Make your own free website on Tripod.com
Ilmu perubatan dalam cerpen Zaharah Nawawi

Oleh: Mawar Shafei


SEJAK akhir-akhir ini sering saja khalayak dan peneliti sastera Melayu meniruskan pemerhatian mereka kepada para pengarang mutakhir atau yang digelar pengarang generasi baru. Garis selari yang sering digandingkan dengan pengarang kelompok mutakhir ini ialah kecenderungan mereka memuatkan ilmu luar sastera sebagai bahan dalam kebanyakan cerpen mereka. Malah akibat daripada menyatukan ilmu luar sastera dengan kreativiti, gaya bahasa pengarang dekad mutakhir ini juga dikatakan lebih segar dan bersifat mewakili yang terkini dalam genre cerpen tanahair khususnya.

Namun sebenarnya kerja membaurkan ilmu luar sastera dengan kreativiti dalam cerpen sudah berlaku lebih awal di tangan para pengarang; yang jauh lebih mapan serta kawakan. Jika Nisah Haji Harun kerap dikaitkan dengan ilmu guamannya, khalayak/peneliti perlu juga melihat upaya Ishak Haji Muhammad yang lebih awal menggandingkan ilmu tersebut lewat cerpennya. Begitu juga khalayak/peneliti yang terkesan dengan pengembaraan Faisal Tehrani, Hizairi Othman dan Uthaya Sankar SB ke luar negara - berkenalan dengan warna peribadi, budaya, politik dan ekonomi mereka - itu juga ada lebih awal ditulis Abdullah Tahir, Anwar Ridhwan, Siti Zainon Ismail dan Zaharah Nawawi.

Malah lebih daripada itu Zaharah Nawawi, pengarang yang diteliti dalam tulisan kali ini membaurkan dengan harmoni pelbagai ilmu luar sastera lain. Contohnya cerpennya “Kuda lumba” (Dewan Sastera, Disember 1995) dengan ilmu guaman, “Gagal” (Mastika, April 1970) dengan ilmu fotografi dan “Suara Ombak” (Dewan Budaya, Julai 89) dengan ilmu pelayaran dan strategi peperangan di laut. Begitu juga Zaharah Nawawi menyelitsama ilmu ekologi dalam “Lopak” (Dewan Sastera, November 1993), “Bola Hitam” (Mingguan Malaysia, 15/10/1989) tentang snooker dan “Pemain catur” tentang catur (Mingguan Malaysia, 6/12/1998 ).

Namun yang agak ketara antara ilmu-ilmu luar sastera yang kerap diangkat pengarang ini ialah ilmu perubatan. Cerpen terbaru yang memanfaatkan ilmu luar sastera ini ialah “Doa” (Dewan Sastera, Januari 1999) di samping beberapa cerpen lain seperti “Perjalanan sperov” (Dewan Sastera, Februari 1994), “Perjalanan yang jauh” (Dewan Sastera, Januari 1995) dan “Pneumoultramicroscopicsilicouolcanoconisis” (baca: Neumo ultra mikro skopik siliko keno konai sis) (Dewan Sastera, Julai 1995).

“Perjalanan sperov” ternyata merupakan satu latar intrinsik dan bersifat fisiologi. Proses pertemuan=persenyawaan antara sper=sperma dengan ov=oum diceritagerakkan dalam latar masa lapan hari, persis catat pengarang di baris akhir, “Kini ia baharu berada di peringkat janin berusia lapan hari.” (hlm. 27). Walaupun pengarang memendekkan isitilah-isitilah semasa persenyawaan berlaku, ia ternyata masih menuntut penyelidikan yang terinci. Misalnya secara teori, sperma akan ke uter=uterus sebelum bercantum dengan ov=ovum. Perlu juga ia ke ruang fal=fallopia. Seterusnya pengarang menerangkan cantuman sperov=sperma+ovum akan terbahagi dua, empat, lapan enam belas= dan seterusnya sebelum tiba di kaviti= untuk melekat di dinding fallopia membentuk fetus.

Di samping menggerakkan sper, pengarang menyelitkan kritikan sosialnya dengan memberi imej wanita yang sedang mengandung itu ialah perokok, peminum dan penagih. Latar ini diwarnakan pengarang dengan tindakbalas sperov setiapkali “asap beracun yang tebal akibat kebakaran timbunan daun tembakau dari kilang rokok” (hlm. 26), “air panas berbisa, berbusa dan busuk” (hlm. 26) dan “sesuatu yang metah pahit dan berbisa... sperov mabuk, khayal dan khali” (hlm. 27), menyelinapi sekitaran sperov.

“Ov,” seru sper perlahan.

“Ov, oh ov.”

“Ov. Datanglah sebelum waktu penantian ini berakhir. Masa cuma tinggal 10 minit, ov.” Sper bergolek-golek di awangan. Dia resah. Gelisah.

Dialog yang berlaku antara sper dan ov serta pergerakan mereka, kelihatan dramatik. Untuk mengampuhkan setiap tindakan sper, pengarang turut menggandingkan beberapa petikan kata-kata tokoh falsafah dunia seperti Confucius, Marden, Umar al-Khattab dan Daryanto.

“Perjalanan yang jauh” sedikit berkaitan dengan “Perjalanan sperov” apabila Zaharah Nawawi mengangkat latar wanita yang sedang sarat untuk bersalin. Pengarang mula membaurkan ilmu perubatannya ketika protagonis Rugayah, mengalami tumpah darah sejurus selesai daripada melahirkan anak yang kelima. Walaupun jururawat obstetrik telah memberi suntikan syntometrine, iaitu untuk mengecutkan rahim. Tetapi uterina inertia=rahim tidak mengecut masih berlaku. Justeru untuk menampung pengeluaran darah, Rugayah menerima sekampit air glukos+air garam saline dan sekampit darah.

Dr Ee ternyata mengambil tindakan segera untuk membedah Rugayah apabila, “...syntometrine nampaknya tidak berkesan. Masukkan pitocin dalam drip,” (hlm. 73). Namun selepas Rugayah disuntik ubat bius spinal di dalam tulang belakangnya, darah dan air yang disambung ke badannya tidak bergerak. Tubuh Rugayah semacam tidak menerima itu semua. Akhirnya Dr Ee memaklumkan kepada Sham, suami Rugayah menunggu sejam lagi untuk beliau benar-benar mengesahkan kematian Rugayah.

Kritikan sosial pengarang kali ini adalah terhadap kepercayaan lama bahawa kecelakaan akan menimpa sekiranya persiapan bayi disediakan awal sebelum bayi selamat dilahirkan. Kesan daripada melanggar pantang larang itu pengarang persis menyokong kepercayaan tersebut lantas membikin Rugayah hampir maut sewaktu melahirkan bayi kelimanya. Antara bauran kreativiti dan imaginasi, pengarang menggerakkan cerita roh Rugayah keluar melihat bagaimana Sham dan anak sulungnya bersolat hajat dan membaca surah yassin. Roh Rugayah juga melihat ibunya yang selama ini melarang menyiapkan barang keperluan bayi, mencampak beg yang sendat berisi pakaian untuk bayi Rugayah sambil berkata, “Emak dah kata jangan buat persiapan awal-awal. Kau berdua memang degil...” (hlm. 75).

Namun merujuk kepada dialog Sham dan Rugayah lebih awal, “... setiap yang bernyawa tidak akan mati jika tidak dengan izin Allah. ‘Kematian adalah suatu batas waktu (ajal) yang sudah ditetapkan’. Begitu maksud yang tersurat dalam al-Quran/al-Imran:145, yang saya pernah baca.” (hlm. 70), akhirnya roh Rugayah kembali ke jasadnya. Persis kata Rugayah kepada ibunya, “Gai pulang dari suatu perjalanan yang jauh...” (hlm. 75).

Cerpen “Doa” masih berlegar di kamar pembedahan bersama Dr Zuli. Pakar Perubatan Gastroenterologi ini menghadapi pesakitnya Lehan yang sebenarnya mengalami ulser peptik (sejenis barah usus). Beberapa simptom penyakit ini digambarkan pengarang sebagai “...muntah darah... diselangseli darah kehitam-hitaman memancut dari dubur setiap kali dia terasa seperti mahu buang air besar, tanpa najis sisa makanan bersamanya.” (hlm. 25). Hubungan penyakit yang ditanggung Lehan pantas ditanggap Dr Zuli sebagai kesan daripada “pengambilan aspirin, steroid dan ubat anti-inflamasi bukan steroid (Nsaids) boleh menyebabkan gastritis. Gastritis itulah yang menghakis pembuluh darah pada bahagian permukaan ulser (hlm. 26).

Kritikan sosial pengarang jelas di sekitar sikap warga tua/desa yang masih mempercayai perbuatan santau. Samsi, ayah kepada Lehan mewakili golongan yang masih berpegang kuat pada kepercayaan itu. Lihat saja pada seranah Samsi setibanya dia di wad Lehan, “Mengapa doktor cucuk mulutnya dengan getah? Itukah cara doktor memeriksanya? Dia bukannya tekak tersumbat! Dia kena santau, tahu tak? Cuma bomoh yang boleh mengubatinya (cuba menyentap endoskop dari mulut Lehan). Tetapi sebelum alat pemeriksaan bahagian dalaman itu menambahrosakkan usus, kolon atau duodenal, chron dan batang tenggorok, beberapa orang pengawal keselamatan memeluknya dari belakang. Samsi dipaksa duduk di kerusi sudut (hlm. 26).

Namun watak generasi baru, Jumat yang merupakan penuntut tahu akhir sains perubatan UKM, adik kepada Lehan telah menyelamatkan suasana. Jumat bertindak membawa abangnya menemui Dr Zuli. Malah sebenarnya dia menyelamatkan nyawa Lehan apabila Dr Zuli berjaya melakukan pembedahan ke atas abangnya itu. Walau bagaimanapun persis dialog Sham-Rugayah dalam “Perjalanan yang jauh” tentang ajal dan maut, watak Lehan dimatikan pengarang bukan sewaktu pembedahan tetapi dalam satu kemalangan jalanraya ketika dalam perjalanan pulang dari hospital; sebaik saja selesainya pembedahan.

Cerpen “Pneumoultramicroscopicsilicouolcanoconisis" mengutarakan ilmu perubatan secara tidak langsung apabila protagonis Oli memaklumkan penyakitnya kepada “aku” alias pemberita alias sepupunya. Justeru untuk mencari ubat tanpa sebarang kesan sampingan kepada penyakitnya, Oli menjalankan penyelidikan sendiri. Pengarang melalui watak Oli mengkritik risiko pengambilan ubat moden yang berisiko tinggi. Misalnya aspirin mengakibatkan urat perut pecah dan berlakunya pendarahan dalaman (hlm. 74). Ubat cirit birit pula boleh menyebabkan buta sementara ubat sakit kepala memberi kesan kepada gangguan hati, limpa dan mendatangkan penyakit kuning (hlm. 74).

Seterusnya Oli bercerita tentang Hakim Mimdad dari Parsi yang merawat sakit bintat-bintat dengan ubat Homeomerik kepada Mafiopolo sewaktu tiga bersaudara Marcopolo, Nikolopolo dan Mafiopolo ke Kithai (China) pada 1271. Oli sendiri ingin menjadi Hakim Mimdad; melakukan penyelidikan terhadap cendawan kukur dari kumpulan saprofit.

Namun sebenarnya terdapat beberapa analogi kepada keparasitan cendawan kukur yang diangkat pengarang. Melalui protagonis Oli, Zaharah Nawawi melihat keboborokan alur hidup beberapa golongan profesional seperti doktor, peguam, wartawan, politikus dan pensyarah. Dikatakan ada segelintir doktor yang hanya mementingkan wang ringgit sendiri daripada pesakit yang amat memerlukan perkhidmatan mereka. Soal keadilan dalam dunia guaman juga dipertikaikan; terdapat sesetengah peguam yang membela anak guamnya yang ternyata bersalah dan yang benar dipenjara. Sebahagian golongan wartawan pula digunakan politikus alias pemilik saham terbesar syarikat penerbitan untuk meraih kuasa. Sementara ada pula pensyarah yang bersifat jatuh-menjatuh. Atau sebenarnya penyakit Oli yang dimaksudkan pengarang adalah kebobrokan itu!

Ternyata di tangan pengarang kawakan ini, Zaharah Nawawi penuh dengan gaya ala seorang pakar perubatan turut melakukan kerja-kerja surgeri. Di kamar surgerinya: kreativiti, fakta dan pengalaman (beliau pernah bertugas di LPPKN -sebuah institusi yang kental dengan kerja-kerja perubatan) dan pembacaan yang lebar dikerjakan dengan amat teliti dan bertanggungjawab. Bukan saja memanfaatkan ilmu perubatan yang dimakluminya tetapi turut menyelitkan sama moral kehidupan dengan bahasa yang lancar dan segar.

Malah difikirkan adalah suatu yang bukan merugikan malah jauh daripada itu, satu manfaat yang besar untuk para pengarang mutakhir menoleh lantas meneliti kerja-kerja yang telah dilakukan pengarang lebih awal seperti Zaharah Nawawi. Ternyata di tangan mereka, tersimpannya kunci kotak khazanah pengetahuan dan pengalaman yang tidak ternilai harganya.


BALIK