Make your own free website on Tripod.com
DBP tegaskan pelaksanaan bahasa Melayu

Oleh: Azman Ismail (email Fudzail)


KEDUDUKAN bahasa Melayu yang dilihat sering diperkecilkan oleh pelbagai pihak sebagai alat komunikasi dalam semua sektor di negara ini memerlukan satu penegasan kembali, sesuai dengan fungsi dan eksitensialismenya.   

Ini kerana perkembangan dunia global dan kecanggihan multimedia, muncul perspektif dari segelintir masyarakat yang melihat bahasa Melayu mempunyai fungsi yang terbatas dari aspek komunikatif.   

Menghadapi alaf baru, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai institusi induk dalam memperjuangkan kedudukan bahasa, sastera dan budaya Melayu telah mengambil langkah tegas untuk kembali memperkukuhkan kedudukan bahasa Melayu dalam semua bidang.   

Ketua Pengarah DBP, A. Aziz Deraman menjelaskan penegasan semula pelaksanaan dasar bahasa ini bermatlamat untuk memperjelas dan memperkukuhkan fungsi bahasa Melayu ke arah pembinaan tamadun menjelang abad ke-21.   

Menurutnya pelaksanaan kembali dasar bahasa ini bererti usaha kepada peningkatan pemahaman dan penghayatan masyarakat terhadap Dasar Bahasa Negara dan pelaksanaan dasar bahasa tersebut.   

''Ia juga bermaksud peningkatan pembinaan aspek-aspek bahasa yang memperteguhkan sistem dalam bahasa Melayu yang memungkinkan diguna serta dikembangkan sesuai kehidupan moden dan alaf depan.  

''Di samping itu, pengukuhan ini juga bertujuan untuk membina infrastruktur bahasa Melayu dengan menekankan pelan induk pengembangan serta pelaksanaan penggunaan dalam pelbagai sektor,'' katanya.   

Pada majlis taklimat kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Khalid Yunus di DBP itu, beliau menjelaskan terdapat pelbagai tujuan utama penegasan bahasa kebangsaan tersebut.   

Antara lain ia bertujuan untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai dasar bahasa kebangsaan dalam semua sektor seperti kerajaan persekutuan, badan berkanun, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.   

Penegasan ini juga bertujuan meletakkan fungsi bahasa Melayu dalam sektor-sektor tertentu untuk keperluan negara. Antaranya, sebagai bahasa komunikatif, kesusasteraan, kesenian, ekonomi, perniagaan, sains, teknologi dan sebagainya.   

Aspek yang paling penting dalam penegasan ini ialah fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi sistem pendidikan kebangsaan. Antaranya bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran (bukan bahasa) di semua peringkat.   

Ini juga bertujuan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai inti dan pengantar bagi semua subjek yang diajarkan di institusi pendidikan tinggi awam dan subjek wajib yang diajarkan di semua jenis dan peringkat institusi pendidikan swasta.   

Namun, menurut A. Aziz, langkah untuk penegasan semula dasar bahasa Melayu ini terpaksa berdepan dengan cabaran-cabarannya tersendiri jika hanya DBP yang bergerak bersendirian.   

''Peranan agensi pengembangan bahasa dapat membantu melaksanakan apa-apa peruntukan undang-undang atau peraturan yang berkaitan dengan pelaksanaan dan penggunaan bahasa yang terletak di bawah bidang kuasa masing-masing.   p

''Mereka juga dapat menyedia dan melaksanakan peraturan atau garis panduan pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang dipermantapkan dan dipertingkatkan kualiti dan perluasannya.   

Untuk menghadapi alaf depan juga, bahasa Melayu diperkukuhkan sebagai bahasa perpaduan rakyat dan sebagai bahasa komunikasi rakyat umum sebelum tahun 2000, termasuk bahasa media elektronik, ekonomi dan kewangan.   

Selain itu, DBP juga meletakkan sasaran fungsi bahasa Melayu menjelang alaf baru sebagai bahasa komunikasi rasmi negara ASEAN sebelum 2005, bahasa perdagangan Asia Timur sebelum 2010 serta bahasa rasmi sidang PBB sebelum 2015.   

A. Aziz juga memberitahu, pihak DBP telah merangka beberapa agenda strategik untuk pembangunan bahasa Melayu menuju tahun 2020. Antaranya penumpuan terhadap enam fungsi utama pembangunan iaitu pembinaan tamadun, bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, pendidikan, sains dan teknologi serta perdagangan.   Sesuai dengan agenda strategik ini, DBP dalam tempoh 1996-2005 telah mengadakan beberapa program untuk menetapkan beberapa dasar. Antaranya ialah penggunaan bahasa kebangsaan untuk sektor swasta dan korporat.   

Usaha ini juga melibatkan penyusunan pelan induk pengembangan bahasa kebangsaan di sektor swasta dan korporat, di samping melaksanakan strategi perancangan penggunaan dwibahasa (Melayu dan Inggeris) dalam kedua-dua sektor ini.   

Program-program lain yang turut dirancang oleh DBP ialah melaksanakan kerjasama dan penguatkuasaan antara kedua-dua sektor dalam penggunaan bahasa kebangsaan secara bersepadu.   

Apa yang diharapkan oleh DBP, program pemerkasaan bahasa Melayu yang terancang dan direalisasikan dengan penuh kesedaran penghayatan oleh pelbagai sektor tersebut akan melahirkan sebuah bangsa Malaysia moden.   

Moden dalam konteks ini mengarah kepada pembentukan satu tamadun bangsa yang berasaskan kepada keutuhan bangsa yang berteraskan bahasa, budaya dan pemikiran Malaysia.


BALIK