Make your own free website on Tripod.com
TENTANG POLONG, TUAN POLONG DAN CENDEKIAWAN

Oleh: Rustam A. Sani


Terdapat suatu kontradiksi asasi dalam rencana tentang cendekiawan Melayu sebagai polong-polong yang kehilangan tuan dalam laman web "Reformasi Nasional" baru-baru ini (23 Februari 1999). Jika golongan cendekiawan itu, seperti polong, senantiasa memerlukan tuan (atau pelindung atau patron), maka pastilah mereka bukan cendekiawan. Mereka tidak lebih daripada pengemis yang senantiasa memerlukan dan meraih ehsan orang lain.

Golongan cendekiawan biasanya golongan yang berada di barisan depan dalam pertumbuhan sesebuah masyarakat. Mereka memikirkan tentang pertumbuhan itu, dan melalui komunikasi yang lunak, asli lagi kreatif dengan para anggota masyarakat tersebut, mereka menunjukkan jalan bagi pertumbuhan masyarakat. Mereka sekaligus menjadi penyuluh jalan, menjadi suara bicara, dan menjadi degup nurani masyarakat dan bangsa.

Jika mereka membentuk hubungan yang "akrab" dengan pemimpin politik dan tokoh negara yang tertentu, maka hubungan itu bukanlah kerana mereka memerlukan perlindungan, pemberian (handouts), kenaikan pangkat, ganjaran dan sebagainya. Ringkasnya, hubungan itu bukanlah hubungan polong dan tuan atau malah hubungan abdi dan pemilik. Cendekiawan menjadi rapat dengan pemimpin semata-mata kerana dia menyedari bahawa pemimpin itu menghayati cita-cita kecendekiawanannya dan berkemungkinan pula terlibat dalam perjuangan yang sama untuk mecapai cita-cita yang sama.

Pada suatu masa dahulu, suara golongan cendekiawan bahasa, sastera dan budaya Melayu memanglah suara yang mantap lagi lantang dalam memperjuangkan arah pertumbuhan dan pembentukan masyarakat di negara ini -- khususnya pertumbuhan masyarakat Melayu dalam kerangka suasana masyarakat moden dan majmuknya. Namun kini golongan inilah antara golongan yang paling bisu dan tidak berkesan dalam negara ini. Suara-suara seperti yang pernah dilaungkan oleh Asas 50, PBMUM, GPMS, PENA pada suatu ketika dulu, umpamanya, kini hanya tinggal sebagai kenangan dalam lipatan sejarah lama.

Malah sejak akhir-akhir ini, sekalipun batang hidung mereka sendiri yang terjejas -- katakanlah bila kedudukan bahasa Melayu dalam pengajian tinggi dipersoalkan oleh pimpinan politik atau martabad dan mutu sastera berbahasa Melayu diperlecehkan oleh sekumpulan penulis cilik yang menulis dalam bahasa Inggeris -- suara mereka samasekali tidak akan kedengaran. Mereka terus menikus di sudut-sudut gelap mereka sendiri.

Memanglah benar bahawa hubungan golongan ini dengan Anwar Ibrahim -- sewaktu Anwar Ibrahim masih berkuasa dan masih berkedudukan Timbalan Perdana Menteri -- amat rapat. Malah banyak individu dari golongan itu yang bertunggu bertangga di pejabat dan di rumah Anwar Ibrahim pada ketika itu. Selain itu, banyak pula di kalangan mereka yang memperoleh manfaat peribadi (seperti kedudukan dan pangkat) daripada institusi, badan, akademi, pusat, universiti, dan sebagainya yang dibina hasil sokongan, bantuan atau peruntukan dari Anwar Ibrahim atau kementerian yang dijaganya.

Namun apakah hubungan antara rakyat dan patron, antara polong dan tuan ini, sekurang-kurangnya mempuyai sedikit ciri kecendekiawanan? Anwar akan sering bersama mereka dalam kegiatan-kegiatan yang bersifat keramaian atau penyampaian hadiah dan anugerah, mengumumkan peruntukan, melancarkan institusi, dan sebagainya. Namun bila Anwar bertungkus lumus mencoba melontarkan beberapa gagasannya yang masih baru dan masih separuh masak -- seperti gagasan "nilai Asia", "keuntungan dengan tanggungjawab", "pemusnahan kreatif", "nahdah Asia", dan sebagainya -- pernahkah golongan ini memberikan reaksi yang bersifat polemik dan kritis, selain daripada beberapa pujian dan sanjungan kosong tentang kecendekiawanannya dan kemampuannya berguru dari alam terbentang.

Bila "malapetaka" politik dan peribadi menimpa Anwar pada kira-kira bulan September tahun lalu (1998), golongan yang diperikan oleh rencana tersebut sebagai golongan cendekiawan Melayu -- atau "polong" -- itulah yang merupakan golongan yang paling bisu dan paling tidak berkesan. Saya dapat memahami jika anggota golongan itu tidak mau menyatakan sokongannya kepada Anwar kerana takut kalau-kalau tuduhan bahawa beliau tidak bermoral itu terbukti benar.

Namun saya tidak dapat mengerti mengapa tidak terdapat sebarang reaksi terhadap pelbagai gagasan beliau tentang reformasi, tentang keadilan, tentang ketelusan, dan sebagainya. Saya lebih-lebih lagi tidak dapat mengerti jika dari kalangan cendekiawan ini -- atau apakah mereka memang sebenarnya sekadar polong? -- tidak pernah saya dengar sebarang pernyataan rasa marah (outrage), atau malah rasa kesalpun cukuplah, terhadap caranya institusi kehakiman negara ini dipermain-mainkan untuk menekan dan mengaibkan Anwar. Atau sekurang-kurang "rasa terkilan" terhadap caranya pelbagai institusi lain diperalatkan: pentadbiran, media massa, polis, dan sebagainya.

Cobalah berbual-bual dengan beberapa "tokoh" terkenal dari golongan ini. Mereka biasanya kelihatan serba-salah, berusaha mengelak daripada memperkatakan persoalan politik, ekonomi dan sosial semasa -- atau apakah memang mereka tidak mempunyai sebarang pendapat dan pandangan tentang persoalan-persoalan tersebut? Nyata sekali bahawa kebanyakan mereka mencoba berselindung di sebalik "ketenangan" kedudukan masing-masing dalam hirarki pangkat dan kedudukan dalam jabatan pemerintah, dalam pentadbiran universiti-universiti, dalam syarikat-syarikat swasta, dalam badan-badan media, dan sebagainya.

Malah di kalangan mereka yang sudah bersarapun masih terdapat sikap takut untuk menyatakan pandangan ini. Bagaimanakah akan lahir dalam masyarakat kita satu kelompok "Kumpulan Petisi 50" seperti yang terdapat di Indonesia, jika golongan pesara kita yang kononnya intelektual itu malah lebih bisu daripada golongan mantan general di Indonesia?

Hampir setiap minggu saya bergaul dengan satu angkatan orang-orang muda pelbagai kaum (pada ketika ini kebanyakannya Melayu) yang senantiasa menghadapi bahaya besar secara fisikal apabila mereka secara berani menghadapi para anggota polis pencegah rusuhan yang bersenjatakan belantan dan rotan, cotar dan pancutan air, dan yang lebih dahsyat lagi ISA. Para pemuda ini telah disentuh kesedaran, telah mencetuskan suatu kebangkitan, suatu groundswell, suatu iltizam untuk mengubah sistem dan suasana -- ringkasnya suatu reformasi. Sebagaimana yang dihuraikan oleh Sabri Zain dalam rencananya yang berjudul "Heroes", pengalaman perjuangan pemuda-pemuda ini penuh dengan peristiwa-peristiwa yang berunsur pengorbanan, keberanian dan kewiraan.

Dari pengalaman saya bersama mereka dalam pertemuan-pertemuan tertutup Gerak, Gagasan dan Adil, saya dapati bahawa para pemuda ini amat memerlukan bimbingan pemikiran dan kecendekiawanan tentang arah tuju perjuangan dan natijah gerakan reformasi ini. Mereka juga memerlukan contoh tentang keberanian dan kewiraan. Namun yang terus mereka temui di sekitar mereka hanyalah "polong-polong" yang penakut dan pengecut, yang tidak mempunyai pemikiran dan pandangan. Bahaya besar yang sebenarnya mereka hadapi bukanlah sekadar polis yang ganas dan undang-indang yang kejam -- tetapi pengkhianatan oleh golongan elit dan cendekiawan (the betrayal of the elites and the intellectuals).

Saya agak kurang sependapat dengan rencana dalam laman RN yang mencadangkan bahawa kita perlu segera "menjinakkan" dan "menyelamatkan" polong-polong tersebut. Saya sendiri lebih cenderung membiarkan sahaja mereka terus berkelana ke sana sini tanpa tujuan dan tanpa tuan -- menjadi makhluk yang tidak berguna dan tidak diendahkan dalam masyarakatnya sendiri


BALIK