APANYA, ERMA FATIMA? (Reaksi)

Oleh: Faisal Tehrani


ERMA FATIMA tidak perlu lagi diperkenalkan rasanya kepada peminat seni tanahair. Bagi mereka yang pernah menonton filem pertama arahannya, Jimi Asmara, tentu masih mengingati keseronokan yang ditawarkan. Muzik 50 an hingga ke zaman pop yeh-yeh, dan cinta antara dua darjat. Kali ini, sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, Erma kembali dengan filem kedua karyanya - Perempuan Melayu Terakhir.

Adengan pertama, audien disogokkan dengan kemunculan Tiara Jacquelina (sebagai cameo) bermain teater Inggeris. Penonton yang hadir boleh dibilang dengan jari. 'Orang di belakang' teater yang gagal itu, Heikal (dilakonkan oleh Eizlan Yusof) menoleh ke kiri kanan, melihat penonton menjawab telefon, berbual dan tidur. Kemudian kelompok aktivis teater Inggeris digambarkan berlaga gelas merai 'kejayaan' pementasan dengan champagne (kerana rasanya ia bukan air jus). Cuma Heikal yang muram mengetahui 'ada sesuatu telah hilang' dalam karyanya itu. Zahim Al-Bakri dan Jit Murad selaku kawan-kawan Heikal, memujuk, memang orang Malaysia tidak tahu menghargai teater apatah lagi yang Inggeris! Namun kehilangan tetap kehilangan, dan kerana itu Heikal ingin mencari Melayunya terutama didorong oleh wasiat arwah isteri.

Cerita berjalan ke Terengganu (mengapa iya Terengganu?) di mana Heikal dan Zulaikha (lakonan Nanu Baharuddin, teman wanitanya yang berjiwa merdeka) berehat menenangkan fikiran di sebuah hotel milik Pak Engku dimainkan oleh Ahmad Yatim.

Kemudian dengan heboh mencari Melayu, Heikal tiba-tiba merasakan jatuh cinta dengan penari mak yong, Mustika, yang juga 'orang kuat' hotel. Erma kemudian seperti sengaja mencipta kontroversi, dihadirkan watak Engku Leh, anak Pak Engku dan tunangan Mustika yang baru pulang dari luar negara dan ekstrim dalam melaksanakan agama. Erma Fatima mungkin terkesan atau terpengaruh dengan metodologi dakwah dan pemerintahan Taliban di Kabul - Engku Leh yang fanatik (memang sangat fanatik!) membina rumah dari kayu dan daun nipah, azan dari atas pokok, berlatih bersilat menggunakan pedang untuk berjihad menentang kemaksiatan iaitu mak yong dan jangan lupa, berdemonstrasi dengan antara lain slogannya 'Islam Itu Bererti Mengadap dan Menyerah!' Lelaki pengikut Engku Leh janggutnya panjang ke dada, celak hitam di bawah pelupuk mata mengerikan. Wanita di perkampungan kelompok fanatik ini bertudung litup dan kemudian Mustika datang membantah di pondok bakal suaminya. "Apakah berkopiah berserban dan bertudung litup itu baru dinamakan Islam?" Lain saja !

Ada penonton tertawa sekuat hati, entah menggelakkan Erma Fatima dan karyanya atau bodohnya pengikut Engku Leh bila Mustika yang dilakonkan oleh Vanidah Imran berbaju ketat hitam melatih anak-anak mak yong sambil bersahut "ini bukan maksiat."

Ada lagi, perhatikan adengan erotik Mustika dibuai nafsu mengkhayalkan Heikal menyentuh kujur badannya dan diselang-seli dengan adengan zikir Engku Leh dan makmum La Ila HaIllallah yang makin rancak dan makin rancak.

Setiap tutur kata Engku Leh sebetulnya waras, wajar dan rasional, penonton tahu itu, tetapi kerana Engku Leh telah didatangkan dengan pakej seperti seorang pegawai penguatkuasa Taliban di tengah bandar Kabul maka audien merasakan kesesatannya. Jika watak Engku Leh berpakaian biasa dan tidak berserban berkopiah dan menyebut "abang tidak mahu kau terus dalam kesesatan" tentu tidak kelihatan 'jahatnya', justeru dengan memakaikan janggut panjang dan azan di atas pokok di tengah sebuah pulau atau perkampungan terpencil terasalah Islam itu sempit. Aduh lagi-lagi begini!

Cinta Mustika dan Heikal terus berputik dan Melayu yang dicari Heikal entah ke mana apabila Mustika mengikut Heikal pulang ke Kedah, Engku Leh tertekan dan menculik anak Heikal, Sofiah. Mustika dan Heikal menuntut bayi itu semula tetapi yang terjadi pergelutan di dalam air. Dan di balik latar langit jingga dengan tampalan puisi Iqbal (entah kenapa dan entah difahami atau tidak isi puisi mistik tersebut) Engku Leh perlahan-lahan insaf.

Sebagai perempuan Melayu mempertahankan maruah dan kesucian diri, Mustika tetap mengahwini Engku Leh walau hatinya memang ada rasa cinta terhadap Heikal. Entah bagaimana Heikal seperti berhasil mencari Melayunya dan teater Melayunya yang pertama disambut meriah.

Filem ini sebetulnya tidak ada apa-apa. Tarafnya tinggi lebih sedikit dari Nafas Cinta yang dibintangi Awie dan Maizurah Hamzah. Bumbu cinta tiga segi dikarut-marutkan dengan isu mencari Melayu dan perjuangan Islam akhirnya ditewaskan begitu sahaja. Erma nampak pintar bermain kamera dengan bucu-bucu kreatif hatta mengambil peluang meninjau di bawah kain Engku Leh. Ada penonton ketawa besar kerana kamera memfokus watak tersebut (dilakonkan dengan berkesan oleh Azri Iskandar) dari bawah ketika Engku Leh sedang memanjat tangga untuk melaungkan azan.

Adengan Heikal mendayung ke Masjid Terapung contohnya boleh menjadi menarik tetapi ia nampak sesekali melucukan. Erma Fatima juga seperti mahu memuatkan segala ilmu barunya yang digali dari karyawan Indonesia dengan pelbagai metafora yang kadang-kala tidak perlu. Beberapa adengan awal Engku Leh yang tidak menampakkan wajahnya, nampak disengajakan dan terasa benar mengada-ngadanya. Begitu juga adengan penyerahan bayi dari Mustika ke pangkuan Heikal yang diulang dua kali dan adengan malam pertama Engku Leh dan Mustika adalah lewah. Meletakkan 'terlalu banyak' yang diketahui juga masalah.

Penataan muzik dan bunyi oleh Maman dan Azman Abu Hassan memuaskan dan banyak membantu menghidupkan 'mood' filem. Barangkali terlalu banyak tangan 'yang mencantikkan' skrip filem ini antara sebab mengapa Perempuan Melayu Terakhir sedikit 'ditarik ke atas tidak menutup hujung rambut ditarik ke bawah tidak melindung hujung kaki'. Lalu permainan kamera yang lambat tetapi menarik didokong dengan subjek yang cuba menjadi intelek tetapi tidak kesampaian; menyebabkan penonton tertanya-tanya apa ingin dihantar atau apa yang telah terhantar.

Eizlan Yusof merosot lakonannya berbanding di dalam Panas. Namun filem ditolong oleh Vanidah Imran selaku Mustika yang dikira berkesan, dan penampilan sekian cameo termasuk penyair J.M Aziz dan M. Nasir mempesonakan juga.

Di akhir filem kita tertanya-tanya Melayu tidak, cinta tidak, Islam dikerangkakan dalam batas sempit dan apanya Erma Fatima?

Erma memang berpotensi menjadi pengarah yang baik tetapi dari segi penceritaan di lain kali barangkali boleh disarankan supaya orang lain sahaja yang menulis untuknya atau adaptasi sahaja mana-mana karya sastera kita untuk difilemkan seperti lazimnya budaya Hollywood. Kerana filem bukan sekadar teknik dan permainan kamera, hujan dan metafora atau lakonan yang baik, tetapi filem mesti sebuah karya yang ada isi dan tidak kesasar wacananya. Filem sebagai satu ekspresi seni akan kelak pulang untuk dilihat intinya dan ini didatangkan dari keupayaan minda pengkarya. Atau tidak nanti akan ditanyakan lagi; apanya?

Pun Perempuan Melayu Terakhir adalah cubaan baik dan berani untuk mereka yang telah jelak menonton Awie dan cinta dua darjat antara pemuzik dan gadis kampung.


BALIK