Make your own free website on Tripod.com
KETAKJUBAN BOMOH BADIN

Oleh: FAISAL TEHRANI


(SEKARANG SAYA SERAHKAN ANDA KEPADA CIK MIMI DI SANA, YANG BAKAL MELAPORKAN SECARA LANGSUNG) Mula-mula ia khabar angin. Kemudian ia jadi khabar benar. Wartawan, pelapor, jurnalis, fotografer, orang-orang tivi berjejal ramai-ramai ke Hospital Usus Negara. Sah, Pengarah Besar Hospital Usus Negara memberitahu sendiri. Diktator kurang sihat. Ada sedikit masalah di usus kecil, kata Doktor Datuk Ee Lin. Jurucakap Hospital Doktor Datuk Cardossa memberikan laporan setiap jam. Semuanya mengatakan Diktator cuma kurang sihat dan perlu banyak berehat.

Kemudian panik. Rakyat memang lekas percaya pada khabar angin. Mereka mulai keluarkan duit di bank, beratus-ratus juta, bank sesak dan jalur panjang. Kedai-kedai runcit dan supermarket diserbu. Segala makanan seperti beras dan gula dicapai dahulu.

Orang akhbar yang sudah bosan dengan muka pura-pura manis Doktor Datuk Cardossa: Diktator sihat, ada sedikit sahaja komplikasi pada usus besar, dia malahan sedang bermain-main dengan cucunya, kini berpakat merancang tindakan nekad. Seorang jurnalis dari akhbar bernama Utusan Betul menyelinap masuk melalui saluran penghawa dingin dari dalam bangunan untuk tiba ke kamar rahsia Diktator, dia dikatakan dapat melihat 'sesuatu' tetapi malang tertangkap oleh pengawal keselamatan dan sepasukan tentera lalu dipotong lidahnya. Seorang wartawan luar negara, dari sebuah majalah berita mingguan bernama Moment pula melakukan terjunan payung jatuh terjelepuk mendarat di atas bumbung Hospital Usus Negara dan berlari-lari anak untuk meninjau keadaan Diktator yang kamarnya itu berada di tingkat paling atas. Dia ditembak tepat di jantung oleh pasukan penembak cekap Polis diDiktator Negara kerana kecuaian itu.

(JADI BAGAIMANA KITA AKAN MENGETAHUI MAKLUMAT ITU BOS, KITA MESTI MELAPOR YANG TERBAIK DAN LEBIH AWAL DARI AKHBAR LAIN)

Seorang lelaki gemuk, bermisai kontot, bercermin mata tebal dan berperawakan pelik datang ke pejabat akhbar. Bomoh Badin dari Bukit Pelanduk (setelah selesai misi menyelematkan daerah itu dari wabak JE), punyai kuasa sakti, pemegang cincin hikmat Nabi Sulaiman. (OOII SUDAHLAH! DO YOU EXPECT ME TO PERCAYA ALL THIS KARUT!) Bomoh Badin dibawa bertemu kepada Ketua Pengarang.

Apa yang boleh ditawarkan?

Bomoh Badin senyum sumbing bermain mata dijuling-juling , Kita boleh masuk ke Hospital Usus Negara tanpa pertumpahan darah, tiada lidah sesiapa akan kena kerat dengan cara saya Badin The Great.

Eleh, macam mana tu? Ketua Pengarang mulai naik sangsi.

Saya malahan boleh masuk menyusup ke dalam minda dia, Diktator itu dalam koma dan saya akan menerawang ke dalam diri, mengetahui apa yang difikirnya dalam alam roh itu.

Emmm (BOS TIDAK AKAN PERCAYA) Okaylah kita cuba.

(BOS percaya&*^%$!!!???)

Bomoh Badin mengeluarkan sebotol air jampi direndam selama 500 ratus tahun (datuknya adalah bomoh diraja ketika Kesultanan Melayu Melaka dilanggar Benggali Putih), cincin permata berkilauan keemas-emasan digali dari Hutan Amazon, gelang kayu dari buluh hutan Kalimantan. Kitab hikmat bertulisan sanskrit abad ke entah berapa sebelum masehi dan puhhhh jampi puhhhh serapah. Bomoh Badin tersohor dalam hal santau-santau ini, bisik seorang teman. Neneknya Bomoh Saonah pernah dikatakan mensantau beberapa residen British, tapi tak lut. Kerana santau dan tuju-tuju hanya lut sesama Melayu.

(ANEH!)

(CERITA SELEPAS INI AKAN DILAPOR SECARA MAGIS. IA AKAN DILIHAT MENERUSI MATA BOMOH BADIN. TIPU DIA TIPULAH KAMI)

Senja perlahan-lahan bertakhta mengambil ruang terang warna siang. Mahligai berwarna kehijauan-hijauan dari jauh nampak begitu berbalam-balam. Jerubu menjadikan pandangan mata makin kelam. Kota Sparta kelihatan amat indah waktu-waktu begini.

Jauh di halaman istana, sambil mencicip kopi jenis Ethiopia Sidamo adalah Diktator, secangkir kopi French Roast saiz regular di genggam erat telinganya oleh Nero . Sementara segelas besar Columbia di tangan Lycurgus. Sambil semua sesekali menyudu lapis kek Black Forest adalah tiga manusia punyai signifikan tersendiri.

Kami gembira tuan Diktator dapat mengunjungi kami, Lycurgus menggawang-gawangkan tangan.

Oh tak ada hal tak ada hal. Saya memang suka…apa nama…melancong sambil melawat negara orang…tak ada hal tak ada hal. Saya sendiri rasa apa nama tu…berbangga, saya tak sabar nak beritahu rakyat saya yang saya dapat temui tuan-tuan.

Seorang lelaki rambut ikal keemas-emasan, berhidung mancung dan bertubuh sasa senyum sambil menghirup lagi kopinya, Err…kami akan beri anugerah penting untuk tuan Diktator.

Aduh bangganya saya, tak terkira tak terhitung rasanya saudara Nero. Kenapa saya diberi anugerah berprestij ini? Ohh banyak sebabnya, Lycurgus ketawa anak. Saya ceritakan sedikit sumbangan saya sepanjang hidup dalam era Sparta.

Tak ada hal…tak ada hal, saya tak akan ke mana-mana. Ceritalah….

Nero senyum, mengangguk seperti isyarat supaya Lycurgus memperkenalkan diri.

Saya memperkenalkan undang-undang baru setelah jauh berjalan ke Crete dan Asia, di sana saya melihat dan memerhatikan keadaan pentadbiran negara itu lalu saya bawa ke Sparta, Lycurgus terbatuk-batuk kecil.

Saya pun buat seperti itu tuan…saya jalan-jalan ke negara Timur dan perkenalkan pelbagai perkara, ada dasar sembah timur, saya pergi barat kemudian saya belajar dari kawan saya Moggie Totcher banyak perkara, saya buat tol, saya buat dasar swasta…semua saya swasta. Saya pun begitu…

Lycurgus senyum. Nero juga senyum.

Saya kurangkan kuasa raja-raja Sparta. Untuk makluman tuan Diktator, kami dulu ada 2 raja sejak Raja Eurysthenes dan Raja Procles. Saya berjaya kurangkan kuasa mereka dengan mewujudkan ephorate. Lima orang dalam suatu jawatankuasa yang menggubal undang-undang…pendek kata kuasa undang-undang, pentadbiran, eksekutif semua di tangan kami. Adalah pilihanraya sikit-sikit tapi kami pastikan pilihanraya tak akan dapat mengubah apa-apa.

Eh tuan Lycurgus, saya pun buat begitulah, Diktator ketawa senang. Kami ada 9, 10, ehh entah berapa entah raja, semua …apa nama…bawah telunjuk saya. Memanglah kami tiada euphorate tapi kami ada Majlis Tertinggi yang sikit lebih kurang saja macam ephorate juga. Hebat tak saya?

Nero ketawa. Lycurgus ketawa. Diktator lebih ketawa. Malah membiak-biak mewabak merebak-rebak.

Lycurgus mengesat air mata lucu sambil menahan bahu dari terpingkal berhenjutan tidak sudah, Saya buat kelas pada rakyat-rakyat saya. Ada spartiates , ada perioeci dan ada helots . Kemudian saya pastikan kekerasan menerusi undang-undang polis dipatuhi rakyat. Polis punyai banyak kuasa. Tangkap bunuh kekerasan, apa saja, terlalu banyak. Anak-anak kecil yang lemah, kami tinggalkan mati di Apothetae di puncak Gunung Taygetus. Kekayaan dikumpulkan untuk Spartiates saja dan kaum kerabatnya. Tenaga helots kami perah cukup-cukup. Pakar-pakar sejarah dari zaman anda tuan diktator memanggil pemerintahan kami sebagai demokratik timokratik monarkikal oligarki.

Wau sedap tu…apa nama…biar saya catit, rasa macam saya kalah pulak di sini, paling-paling pun orang panggil pemerintahan saya kleptokratik….nanti saya catit, Diktator kelam kabut mengeluarkan penanya dan beria-ia mencatat.

Lycurgus senyum kemudian perlahan-lahan menjadi hilaian panjang, tuan Diktator tak kalah apa-apa…semua yang saya buat, tuan diktator ada buat, cuba fikir baik-baik.

Diktator berfikir sejenak kemudian disambut gelak ingkak Nero dan Lycrugus. Iyalah, tak sangka pencapaian saya menyamai tuan pula…geli hati rasanya.

Nero paling beria ketawa kini membunuh hujung tawanya. Dia mencapai cangkir kopi dan meneguk sekali dua dengan lebih rakus.

Sekarang giliran saya bercerita tuan Diktator. Saya ini sebenarnya anak terbuang, tak layak langsung jadi Maharaja Rom. Nero batuk kelihatan seperti dibuat-buat sambil menggaru-garu jambang halus baru menujal-nunjal keluar.

Ohh saya tahu itu saudara Nero. Maharaja Caligula singkir dan rampas harta keluarga masa saudara kecil lagi bukan? Saudara dan ibu saudara, puan Agrippina hidup miskin melarat sehinggalah ibu saudara mengurat dan menggoda pakcik saudara iaitu Maharaja Claudius lalu mereka bernikah. Wah politik ibu saudara Nero memang hebat. Waris takhta sah tersingkir dan saudara Nero pula yang menjadi Maharaja, kelasss betul! Nero senyum dipuji-puji.

Ini kisah saya, biar saya yang cerita.

Diktator tersipu-sipu malu kerana mengampu tidak tentu hala. Saya memang pernah memerintah dengan adil di frasa pertama. Saya ketepikan hukuman bunuh, atau pertarungan yang boleh menumpahkan darah…kurangkan cukai, pendek kata baiklah….

Semua ketawa terbahak-bahak.

…kemudian saya arahkan ibu saya dibunuh. Ibu yang membawa saya kepada takhta. Saya tuduh dia membeloti kerajaan Rom. Guru saya, Burrus saya racun pula.

Uhh, hebat…sesiapa yang boleh melawan dan menentang guru sendiri memang hebat, Diktator terangguk-angguk khusyuk mendengar. Lycurgus turut memasang telinga.

Saya sangat benci golongan Krsitian. Saya keluar negara, ke Antium dan arah dibakar saja Circus Maximum, api menyala dan membakar hangus apa saja selama sembilan hari. Saya pulang dan bina semula bandar Rom, bina mahligai besar malahan…saya jadikan orang-orang Kristian kambing hitam. Semua mereka ditangkap dan dihumban kepada anjing lapar untuk dijadikan makanan. Daging-daging yang sudah tersiat itu saya jadikan lemak untuk membakar dan menyalakan lampu taman dan parti-parti meriah saya. Saya lihat anda pernah buat begitu tuan Diktator. Keluar negara dan arah seisi negeri dibunuh ditembak dengan mesingan kemudian menyalahkan pembantu tuan yang tuan ingin singkirkan…betul? Tuan memang banyak kambing hitam untuk dikorbankan…kambing, kambing, kambing yang sentiasa mengembek!

Diktator ketawa besar dan bila merosot dalam hilai tawa yang masih belum padam, berkata, Itu tafsiran saudara Nerolah! Ceritakan saya, ceritakan, apa nama tu…tentang sejarah Konspirasi Pisonian.

Giliran Nero ketawa besar. Lycurgus cuma senyum, hatinya juga gembira. Sekumpulan senator buat klik itu? Nero ketawa lagi dan menyambung, sekumpulan senator mencipta kem politik dan cuba menjatuhkan saya untuk menaikkan C.Calpurnius Piso. Salah seorang yang bersubahat adalah bekas guru saya juga, Seneca…orang tua tak sedar diri, dah nyanyuk nak mampus masih mahu menjadi dalang. Ahh, mereka semua saya hancurkan dengan mudah. Seorang demi seorang saya bunuh…macam tuan diktator juga, bila ada konspirasi dulu, tuan cantas seorang demi seorang akhirnya ada yang datang semula menjilat tapak kaki tuan, bukan?

Diktator angguk, mulai rasa riak.

Lihat, apa yang kami buat, tuan buat juga! Kata Lycurgus memecahkan kebisuannya selama ini. Nero sambut dengan anggukan beria. Nero menyambung kisah, Dan bila mereka muak dengan saya, ahh mereka ini lupa yang sayalah yang telah membangunkan Rom semula setelah kebakaran itu, saya dirikan bangunan tinggi-tinggi, ekonomi mendadak tinggi, mereka lupa…mereka kata saya salah guna kuasa dan mulai hendak menjatuhkan saya. Ini Vindex, budak muda, gabenor Gallia Lugaunensis itu, berhasrat sangat nak lihat saya mati awal. ..tiba-tiba, Nero mengeluh. Dikator diam. Lycurgus diam.

Terlalu banyak asakan kawan-kawanku, saya minta pertolongan orang kanan saya, kaki bodek paling ternama, Epaphroditus untuk meracun saya…dan sebelum saya mati saya bisikkan, ahh betapa saya mati sebagai orang punyai citarasa seni yang tinggi!

Diktator terdiam, ada air mata jernih ingin mengalir turun. Sayangnya sebuah kuasa tidak dapat bertahan begitu lama dan terpaksa berakhir dengan membunuh diri pula. Sayang sungguh, Nero sepatutnya tidak mengalah, tetapi mungkin kalau dia tidak buat begitu maka dia akan melihat kehancuran, mungkin pembunuhan yang kejam ke atasnya. Bomoh Badin berkeringat, basah sekujur badan termasuk seluar dalam dan singlet buruk.

(SEMUA KE HOSPITAL USUS NEGARA, ADA BERITA BARU YANG DITERIMA)

Sidang Media: Doktor Datuk Ee Lin menghadap audien dengan Doktor Datuk Cardossa tenang. Semua menunggu dengan mulut menganga: Diktator sudah mati.

Apa ini, betapa anti klimaks, kalau dia terus hidup boleh tengok episod seterusnya, keluh rakyat!


BALIK