Make your own free website on Tripod.com
Bahasa Melayu dan Tanggungjawab Moral (DB 3/99)

Oleh: Editor


APABILA merenung kembali akan pelaksanaan bahasa Melayu pada akhir abad ke-20 ini, kita makin terasa terkilan kerana statistik pencapaian bahasa Melayu makin menurun. Di manakah titik kelemahannya? Sedangkan badan pembinaan, pelaksanaan, dan pengembangan bahasa Melayu telah melakukan pelbagai usaha penerobosan dan strategi melalui penerbitan buku ke dalam bahasa Melayu, mengadakan pendekatan di restoran makanansegera (seperti KFC), pasar raya, melalui usaha penterjemahan  dan sebagainya.   

  Meskipun pelbagai usaha telah dilaksanakan, ternyata tahap pencapaiannya masih berada di tahap lama. Bahasa Melayu terus bergelumang dengan pelbagai dilema dan fenomena pengisian dan pemasyarakatan yang belum lagi menampakkan keberkesanan terutama saya di kalangan golongan eksekutif, institusi swasta, perundang-undangan, dan institusi awam tertentu.   

  Berdasarkan fenomena bahasa Melayu tersebut, tidak hairanlah jika Dr. Rais Yatim dalam rencananya yang bertajuk “Cabaran Bahasa Melayu” (Mingguan Malaysia, 10 Jan. 1999 hlm. 21) menyatakan bahawa “… perbicaraan di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Persekutuan boleh dikatakan 80 peratus masih dikendalikan dengan menggunakan bahasa Inggeris, walaupun sudah sembilan tahun bahasa Melayu diwajibkan penggunaannya di institusi itu melalui pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1990.”   

  Di samping itu, dalam soal pengamalan bahasa Melayu, Dr. Rais dengan sedih menyatakan bahawa amalan pengguna bahasa Melayu “sekerat belut dan sekerat ular” terus berleluasa pada akhir-akhir ini. Beberapa contoh konkrit dikemukakan oleh beliau, misalnya “Lorong Touch ‘n Go” yang boleh sepatutnya “Lorang Pacu Segera” atau “Lorong Tekan dan Pacu”. Demikian juga siaran di radio dan TV, ungkapan seperti “e-mail”, “internet”, “sofware”, “hardware”, “lunch”, “oklah”, “you dah breakfastkah?”, dan lain-lainnya, sudah menjadi halwa telinga kita setiap hari. Sikap ambil  mudah sedemikian menyebabkan kita mula melahirkan masyarakat Melayu hamburger dan hot dog (meringan ungkapan) Dr. Rais Yatim.   

  Dengan sikap tidak memikirkan akan tanggungjawab moral, peri tidak membanggakan bahasa Melayu di kalangan masyarakat Melayu, pemimpin Melayu, dan penguasa negara, dan hanya melalui nasionalism bangsa, penyatuan bangsa, pembangunan bangsa, dan pemartabatan bangsa, akan melahirkan Melayu baru yang tunggang terbalik. 


BALIK