Make your own free website on Tripod.com
Jangan biarkan media tempatan hina minda rakyat

Oleh: Rustam A. Sani


Sejak beberapa bulan yang lalu, antara tindakan yang dilaksanakan oleh  gerakan reformasi ialah memboikot media massa tempatan, khususnya akhbar   Utusan Malaysia. Namun boikot itu dilakukan secara yang tidak begitu   teratur dan tidak begitu bersungguh-sungguh. Selain 'sepanduk'   yang melaungkan 'Boikot Utusan Malaysia' yang terpapar dalam warna   merah dan biru di  kebanyakan laman web tidaklah terdapat strategi yang   jelas lagi teratur dalam tindakan tersebut.     

  Namun boikot itu sedikit sebanyaknya ternyata mendatangkan kesan.   Edaran akhbar-akhbar arus  utama tempatan ternyata merosot - terbukti   melalui data statistik yang dapat diperoleh dari   sumber-sumber tertentu mahupun melalui bukti fisikal tentang jumlah   akhbar tersebut yang 'tidak  laku' di tempat-tempat menjual akhbar.     

  Kesan umum boikot tersebut terhadap kredibiliti dan penjualan   akhbar-akhbar tempatan itu cukup  kuat sehingga beberapa lembaga   editorial akhbar-akhbat tersebut secara senyap-senyap dan   secara lunak terpaksa melaksanakan semacam langkah 'menyelamatkan   keadaan' (damage  control). Tujuannya ialah untuk secara halus   mengembalikan citra (image) media tersebut ke tahap   ketika media tersebut masih menikmati sedikit keyakinan dan kepercayaan   umum.     

  Salah satu aspek yang begitu kuat merosakkan kredibiliti media tempatan   itu ialah nilai, mutu dan  profesionalisme kewartawanannya berbanding   dengan media asing dan antarabangsa - suatu   suasana perbandingan yang tidak mudah dapat dielakkan dalam era   globalisasi, media segera, dan  teknologi maklumat yang amat canggih   hari ini.     

  Pendekatan yang digunakan oleh media tempatan dalam menghadapi cabaran   ini setakat ini ialah  melakukan pemusnahan kredibiliti atau memfitnah   (discredit) media antarabangsa. Dengan  memantulkan pandangan tuan-tuan   politiknya, media tempatan itu menuduh media antarabangsa itu  sebagai   berkonspirasi dan berniat jahat terhadap negara ini - dengan implikasi   bahawa media  antarabangsa itu menjadi alat tenaga-tenaga   neo-kolonilisme yang sering disebut-sebut oleh para   pemimpin negara ini.     

  Sayangnya pendekatan tersebut - jika sekalipun mengandungi kebenaran -   jatuh tersungkur akibat  lebih rendahnya kredibiliti yang dinikmati oleh   media tempatan itu sendiri berbanding pihak yang   didakwanya.     

  Memang mudah dibuktikan bahawa laporan-laporan media antarabangsa itu   penuh dengan  kesalahan fakta dan maklumat yang tidak tepat - misalnya   Zahid Hamidi dilaporkan sebagai  seorang yang berjawatan menteri dan   Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor, dilaporkan  sebagai bergelar   jeneral.     

  Namun jelas bahawa kesalahan laporan itu cuma merupakan kesalahan fakta   dan disebabkan oleh  kejahilan para wartawan asing itu. Meskipun banyak   di antara mereka yang datang ke sini  merupakan wartawan kanan dan   terkenal, namun kebanyakannya pula amat terbatas pengetahuan   dan pengalamannya tentang negara ini - tergesa-gesa dihantar ke sini   untuk meliputi peristiwa yang  'meletup', seperti pelucutan jawatan,   penangkapan dan perbicaraan Anwar Ibrahim.     

  Namun demikian, amatlah menarik, misalnya, bahawa pengamatan seorang   wartawan akhbar The  Guardian dari Great Britain tentang bekas Ketua   Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor,  terbukti merupakan pengamatan   yang amat perseptif bila KPN itu akhirnya terpaksa meletakkan   jawatannya baru-baru ini kerana 'menerima' tanggungjawab bagi perbuatan   yang jauh dari sifat  bermoral dan berperikemanuasian terhadap Anwar   Ibrahim - bekas TPM - ketika sedang dalam   simpanan pihak polis.     

  Sebagai media yang lahir dan bergerak di negara ini, maka tentulah   media tempatan tidak akan  melakukan kesalahan-kesalahan fakta yang   asasi seperti itu. Namun 'dosa' sebenar media  tempatan jauh lebih   serius daripada itu. Bukan saja fakta sering dipesongkan secara sengaja   untuk  mengelirukan, malah persepsi para pembaca dimanipulasi begitu   rupa untuk menampilkan suatu  bentuk realiti yang telah dirancang untuk   kepentingan pihak-pihak tertentu.     

  Jika dosa media antarabangsa ialah kejahilan, maka dosa media tempatan   ialah konspirasi. Oleh  yang demikian, peranan yang dimainkan oleh media   tempatan itu jauh lebih berbahaya dan tidak   bermoral - dan sama sekali bertentangan dengan peranan murninya sebagai   salah suatu institusi  terpenting dalam proses pembinaan sistem   demokrasi dan pemerintahan yang yang telus lagi   bertanggungjawab.     

  Sebenarnya, hakikat bahawa media di negara ini tidak bebas dan dikuasai   oleh pihak yang  berkuasa bukanlah perkara baru. Semua pihak sedar   bahawa syarikat-syarikat akhbar dan media   elektronik di negara ini dikuasai oleh pemerintah - baik secara   langsung mahupun melalui  syarikat-syarikat yang dikuasai parti politik   yang memerintah mahupun oleh para kroni.   

Undang-undang berhubungan penerbitan yang ada dan proses pelantikan para   wartawan dan  eksekutif kanan syarikat-syarikat media juga samasekali   bertentangan dengan prinsip mewujudkan  media yang boleh menjadi   institusi demokrasi yang luhur.     

  Namun demikian, dalam keadaan politik yang tenang dan biasa, sifat   tidak seimbang dan  memihaknya itu masih dapat ditoleransi. Meskipun   berita yang tidak menguntungkan kerajaan atau  rencana yang mengkritik   kerajaan diketahui umum tidak akan mendapat penyiaran, namun dari   kandungan dan liputan media yang bias itu para pembaca yang bijaksana   masih berkemungkinan  merekonstruksi berita yang agak tepat.     

  Hanya dalam suasana politik yang agak bergolak - misalnya beberapa   minggu sebelum pilihanraya  umum atau Perhimpunan Agung Umno pada setiap   tahun terdapatnya pemilihan anggota majlis  tertinggi - media utama   negara ini benar-benar memperlihatkan potensinya untuk menjadi 'gila,   menjadi alat propaganda yang tidak beretika dan tidak bermoral, yang   dengan tiada segan silu lagi  melaksanakan cara laporan, penulisan dan   analisis yang tidak menghormati intelligence para  pembaca, dan   menganggap mereka sebagai orang yang tidak tahu berfikir.     

  Suasana 'darurat' ini sejak akhir-akhir ini tampaknya berlaku untuk   suatu jangka masa yang jauh  agak lebih lama daripada biasa. Sejak   kira-kira awal atau pertengahan tahun lalu, media tempatan   tampaknya beroperasi dalam keadaan kegilaan seperti sewaktu menghadapi   pilihanraya umum atau  perhimpunan agung Umno. Selama waktu itu beberapa   tindakan yang bersifat persekongkolan  (conspiratorial) jelas dilaksana   dengan amat giat dan terang-terangan.     

  Beberapa peletakan jawatan tinggi editorial terjadi. Penumpuan kuasa   editorial dan eksekutif  kepada beberapa warlords yang amat jelas ikatan   politiknya terjadi, diikuti dengan pemindahan   beberapa wartawan upahan dari satu organisasi media ke suatu organisasi   media untuk  melaksanakan 'kerja-kerja jahat kewartawanan' (journalistic   hatchet jobs). Tiba-tiba saja  beberapa tokoh menjadi pakar rujuk di   media tempatan: Rahim Tamby Chik (tentang moraliti),   Ghafar Baba (tentang era ekonomi global), dan sebagainya.     

  Kandungan, liputan serta pendekatan media tempatan itu menjadi begitu   menjijikkan bagi  kebanyakan para pelanggan yang berfikir dan yang   kritis, sehingga banyak yang secara  senyap-senyap melaksanakan boikot   mereka sendiri. Hanya kemudian, langkah boikot itu berlaku   secara yang lebih terang-terangan dengan kempen yang tidak begitu   teratur di kalangan para  penyokong gerakan reformasi di negara ini.   Para wartawan tempatan bukan sahaja hilang  kredibiliti, malah ada yang   takut muncul di khalayak ramai. Ada syarikat media yang hampir   dibakar keretanya dan ada pula yang dikirim peluru hidup!     

  Namun demikian, langkah boikot yang tidak teratur itu hasilnya tidaklah   seberkesan yang  diharapkan. Namun kesannya sudah cukup untuk merisaukan   beberapa syarikat media (baik  elektronik mahupun cetak) di negara ini   sehingga mereka juga secara diam-diam melancarkan   langkah damage control masing-masing. Beberapa penulis dan cendekiawan   yang sudah berhenti  menyumbang kepada media tempatan cuba digoda dan   dipujuk agar menyumbang kembali -   antaranya untuk mengambil bahagian   dalam sebuah rancangan forum di NTV7: Dateline Malaysia.     

  Banyak juga pihak yang terpedaya oleh langkah-langklah damage control   itu. Namun, lama  kelamaan, sifat tidak ikhlas langkah tersebut semakin   terdedah. Banyak pihak yang pada suatu  ketika menganggap rancangan   Dateline Malaysia itu sebagai suatu tanda perubahan dan   keterbukaan media Malaysia mulai sedar apa yang sebenarnya berlaku -   dan merasa menyesal  kerana mengambil bahagian dalam rancangan tersebut.     

  Persepsi bahawa akhbar-akhbar arus perdana tempatan sebenarnya telah   berubah dan telah  bertukar menjadi lebih adil baru-bari ini mendapat   sanggahan yang amat meyakinkan dari beberapa  orang pengkritik,   terutamanya Lim Kit Siang dan M.G.G. Pillai. Mereka telah memperlihatkan   bahawa laporan akhbar tempatan tentang pelbagai perbicaraan Anwar   Ibrahim bukan saja sering  tidak tepat tetapi cuba mengelirukan orang   ramai melalui kepala berita (headlines) yang menipu   pembaca dan memutar belitkan hakikat.     

  Di sebalik percubaan media tempatan untuk menonjolkan citra yang lebih   baik itu, ternyata tidak  terdapat keikhlasan yang sebenarnya untuk   menjadi institusi demokrasi yang tulen dan luhur.   Ternyata juga bahawa langkah memboikot yang dilakukan oleh orang ramai   selama ini sedikit  sebanyak ada kesannya terhadap media tersebut - yang   dikendalikan oleh orang-orang yang hanya   berminat terhadap kerjaya dan kepentingan politik diri mereka sendiri.     

  Oleh yang demikian, dalam kerangka gerakan reformasi negara ini langkah   memboikot media  tempatan itu harus diteruskan - malah ditingkatkan   supaya menjadi lebih teratur dan lebih berkesan.   Misalnya, tidak ada sebabnya mengapa kempen memboikot itu harus   dibataskan hanya kepada  Utusan Malaysia sahaja,tetapi apa kurangnya New   Straits Times, Berita Harian dan The Star,  TV3, RTM, NTV7 dan   lain-lain?     

  Kempen memboikot ini bukan sekadar harus dilihat sebagai langkah   'menghancurkan' media  tersebut, tetapi harus dilihat sebagai langkah   membina institusi masyarakat demokrasi yang tulen di   negara ini. Kita harus melihatnya sebagai sebahagian daripada langkah   pendidikan politik, supaya  masyarakat dapat dimatangkan tentang bentuk   dan peranan media yang luhur dalam sebuah sistem   demokrasi yang tulen.     

  Kita tidak harus membenarkan wujudnya media yang menghina dan   mempersendakan kematangan  rakyat. Boikot adalah senjata kita yang   berkesan dan kita harus memanfaatkannya sebaik mungkin   dan secara teratur.  


BALIK