentuk yang baru, misalnya dengan menggunakan ideologi (komunisme, sosialisme), dan rukun negara sebagai alat untuk membentuk atau menguasai minda/fikiran rakyat menurut kehendak pihak yang berkuasa. Dalam sistem feudal, taat dan setia pada negeri bererti “taat” atau setia pada raja dan pembesar raja. Demikian juga halnya dalam sistem pemerintahan zaman moden yang mengekalkan cara feudal itu, yang terdapat bukan sahaja dalam sistem kediktatoran tetapi juga dalam sistem demokrasi. Dalam kedua-dua sistem itu ideologi selalunya digunakan untuk mengarah pemikiran dan perasaan rakyat – selain, tentunya, petugas kerajaan – supaya taat dan setia pada kerajaan atau pemimpin, bukan pada negara. Biasa kita mendengar pemimpin kerajaan dalam sistem demokrasi, terutama di negara yang sedang membangun, menyeru rakyat supaya “berdiri di belakang kerajaan” (yakni, menyokong kerajaan). Seruan ini biasanya dibuat semasa negara sedang menghadapi masalah tertentu mungkin kerana kelemahan kerajaan atau pemimpin kerajaan, padahal dalam sistem demokrasi tidak semua rakyat menyokong kerajaan. Ini hak politik mereka. Di beberapa buah negara, terutama negara yang dahulunya diperintah oleh sistem komunis atau diktator, percubaan untuk menentang atau menggulingkan pemimpin yang zalim, atau kritikan terhadap ideologi negara yang dititahkan oleh pemimpin yang zalim itu, dianggap sebagai perbuatan menderhaka pada negara. Hukumannya berat, hukum bunuh. Tanda orang yang tidak setia pada negara bukan terletak pada sama ada dia menyokong atau tidak menyokong kerajaan atau ideologi negara, tetapi pada tanda lain yang boleh dibuktikan secara sah bahawa dia memang tidak setia pada negaranya. Contoh yang paling biasa adalah apabila orang itu bersubahat dengan “musuh” dari luar negara untuk merosakkan negaranya sendiri. Apabila negaranya sedang diserang oleh kuasa asing (dalam peperangan, misalnya), orang itu menjadi tali barut atau upahan atau pengintip bagi pihak kuasa asing itu. Perbuatannya bermacam-macam jenis, misalnya dia mencuri dan menjual rahsia strategik negara kepada musuh asing itu. Orang seperti ini biasanya dianggap sebagai pengkhianat negaranya, walaupun boleh jadi dia kelihatan sangat kuat menyokong kerajaan atau pemimpin tertentu – walaupun mungkin sokongannya itu pura-pura atau muslihat sahaja. Orang yang setia pada negaranya tidak akan melakukan perbuatan seperti itu, walaupun boleh jadi dia bukan penyokong kerajaan. Namun, ada kalanya rakyat rela menerima “campur tangan” kuasa asing untuk menggulingkan kerajaan atau pemimpin yang kejam dan zalim yang tidak dapat ditentang dengan usaha sendiri. Tujuannya tentulah untuk menyelamatkan negara daripada kemusnahan di tangan pemimpin mereka sendiri. Contohnya, campur tangan Vietnam di Kemboja untuk menggulingkan kerajaan Pol Pot yang bertanggungjawab membunuh lebih satu juta rakyat Kemboja atas nama “ideologi”. Seorang pemimpin bangsa Thai dituduh “bersubahat” dengan tentera Jepun dalam Perang Dunia II kerana membenarkan atau tidak menentang kemasukan tentera Jepun ke Thailand (untuk membolehkan “tentera musuh” menggunakan Thailand sebagai jalan pintas untuk menuju ke selatan, ke Tanah Melayu). Pemimpin Thai itu mempertahankan tindakannya dengan berkata bahawa dia berbuat demikian untuk menyelamatkan negerinya daripada serangan Jepun. Adakah perbuatan itu boleh dianggap menderhaka pada negara dan bangsa? Hal ini bergantung pada niat pemimpin Thai itu, jika tindakannya didorong oleh perasaan setia dan taat pada negara atau tanah airnya dan bangsanya, tidak ada sebab mengapa dia patut dituduh sebagai penderhaka atau pengkhianat. Orang setia atau mencintai negaranya bukan kerana dipaksa oleh kerajaan atau ideologi, tetapi kerana kesedaran bahawa itulah tempat dia mendapat perlindungan daripada kezaliman dan penjajahan. Dia setia bukan pada pemimpin secara peribadi tetapi kerana visi dan prinsip kebaikan yang diwakili oleh institusi negara: prinsip keadilan sosial, undang-undang, ekonomi, dan budaya.