Make your own free website on Tripod.com
KEMBARA HISHAMUDIN RAI

Oleh: Faisal Tehrani


BUKU sejarah masih tidak memadamkan nama Hishamudin Rais dari dunia gerakan kemahasiswaan yang penuh menyala sepanjang dekad 1970-an. Zaman panas di institusi pengajian tinggi, apabila pelajar membela nasib petani miskin di utara. Demonstrasi Baling dan Operasi Mayang 8 Disember 1974 membawa Hishamudin jauh mengungsi diri atau lebih tepat pergi berili mencari diri.  

Kini hasil kembaranya semacam menemukan sentuhan ajaib yng mempesonakan. Suatu lagi calitan sejarah di kanvas wayang gambar terconteng cantik.

 Filem pertama Hishamudin Rais dalam acuan industri filem tanah air yang kecil, tetapi masih menongkah gigih, memang menyarankan kelainan dan keunikan istimewa. Filemnya itu mencatat sejarah sebagai filem tempatan pertama dalam genre kembara atau lebih dirujuk sebagai road movie di Amerika Syarikat. Hishamudin Rais adalah seorang lagi generasi baru pembikin filem Malaysia yang berani keluar daripada kebiasaan selain U-Wei, Shuhaimi Baba, dan Adman Salleh.

 Dari Jemapoh ke Manchestee,  judulnya sendiri memberi kemeriahan berwarna-warni.  Saya sudah beberapa kali menemuinya, dan apabila menyatakan hasrat untuk berbincang tentang seputar hasil karya, beliau mengalu-alukan. “Filem ini mewakili diri saya,” kata Hishamudin Rais apabila saya memulakan diskusi.

 Dari Jemapoh ke Manchestee, ditukangi sebagai road movie kerana strukturnya. Filem genre ini biasanya membiarkan watak mengembara ke sesuatu tempat, tetapi bukan destinasi itu yang ingin dituju, pencarian diri yang lebih utama. Yang penting dalam filem jenis ini ialah bagaimana mereka menjadi manusia yang lain pada akhir kisah atau perkara yang menunda perubahan diri mereka.

 “Hidup itu perjalanan,” kata Hishamudin apabila ditanyakan sebab dia memilih genre ini sebagai hasil kerjanya.

 Road movie sebagai kerja seni sepatutnya tidak diremehkan. Beberapa orang karyawan besar dunia perfileman bermula daripada filem kembara begini. Steven Spielberg, Bergman, atau Dennis Hopper menjadi terkenal setelah road movie. Hishamudin mengakui bahawa dia amat menyenangi genre ini. Apatah lagi filem ini tidak memerlukan watak yang banyak, memudahkan pengarah mengawal watak dan pelakon. Yang ditemui pasti ditinggalkan untuk berjalan lebih jauh ke hadapan. Oleh itu, sebagai karyawan, watak tidak perlu dikembangkan, selain kosnya yang murah kerana jalan raya itu sendiri sebagai peranan utama.

 Filem ini, seperti filem lain dari kelas yang sama, tidak mementingkan masa dan ruang. Waktu dan ruang bukan perbahasan utamanya. Jarak pula relatif. Maknanya, yang penting bukanlah jauhnya atau dekatnya kembara atau perjalanan itu, tetapi penjelajahan watak itu sendiri yang ditekankan. Tiada pula titik rujukan untuk disandarkan. Kenderaan ikut berfungsi sebagai penggerak cerita. Pengangkutan adalah lambang kemodenan,  yang membawa kita ke mana-mana dengan rasa merdeka, yang bergerak, dan penghayatan inilah yang lebih ditekankan. Road movie biasanya cerita manusia dan mesin itu sendiri.

 Dari Jemapoh ke Manchestee ialah filem kembara berwarna-warni yang berlapis-lapis. Audiens disogokkan pada jalur pertama, kisah dua orang remaja ingin ke Manchester. Mafiz ingin mencari ayahnya, pelaut yang lama menghilang. Yadi, peminat berat Manchester United dan ingin sekali menemui George Best dan The Beatles. Jalur kedua ialah simbol yang diperturunkan, penonton yang matang akan mempersoalkan makna pertemuan dan jalur tertinggi, iaitu teks filem itu sendiri sebagai saranan falsafah hidup.

 Audiens yang hanya ingin berhibur tentu terpesona. Filem itu menyogokkan kemeriahan dunia remaja, penuh menghiburkan, kemanjaan anak lelaki, pengenalan seks, dan dunia muzik yang segar. Selang-seli 25 buah lagu, daripada keasyikan R. Azmi pada akhir tahun 50-an kepada kemeriahan pop yeh-yeh dengan penampilan cameo Kassim Selamat dengan lagu La O Be. Jangan perkecil lagu tema filem ini, La O Be pernah menjuarai senarai lagu popular di salah sebuah stesen radio di Hamburg selama tiga minggu. Kassim Selamat and The Swallows pernah digilai suatu ketika dahulu. Penampilan istimewa Kassim Selamat dirujuk sebagai The Boyan Revival. Sayang mereka tidak sampai ke Hamburg suatu ketika dahulu.  

Irama rock and roll merakamkan kesegaran anak muda dekad ini dengan riuh muzik underground. Hishamudin mendapatkan khidmat kumpulan Republic of Brickfields dan Babushka untuk menghidupkan filemnya. Gubahan lagu Carruretor Dung, Republic of Brickfields, Babushka, dan Koffin Kanser, jangan salah sangka, mereka semua anak muda tempatan yang berpotensi meskipun memberi nama pelik untuk diri sendiri.

 Sengaja bertanya tentang kemungkinan untuk karya seterusnya daripada genre yang sama juga, beliau tersenyum dan menjawab tegas, “Ya, boleh jadi. Saya amat berminat untuk melihat hala tuju masyarakat dan negara ini, cara masyarakat kita mengendalikan segala budaya baru. Dan anak muda sentiasa datang dengan sesuatu yang baru, memberontak, dan masyarakat kita, sama ada tidak tahu, tidak faham dengan apa-apa yang cuba ketengahkan. Semua inilah yang amat menarik minat saya.”  

Sebuah lagi filem road movie kalau begitu?  

Dari Jemapoh ke Manchestee mengadakan tayangan pertama dunianya di Festival Film Singapura ke-11 pada bulan April yang lalu. Filem itu mendapat sambutan yang hangat dan banyak penonton kecewa kerana tidak berpeluang mengikutinya. Seperti kata Philip Cheah, antara ahli jawatankuasa pesta filem tersebut, “Filem yang ditunggu-tunggu kerana kesegarannya dan merayakan budaya muda.”  

Yang lebih membanggakan, filem ini ditayangkan di Munchen Filmuseum (Muzium Filem Munich Jerman) bersempena dengan Piala Dunia `98 di Perancis, sebaris dengan filem unggul seperti The Valvet Underground and Nico dan BlowJob hasil Andy Warhol, dan Pepi Luci Bom dan Matador arahan Pedro Almadovar dari Sepanyol.

 Filem ini diterajui oleh empat watak utama, Acui Zul Karnain, Indra Syahril, Arista Akma, dan Farizza Aslina. Tepat, tiada bintang ternama yang memukau atau tempelan penyanyi sanjungan ramai untuk melariskan jualan tiket. Lebih 2000 orang ditemu duga untuk memerankan pelbagai watak dalam filem ini. Pelakon tambahannya melangkui hampir 30 orang.  

Penerbitnya Halim Sabir dengan lakon layar oleh Hishamudin sendiri. Skor muzik diketuai oleh Mustaza Mustapha dengan sentuhan pengarah fotografi Azman Razali.  

Yadi berharap agar kelahiran filem seumpama ini memberi pilihan bermakna kepada peminat filem tempatan yang sudah dibanjiri filem cinta yang tipikal. “Sudah terlalu banyak filem cinta di pasaran tempatan,” katanya.  

Indra Syahril merupakan pelakon watak utama; seperti bakat berpotensi lain, Indra nampaknya hadir di sesi audition untuk menemani rakan, tetapi kemudian terpilih memegang watak utama. “Saya mencintai lakonan sejak Dari Jemapoh ke Manchestee,” kata Indra begitu rendah diri, menampakkan komitmen lakonan yang bijak di tengah-tengah lambakan pelakon yang lebih menggilai sensasi dan glamor. Bakat yang bakal menyinar, pastinya. Dia mulai ketagih berlakon setelah terlibat dengan dunia teater dan pementasan ketika menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia.

 Indra ketara menggemari watak yang dilakonkannya. “Saya sendiri memang peminat Manchester United”. Watak Yadi bebas dan memiliki dunia sendiri dan saya telah melakukan yang terbaik seketika itu.”

Ketika mengenang pengalamannya berlakon di bawah arahan Hishamudin, Indra menyatakan bahawa hal itu unik. “Adegan di atas bukit, dengan syot panjang, dan syot semula berulang kali adalah pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Memang beberapa kali saya berasa tertekan terutama apabila dimarahi oleh pengarah, ini kali pertama berlakon di hadapan kamera. Namun, saya cuba memahami kehendak Hishamudin dan cuba memberi yang terbaik. Selain itu, latihan hampir tiga bulan yang diberi oleh Hishamudin sendiri banyak membantu.”

 Seperti kata Hishamudin, “Dari Jemapoh ke Manchestee adalah filem untuk semua anak muda, yang telah, yang sedang, dan yang bakal menempuhi alam belia yang sarat warna. Filem yang mesti ditonton oleh semua yang bergejolak setelah kembara mencari arah.”

 Selamat datang ke mandala kerja filem yang lebih matang!


BALIK