SASTERA DALAM DUNIA SIBER (UM 11/97)

Oleh: MOHD FUDZAIL MOHD NOR


Perubahan yang melanda dunia sejagat dengan merebaknya teknologi maklumat (IT) terutama Internet adalah satu revolusi. Revolusi yang melebarkan pengaruh IT dalam kehidupan manusia seluruhnya. Di tanahair, dengan wujudnya MSC sebagai agenda kerajaan dalam menjadikan IT dan multimedia sebagai asas komunikasi utama, dengan sendirinya pelbagai bidang lain dalam kehidupan seharian kita tidak dapat mengelakkan diri dari pengaruh IT. Salah satu bidang yang seharusnya segera melengkapkan diri ialah sastera. Dunia sastera di Malaysia masih ditahap yang tidak berubah. Kemajuan negara tidak dapat dicerminkan dengan pembangunan sastera seluruhnya. Malah tidak dapat disangkal, sastera seakan dibayangi oleh proriti lain dalam gagasan pembangunan negara.  

Sastera adalah satu pelengkap tamadun bangsa tidak juga kian kekurangan khalayak dikalangan masyarakat. Malah ada kalanya menerima sambutan diluar dugaan, seperti mana malam puisi "Pujangga Khas" anjuran TV3 bulan Ogos lalu yang dihadiri lebih lima ribu penonton. Begitupun, ledakan IT dan Internet boleh membantu perkembangan sastera ke maksima. Pejuang-pejuang sastera seharusnya melihat ada saluran baru yang cukup kuat untuk menarik lebih ramai peminat sastera untuk berkecimpung dan seterusnya lebih aktif, kalau tidak menjadi peminat sastera.  IT membawa pelbagai kemungkinan baru yang selama ini mungkin menjadi bahan cerita fiksyen sains semata. MSC misalnya akan mengujudkan kerajaan elektronik di mana rakyat akan lebih mudah untuk berurusan dengan kerajaan. Sudah wujud juga penerbitan online yang dengan mudah membolosi dunia siber dan menerima sembutan hebat.

Bagaimana dengan dunia sastera kita? Sama ada bercorak tempatan atau dunia, IT akan membawa bentuk-bentuk baru untuk sastera terus menjadi sebahagian dari kehidupan yang nanti tidak lagi melambangkan budaya sesuatu bangsa, ianya akan bersifat universal. Bentuk-bentuk interaksi seperti realiti maya (virtual reality), drama bersiri web (web soap opera), permainan teater online, taman hiburan bercorak sastera yang berteknologi tinggi dan mungkin pentas pertemuan antara karektor dari buatan pintar (AI) dengan manusia-manusia maya. Ini tidak termasuk bentuk-bentuk yang telah terdapat hari ini seperti permainan video dan filem IMAX.

Pada hari ini akan akan lebih mudah untuk memahami karya-karya William Shakespeare melalui CD-ROM yang mengabungkan bentuk lisan dengan klip-klip persembahan dan maklumat sejarah. Kemampuan Intternet yang terus dipertingkatkan untuk melakukan pelbagai kerja seharusnya juga di manafaatkan oleh penggiat sastera. Dengan kemampuan audio, visual, hyperlinking and storan data yang tinggi, komputer boleh membantu para penulis misalnya untuk mengeksplorasi segala yang rumit dan kompleks mengenai manusia sendiri. Yang selama ini kabur dalam penulisan abstrak. Setidak-tidaknya, Internet memberikan terma-terma baru yang memperkayakan bahasa dan juga sebagai sumber rujukan. Dunia siber yang tidak bersempadan dan mengatasi imaginasi boleh menjadi sumber karya. Kalau tidak Internet itu sendiri adalah ruang karya.

Cara hyperlink dalam Internet misalnya boleh memberikan bentuk obsesi yang cukup baik dimana hyperlink ini akan berterusan mengulang-ngulang pemikiran yang sama.

Bentuk-bentuk fiksyen yang lain mungkin menyatukan suara, muzik, gambar dan video, atau membawa kita dari satu laman web ke laman web lain yang akan memberikan sesuatu karya itu pengertian yang lebih mendalam. Sesuatu yang dahulunya mustahil untuk dilakukan dalan bentuk konvesional yakni percetakan. Tidak hairan interaksi dimana pembaca turut menjadi penulis atau sebahagian dari cerita yang dipaparkan dengan mengubah cara naratif melalui pilihan sama ada untuk menjadi salah satu watak atau berinteraksi dengan karektor yang lain.

Karyawan mungkin tidak mampu untuk mengeksploitasi teknologi maklumat tanpa bantuan mereka yang terlibat secara langsung seperti pengaturcara (programmer). Memindahkan bahan-bahan karya bukanlah mudah kerana memerlukan daya kreatif dan teknikal yang tinggi. Apalagi untuk manjadikan bahan baru ini sebagai wadah berkarya.

Filem-filem yang mengabungkan teknologi komputer dan seni filem telah berjaya di layar perak. Kecanggihan komputer dan ketinggian daya kreatif memberikan hasil yang luar biasa. Sastera tidak terkecuali. Gabungan dua dunia ini pasti memberikan lebih menariknya dunia sastera, tidak terkecuali di Malaysia. Bila kita semakin serasi dengan revolusi IT, kemudahan yang tersedia ada dengan sendirinya akan memberikan ruang baru untuk berkarya. Penulis misalnya boleh mempunyai laman web sendiri untuk menonjolkan karya-karya mereka dan tidak lagi terlalu bergantung pada penerbitan-penerbitan yang kian kekurangan ruang untuk menampung para penulis.  Ruang-ruang akhbar dan majalah tempatan yang semakin sempit untuk para penulis ini memang tidak banyak membantu perkembangan dunia sastera. Adakah kajian resmi dibuat mengenai berapakah dari kalangan pembeli atau pembaca akhbar yang membaca ruangan sastera? Apakah ruangan sastera ini sekadar tempelan?

Adakalanya polemik atau isu yang dipaparkan tidak banyak memberi manafaat apa-apa kepada pembangunan sastera apalagi pembangunan negara dan masyarakat. Baik secara ilmiah atau pengetahuan am, kebanyakan isu yang kadangkala berulang dan basi mencerminkan sejauh mana wawasan mereka yang mewarnai dunia sastera seluruhnya. Rintihan dan luahan yang menagih simpati seakan menonjolkan kelemahan yang ketara sama ada para penggiat sendiri atau pun mereka yang duduk di kerusi empuk yang bertanggungjawab dalam menangani kemelut dunia sastera. Tepuk dada tanya selera! Para penerbit juga boleh menerbitkan majalah sastera online yang lebih berbentuk interaktif. Mungkin pada waktu ini warga Internet di Malaysia masih belum cukup khalayak yang meminati sastera atau sememangnya kita tidak mungkin berkemampuan untuk berbuat demikian. Mungkin sehingga tahap penguasaan IT dan pembacaan dikalangan rakyat tempatan menunjukkan peningkatan lebih baik. Cara dan kaedah berkarya akan turut berubah bersama zaman. Mungkin bahan-bahan bercetak akan menjadi semakin sukar bersama semakin pupusnya bahan-bahan kertas. Dengan sendirinya Internet yang turut memberikan pelbagai perkhidmatan lain akan menampung sastera sebagai salah satu cabang interaksi. Untuk lebih ke hadapan di alaf baru ini, para penggiat sastera seharusnya terus mencari alternatif-alternatif baru yang tidak terbatas oleh kemampuan konvensional hari ini. Mereka yang bertanggungjawab untuk terus memajukan dunia sastera di tanahair misalnya seharusnya lebih aktif dalam menjadikan IT, Internet dan multimedia bukan sekadar bahan karya tetapi wadah untuk mewujudkan bentuk-bentuk baru kesusasteraan. Mungkin langkah pertama ialah dengan para editor sastera mempunyai alamat emel untuk memudahkan karya-karya dihantar atau paling tidak komunikasi. Menghantar karya secara emel juga memudahkan para editor untuk membuat suntingan tanpa perlu ditaip semula (dengan cut and paste). Paling tidak untuk memberitahu pengirim karya sama ada karya-karya mereka layak atau tidak! Walau bagaimanapun melihat ke masa depan yang semakin menghampiri kenyataan pada hari ini, penglibatan secara langsung para penggiat sastera ke dunia IT atau sebaliknya akan menyediakan wadah yang lebih terbuka dan lebar untuk mereka yang meminati seni dan sastera terus bersaing, kalau tidak selari dengan anjuran MSC.   Malah boleh menjadi aplikasi perdana yang ke lapan! Sebagai saluran sastera negara yang boleh memartabatkannya  ke seluruh dunia. Sebahagian dari usaha globalisasi.

Sesunguhnya suatu hari nanti, sastera yang ada pada hari ini adalah sekadar kajian sejarah yang mungkin tersimpan dalam arkib-arkib komputer dan perpustakaan maya. Malah tidak mustahil bahan-bahan itu juga dipelbagaikan medium untuk menampung keperluan masyarakat siber yang menggemari sastera 'klasik' ini.   Perjalanan ke arah itu telah bermula hari ini!


BALIK