Make your own free website on Tripod.com
Pencemaran Filem

Oleh: Chang Ka Vun @ Anthony


Apabila saya dimaklumkan oleh seorang guru tentang sedikit galur cerita filem terbaru Awie, Nafas Cinta, saya tidak begitu hairan.  Beliau berkali-kali mengatakan bahawa memang rugi menonton filem itu, bukannya memang rugi jika tidak menontonnya!  Lebih menghairankan saya ketika itu, mengapa guru tersebut hanya sedar bahawa kelemahan filem Melayu itu hanya dikesan pada saat-saat begini?  Persoalan ini semakin menarik minat saya untuk mengkajinya.

Sekali lagi memancing perhatian kita pada kisah Azean Irdawaty yang menangis kerana filem yang dihuru-harakan pada suatu karnival filem serantau tidak mendapat tempat.  Sebaliknya, filem yang tidak diduga pula yang mencuri tumpuan.  Sejak pembikinan filem Sembilu lagi, sudah semua jangkaan filem Melayu di tanah air kita sememangnya tidak akan dapat meraih sebarang tempat.  

Sikap muak saya terhadap beberapa filem Melayu, terutamanya yang berjaya menipu khalayak, seperti Sembilu, Gemilang, dan Puteri Impian adalah antara beberapa filem yang boleh dikategorikan sebagai filem syok sendiri.  Pengarah, penulis skrip, dan pelakon sememangnya tidak sedarkan diri ketika pembikinan  filem.  Penulis yang syok sendiri sentiasa kegilaan sendiri tentang suasana romantik dan sensitiviti tanpa menghiraukan sebarang unsur ilmu bantu yang dapat menyerap budaya cintakan ilmu dan peningkatan pemikiran khalayak.

Saya bukanlah seorang pengkaji filem yang kritis, dalam konteks ilmiah.  Sebagai seorang penonton filem yang kadangkala menjejaki perkembangan filem-filem luar negara, saya mendapati betapa besarnya jurang perbezaan antara filem-filem tempatan dengan filem luar negara.  Bagi saya, selagi unsur cinta dan berahi, serta berangan-angan sendirian ini tidak dihapuskan, khalayak tanah air akan terkongkong oleh budaya yang jumud.

Dengan mengambil kira beberapa filem luar negara, sejak belakangan ini, kita dapat mengklasifikasikan beberapa ciri filem berdasarkan negara tersebut.  Filem-filem Barat dewasa ini menampakkan  perkembangan teknologi maklumat dan beberan pengetahuan  yang memantapkan khalayak dengan ilmu yang sarat, manakala filem-filem dari Hong Kong pula lebih berunsur komedi. Kedua-dua gergasi perfileman ini sebenarnya menampakkan sesuatu yang agak serupa dengan filem-filem negara kita.  Fauziah Ahmad Daud sudah membuktikan bakatnya dalam filem komedi dan beberapa jenis aliran filem yang lain.  Dalam keadaan yang sebenar, adakah beliau seorang pelakon yang benar-benar berjaya?

Namun, suatu hal yang masih belum pernah saya temukan dalam filem-filem Melayu dan juga tidak keterlaluan jika saya katakan, juga dalam prosa Melayu ialah unsur semiotik yang langsung gagal diaplikasikan.  Kata orang, filem Hong Kong, lucu dan tawa bukan sekadar menghamun penonton yang ketawa terbahak-bahak, sebaliknya memerlukan penontonnya memikirkan unsur semiotik yang sarat dalam jalan ceritanya.  Dialognya tidak pernah keciciran kata-kata nasihat yang puitis.  Dengan membandingkan filem Melayu dengan filem Hong Kong atau Barat, industri filem di negara kita jauh ketinggalan.  

Kesimpulannya, adakah kita penonton yang mengejar populariti pelakonnya atau cuba mendapatkan apa yang berbaloi setelah kita membazir wang dan masa untuk menonton sesuatu filem itu?  Pengarah dan penulis skrip tanah air pula semakin hari semakin cenderung pada filem-filem Hindustan.  Bukankah filem Nafas Cinta ada kaitan rapat dengan filem Hindustan yang banyak lagu dan cintanya?  Moga-moga, semua pihak akan sedar dari kealpaan ini.  Jika tidak, tidak mustahil, panggung Melayu kosong suatu hari kelak.  Pencemaran filem!


BALIK