Make your own free website on Tripod.com
PENODA + PENGGODAM + KONSPIRASI =   INTERTEKSTUALITI

Oleh: FUDZAIL


Bedah siasat mesti dijalankan segera. Secepat mungkin. Kegagalan sistem tercanggih di dunia ini bukan satu perkara yang boleh disapu ke bawah permaidani. Kemudian berpura-pura seperti biasa, tiada bencana yang berlaku. Setelah hampir satu billion ringgit dibelanjakan, segala ekspektasi seakan menjadi igauan. Apalagi, maruah sebuah negara merdeka dengan sebuah wawasan besar dalam keadaan aib. Menjadi bahan ketawa mereka yang memang menanti kecelakaan seperti ini. Seolah-olah memang orang-orang tempatan tidak akan mampu untuk membangunkan sistem perisian bertaraf dunia. Sistem bersepadu yang menggabungkan sebuah operasi lapangan terbang bestari perdana. Yang merangkaikan semua operasi ke sebuah pusat kawalan. Begitulah yang bermain-main di fikiran Menteri.

“Comprehensive Airport Online System”(CHAOS)  atau Sistem Online Lapangan Terbang Komprehensif mempunyai 40 modul dan ratusan sub-modul. CHAOS mengawal setiap pergerakan, maklumat, aliran data, prosedur dan pengurusan lapangan terbang tercanggih di dunia. Bukan sahaja tercanggih, termahal dan terpendek tempoh pembangunannya juga. Semua jari para mereka yang bertanggungjawab pun menuding ke semua arah, selain ke tubuh sendiri. First day blues, sempena pelancaran rasmi, tiada satu modul pun yang boleh digunakan. Segala proses terpaksa dijalankan secara manual menyebabkan banyak penerbangan tergendala, malah keadaan menjadi huru-hara. Lebih ramai yang hilang beg dari beg kehilangan tuan. “Saya sudah cakap, pengguna tidak cukup latihan. Mungkin juga sistem tidak diuji sepenuhnya dan tidak siap!” Ketua Eksekutif (CEO) dan pihak pengurusan syarikat yang mendapat konsesi penswastaan projek itu mendengar ngomelan Menteri dengan serius. Syarikat Sapiraya adalah konsortium 5 buah syarikat pribumi. Bermodal berbayar sebanyak 100 juta dengan pinjaman bank luar pantai. Menteri cukup panas hati kerana sebaik Presiden merasmikan lapangan terbang, semua sistem tiba-tiba tidak berfungsi. Sehingga presiden sendiri terpaksa mendapatkan penerbangan kecemasan di lapangan terbang lain untuk bercuti. “Atau mungkin ada manusia yang sudah menoda perisian ini!” Menteri terus bercakap dengan suara lantang. “Ada konspirasi yang mahu melihat kegagalan projek penswastaan yang pertama seumpamanya di dunia. Konspirasi dari luar negara ini memang tidak senang dengan kepimpinan kita dan melakukan apa saja untuk menjatuhkan nama baik kita. Mereka seakan tidak mahu faham yang kepimpinan kita dipilih oleh rakyat, bukan media asing!” “Berikan saya lapuran segera dan buatkan bedah siasat secepat mungkin, kita terpaksa meneruskan operasi kerana segalanya telah menjadi resmi dan tidak mungkin untuk kembali menggunakan sistem lama. CHAOS mesti dibaiki atau ramai yang dalam kecemasan!” CEO sama bangkit mengiringi Menteri keluar dari pusat operasi lapangan terbang yang terletak di pinggiran kota bestari Perdana. Sama kecemasan mengenang nasib dalam kegawatan ekonomi, apakah ini bala terhadap dirinya? Seorang kroni?

*********

“Penoda?” Tanya Naib Presiden Kanan IT, Dr. Farid terasa mahu ketawa. “Apa maksud menteri tentang penoda?” “Maksudnya kita telah menoda perisian CHAOS dari perisian asal?” Tanya lagi kepada para pengarah. Mesyuarat pertama bedah siasat itu seakan berukar menjadi majlis dakwa mendakwa. “Ya, menoda perisian asal dengan mengubah suai mengikut spesifikasi kita. Yang kemudian dibangunkan semula. Memang banyak subjek yang sama termasuk ikon, istilah dan prompt!” CEO  masih terasa panas dengan insiden itu bercakap kuat. Semua media telah menghukum kesalahan kepada sistem. Semua orang tahu ada penodaan telah berlaku. CEO telah termakan segala laporan media. Malah dia mengutip atau mencuplik kata-kata itu dari sebuah rencana. “Kenapa tidak dikatakan  ciplak atau cuplik atau apa saja, penodaan bagai mengatakan perogolan. Siapa yang noda apa? Atau apa yang noda siapa?” Dr. Farid berhujah dengan tegas kerana baginya tiada penodaan, penciplakan atau pencuplikan telah berlaku. CHAOS adalah perisian yang dibangunkan dengan kerjasama kepakaran dari 50 negara. Dari negara paling maju, paling mewah, paling besar, paling kuat sehingga negara yang berada dalam situasi sebaliknya. “Ada banyak perkara universal dalam pembangunan perisian, apalagi dalam globalisasi dan liberalisasi sekarang, kita tidak boleh lari dari mempunyai ikon, istilah atau prompt yang sama atau hampir sama. Seperti tanda-tanda isyarat jalan raya atau keselamatan kapalterbang! Kalau benar ada penodaan, penciplakan mengapa tidak saman saja?” CEO memandang Dr. Farid dengan senyum sinis. “Habis tu kenapa CHAOS boleh gagal di hari pertama operasi? Kenapa media berani membuat lapuran seumpama? Kenapa semua modul jadi dungu? Kenapa sistem bersepadu tidak dapat bertukar data antara modul?” Pengarah yang lain, yang dilantik atas nama politik dan tidak pernah terlibat secara langsung sekadar diam melihat drama bertikam lidah antara kedua mereka. Antara CEO dan protege nya yang kadangkala begitu ketara perbezaan pendapat antara mereka.Walau sering dinafikan secara terbuka untuk memelihara kestabilan syarikat. Suasana nampak tegang apabila tiba-tiba mereka sama-sama terdiam. “Semua itu tidak kena mengena dengan ciplak, cuplik, menoda atau merogol perisian lain!” Dr. Farid bersuara lantang. “Ianya kemungkinan besar disebabkan oleh penggodaman!”

**************

Setelah dua hari, CHAOS masih belum berfungsi. Pelbagai jenaka sama ada di  warung mamak atau Internet mengenainya. Sehingga ada laman web khusus untuk mempersenda CHAOS. Malah Menteri yang selang dua tiga jam melawat pusat operasi dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan memberansangkan, tetapi pada waktu yang sama lebih banyak menggelirukan. “CHAOS siap 80%” Kenyataannya hari itu walau sebelum perasmian, dia mengatakan telah siap sepenuhnya dan boleh digunakan tanpa ragu.  Mungkin dia mahu menyembunyikan masalah sebenar atau terlupa kenyataannya sentiasa direkodkan. Dijadikan ukuran integritinya sebagai menteri. Wajahnya di kaca TV sentiasa tersenyum. Optimis. Dalam hati siapa tahu. Apalagi buat mereka yang terbabit secara langsung dengan CHAOS. Memang Menteri selalu bergegas ke pusat operasi untuk mendapatkan maklumat terkini secara langsung. Bukan secara lapuran, emel atau telefon. Kerajinannya memang mengkagumkan. Walau lebih banyak menyusahkan ramai orang terutama CEO yang terpaksa sentiasa mengiringi Menteri. “Telah tahu siapa atau atau NGO atau negara mana yang menggodam?” Tanyanya pada Dr. Farid sebaik masuk ke bilik taklimat. Penuh harapan. CEO sama memandang wajah Dr. Farid. Orang paling penting ketika ini kerana dialah yang merumuskan demikian, telah berlaku pengodaman, bukan penodaan, ciplakan, cuplikan atau perogolan keatas sistem perisian. “Ianya bukan perkara mudah. Bila semua telah dirangkaikan dalam sebuah sistem komputer, segalanya adalah kemungkinan. Ada banyak saluran masuk kerana ada  ratusan PC dirangkaikan untuk projek perintis ini!” Semua terdiam.

“Bukan konspirasi?” Tanya Menteri. Dia yakin dengan pemilihan parti yang akan berlangsung, ramai musuh-musuh politiknya yang mahu dia dimalukan sebelum dijatuhkan. Walau dia sering mengungkap konspirasi luar negara, konspirasi dalam negeri sebenarnya lebih nyata dan menakutkan. “Belum pasti, tetapi penggodam ini cukup licik dan profesional. Berjaya menutup setiap lubang yang dimasukinya dengan baik. Kalau ada konspirasi, mungkin bermula dari dalam syarikat ini sendiri. Kita mempunyai sistem firewall  yang cukup canggih untuk menghalang segala penggodaman. Dan cara penggodaman ini seperti si penggodam tahu mana nak pergi dalam sistem. Dia telah berjaya membantutkan satu prosedur penting dengan menukar banyak arahan. Sehingga keseluruhan CHAOS terjejas kerana terkeliru dengan arahan-arahan sistem yang berbelit-belit, akibatnya sistem pun macam kena sembelit” Menteri sebenarnya sudah tidak sabar lagi dengan apa yang telah berlaku. Projek penswataan CHAOS ini mahu disegerakan sebelum pemilihan parti.  Konsep payung yang dipraktikkan memang bertujuan untuk mengagihkan subkontrak pada para penyokongnya. Mereka yang sentiasa bergantung pada bisnes politik. Kalau masalah berterusan terutama dengan kencaman para pengguna, dia bukan saja akan kehilangan sokongan, malah masa depannya sebagai pemimpin muda berpotensi turut terancam. Menteri dan CHAOS sudah sinonim. “Habis berapa lama lagi?” tanya bernada marah. “Sehingga pilihanraya?” Dr. Farid memandang CEO yang berwajah seperti kehilangan sesuatu berharga. “Sehari dua lagi kerana kami sedang membaik pulih  semua prosedur yang rosak!”

******************

“Intertekstualiti!”

“Apa dia?”

“Intertekstualiti!”

CEO merah padam. Dia tidak faham perkataan itu. Wajah Dr. Farid yang bersahaja bagai menempelaknya yang selama ini selalu bermain dengan perkataan pengurusan yang bombastik. Cara menyatakan dia juga sentiasa mengikuti perkembangan pengurusan abad ini secara dekat. “Memang ada ciplak, cuplik, penodaan, perogolan, penggodaman dan konspirasi dalam perisian CHAOS! Kesimpulannya intertekstualiti telah berlaku!” CEO masih tidak faham. Ternyata dia terkeliru dengan penjelasan Dr. Farid. “Senang saja, projek sebesar CHAOS ini memang tidak lari dari semua yang saya sebut tadi. Dengan pelbagai karektor, wacana, iltizam dan apa saja yang disebut sebagai manusia, semua proses ini adalah perlu. Apalagi CHAOS memerlukan coding yang menelan jutaan baris. Ada prosedur yang diciplak, cuplik dari perisian lain. Ada penodaan setiap kali kita membuat debugging yang juga mengakibatkan perogolan dalam memproses data!” CEO masih ternganga. Maklumat dari Dr. Farid ini sukar untuk dikunyah mindanya. “Ada penggodaman dalam bentuk ujian untuk memastikan segala pertahanan atau firewall adalah teguh. Ada konspirasi kerana ujudnya  generasi baru dan lama dalam pembangunan sistem. Ada yang memilik Phd, ada pula yang tiada apa-apa selain pengalaman semata-mata. Masing-masing mahu mempertaruhkan kepakaran untuk membuktikan keunggulan jati diri dalam mengaturcara!” Dr. Farid tahu CEO masih keliru, kabur dan tercari-cari disebalik penjelasan separuh abstraknya. CEO mungkin bukan mereka yang mengikuti perkembangan pengaturcaraan pascamoden secara aktif. “Jurang intelektual antara dua generasi ini memang ketara tetapi setiap mereka adalah oportunis. Ada pengaturcara yang sukakan konsep eksperimental kerana sebagai anak muda mereka mahukan perubahan. Sementara yang datang dari golongan lama atau veteran, ramai yang mahu mempertahankan konsep konvensional kerana mereka mungkin sudah tidak kreatif lagi. Tetapi keegoan membalut perasaan dan membungakan dendam kesumat!” Hasil bedah siasat secara tidak henti sebaik menerima arahan Menteri memberikan pelbagai rumusan, tetapi rumusan versi terakhir ini memang mengejutkan sesiapa. Terutama buat mereka yang membesar dalam dunia IT. Intertekstualiti, ianya bukan jargon IT. “CHAOS sebagai yang tercanggih dan terbaik mempunyai semua itu, penoda, penggodam, konspirasi dan apa saja berkaitan. Jadi itulah intertekstualiti! CHAOS adalah intertekstualiti dari ribuan perisian yang pernah dibangunkan di muka bumi ini. Dan kegagalannya berfungsi tempoh hari adalah kerana....” Dr. Farid terdiam. CEO memandang tepat dengan sepenuh perhatian. “Di sebabkan Presiden tersalah tekan paparan kekunci. Dia panik dan menekan-nekan  berterusan secara kasar sehingga ada kerosakan kabel dalaman. Menyebabkan kerosakan data yang seterusnya bertukar menjadi pepijat dan virus, menyebabkan banyak prosedur terkeliru. Ujian pertama telah selesai, ujian yang lebih besar ialah untuk menyelenggarakan CHAOS kerana masalah pepijat sistem akan jadi lebih kritikal!” CEO sebenarnya dalam diam membayangkan bagaimana dia mahu menjelaskan pada Menteri yang bila-bila masa saja akan timbul. Sidang akhbar juga telah dipanggil untuk mengumumkan yang CHAOS telah pulih sepenuhnya. Terutama untuk menyebut perkataan itu. Ah! Intertekstualiti!


BALIK