Make your own free website on Tripod.com
Nisah Haji Haron dan Cerpen Guaman

Oleh: Mawar Shafei


MEMBACA kebanyakan cerpen pengarang alias peguam muda Nisah Haji Haron persis memberi beberapa sentakan. Khalayak sastera selama ini yang sering dihidang dengan cerpen yang bernada monotonous (meskipun terdapat yang menyentak) akan mengesani beberapa kelainan lewat cerpen Nisah Haji Haron. Bidang guaman yang menjadi kerjaya serta minat peribadi pengarang ini sering saja dimanfaatkan sebagai bahan utama mahupun sisipan, watak, sudut pandangan atau sekurang-kurangnya latar cerpen.

Cerpen Nisah Haji Haron lewat kumpulan cerpen terbarunya Lading Masih di Tangan (Galeri Melora, 1998) seperti “Lading Masih di Tangan”, “Persidangan Agung Wanita Klasik” dan “Istimewa dari Cenma Detara” jelas mengangkat hal-hal guaman. Begitu juga lewat cerpen terbaru Nisah yang masih mengangkat bahan yang sama iaitu “Afidavit Emosi” (Dewan Sastera, November 1998). Menerusi “Afidavit Emosi” contohnya, pengarang melalui judulnya turut menyua warna-warni guaman itu sendiri.

Lewat “Persidangan Agung Wanita Klasik”, pengarang menghadirkan protagonis-protagonis lampau seperti Puteri Lindungan Bulan, Raden Galoh, Li Po, Tun Teja dan Tun Kudu. Malah watak Tun Fatimah, Dang Anum, Mahsuri, Siti Zubaidah, Puteri Gunung Ledang, Khadijah dan Fatimah juga hadir dalam diri watak utama cerpen ini, Mashi’ah, seorang peguam. Watak peguam ini sedang mengendalikan kes pelanggannya, Puan Attika yang meminta sekali lagi tuduhan ke atas suaminya dijatuhkan - tuduhan mencederakannya dan tidak memberi nafkah untuk anak mereka.

Kehadiran protagonis-protagonis lampau itu bukan saja sebagai watak-watak yang ‘bercakap’ tetapi ternyata hadir dengan latar belakang masing-masing yang semacam memberi rujukan untuk kes Attika. Jelas juga ketelitian serta penyelidikan Nisah memilih tokoh-tokoh lampau itu dengan cerita masing-masing yang bersesuaian. Kritikan pengarang terhadap konsep emansipasi barat yang ternyata bertentangan dengan budaya fikir wanita daerah sini. Malah sejak dahulu hingga kini laungan pembebasan serta hak wanita itu sering saja disalahertikan mereka sendiri. Itulah kekangan yang sebenarnya.

Melalui cerpen yang agak bersifat fantasi, “Istimewa Dari Cenma Detara”, Nisah menghadirkan watak Dyna, peguam muda ke Dewan Kehakiman di Kota Cenma. Dyna diminta Fragg, kenalan lamanya untuk menyelesaikan kes Esdyzuar, seorang arkeologis yang menemu semula komuniti kota misteri Cenma Detara. Tuduhan yang dijatuhkan ke atas Esdyzuar seperti hujah Exia selaku Pendakwa Cenma, “Yang Amat Bijaksana tertuduh adalah tertakluk di bawah Para 204 (1) Perlembagaan Cenma Detara. Tuduhan-tuduhan yang dikenalpasti, inter alia (bermaksud “antara lain”), pencerobohan dan menyembunyikan serta melarikan Lona La Reina tanpa kerelaan.” (hlm. 56).

Namun demi menegakkan keadilan serta kebenaran, di hujung cerita Dyna memenangi kes dan khalayak diperjelaskan bahawa Lona La Reina merupakan adik kepada Dyna. Diceritakan lebih awal Dyna akrab dengan komuniti Cenma sejak berlakunya kemalangan di daerah Cenma yang membabitkan kematian kedua orang tua Dyna. Hanya Dyna dan adiknya yang terselamat. Namun mereka terpisah. Dyna diambil sebagai anak angkat Datin Laily sementara Lona La Reina ditinggalkan di daerah Cenma.

Cerpen ini ternyata merupakan kategori fantasi yang memaparkan kehidupan warga Cosmo dengan “komuniti mereka besar tetapi ahli-ahlinya kerdil-kerdil belaka’ (hlm. 49) di perut bumi. Watak Dyna, dari Cosmo dilukis sebagai berketinggian dua kali ganda daripada mereka.Sejarah awal masyarakat ini dicerita pengarang sebagai, “Bandar Cosmo dan Cenma Detara merupakan dua alam yang amat berbeza. Cenma disempadani lapisan kerak bumi di bawah Bandar Cosmo. Masyarakat Cosmo dan komuniti Cenma pada asalnya tinggal bersama di atas muka bumi. Tetapi bertitik tolak daripada perselisihan faham yang dikhuatiri akan berpanjangan, warga-warga Cenma berundur ke penempatan baru di Kota Kristal ini.” (hlm. 52).

Warna fantasi Nisah Haji Haron kian melebar dengan sekepal bongkah poligon kristal yang diberi Fragg sebagai alat untuk mengelakkan gangguan fikiran ketika Pendakwa Cenma bersoaljawab di Mahkamah Arlandis. Begitu juga dengan latar sewaktu Dyna dan Esdyzuar berjalan masuk ke ruang mahkamah - segala lif kristal dan dinding hablur asli yang lutsinar. Dewan kehakiman mereka diperbuat daripada kristal.

Kekerapan Nisah memasukkan latar (Cenma Detara, Cosmo, Mahkamah Arlandis dan Penjara Pricenma) serta pemilihan nama watak yang sedikit asing (Fragg, Exia dan Lona La Reina) difikirkan sebagai lanjutan daripada kecenderungan yang sama sewaktu Nisah menghasilkan beberapa cerpen remajanya sebelum ini. Lewat “Annyys Sophilea” (Dewan Siswa, Oktober 1992), “Atlantis, Duniaku Duniamu” (Dewan Siswa, Mac 1991), “Anugerah Amariss” (Dewan Siswa, Oktober 1993) dan “Pintu Senja Eur Durantis” (Dewan Siswa, Mei 1996), kecenderungan seperti yang dinyatakan sering dilakukan pengarang. Namun seperti catatan A. Samad Said tentang ini, “...masih dalam imbasan bumi sendiri walaupun nama watak seperti Fragg dan Exia amat asing.” (Berita Harian, 12 Ogos 1998)

Cerpen ini juga mempunyai versi tersendiri dalam genre drama. Nisah Haji Haron yang sebenarnya juga mempunyai bakat dalam bidang menulis dan mengarahkan drama pentas, melalui drama “Istimewa dari Cenma Detara” telah memenangi Pertandingan Drama Undang-undang Intervarsiti 1993. Justeru tuntutan pertandingan yang hanya mengkehendaki watak-watak lelaki, Nisah telah melebarkan teknik perwatakan dalam versi cerpennya dengan memasukkan beberapa watak wanita seperti protagonis Dyna, Lona La Reina dan Datin Laily.

Sementara itu melalui “Afidavit Emosi” Nisah mengangkat watak utama, Eufy selaku peguam muda di sebuah firma guaman di Bandar Raya Tetra Marina. Ternyata melalui nama latar bandar cerpen ini, Nisah masih menyelit kecenderungan yang dilakukan dalam cerpen remajanya yang agak berbau fantasi. Walau bagaimanapun kehadiran unsur penulisan remajanya itu tidak menenggelami pemikiran utama yang ingin disampaikan Nisah. Konflik seorang wanita/gadis (akhir dua puluhan), Eufy untuk menerima seorang lelaki yang lebih berumur (empat puluhan), Afridzal ternyata lebih menular hebat akibat penemuan sebotol pil biru/sildenafil citrate (viagara?). Pengarang dengan lancar mengenengahkan perasaan tipikal gadis Melayu yang dirasakan seperti “mencabar maruah” dan persis kata akuan Eufy, “...kau sebenarnya inginkan aku ... untuk melepaskan tuntutan batinku.” (hlm. 25) Sebaliknya Eufy menerima Afridzal seadanya tanpa memerlukan ‘alat bantu’ begitu.

Di samping memasukkan permasalahan mutakhir tentang penggunaan pil menambah kekuatan batin sebegitu, Nisah mewarnakan latar serta watak/perwatakan dengan mandala guamannya. Ternyata melalui watak Eufy, latar kerjaya sebagai peguam dilakar Nisah dengan ilustrasi yang bernyawa. Cerpen ini dimulakan dengan Eufy sedang sibuk menyediakan dokumen-dokumen yang bakal difailkan ke mahkamah. Khalayak kemudiannya turut dibawa mendengar tujuh belas sebutan kes di hadapan Majistret melalui sidang video. Sewaktu memberi lakaran sebuatan kes ini Nisah sempat mengkritik segolongan Majistret yang sengaja melengah-lengahkan tugas semasa sidang video dengan tujuan menguji ketahanan peguam muda.

Melalui konflik yang dihadirkan lebih awal iaitu penemuan pil-pil biru/sildenafil citrate oleh Eufy di laci kamar kerja Afridzal, Nisah mengenalkan khalayak dengan istilah res ipsa loquitur atau bukti bisu atau sesuatu benda yang dengan sendirnya menerangkan keadaan (the thing speaks for itself) - lihat glosari yang disisipkan. Malah pengakuan yang bakal dilakukan Eufy tentang penerimaannya terhadap cinta Afridzal sebenarnya terselindung di sebalik judul cerpen ini “Afidavit Emosi”; afidavit atau keterangan bertulis atau kenyataan bersumpah - lihat juga glosari. Tuntutan daripada kerjaya guamannya juga menjadikan Eufy lebih berhati-hati terhadap lelaki. Ratusan wanita yang dibela di mahkamah akibat deraan perasaan, begitu mendidik peguam muda ini. Terasa tularan nafas feminisme Nisah Haji Haron di para ini.

Satu teknik menarik untuk mengungkap konflik perasaan kedua-dua watak ini, pengarang menggunakan DCC - Direct Chat Connection . Melalui watak Monique dan Puteri, Afridzal dan Eufy menyamar diri. Teknik “< >“ seperti di ruang bual layar internet, digunapakai Nisah sebagai kaedah perhubungan terkini. Latar perbualan ini sebenarnya mewarnakan teknik latar mutakhir dalam penulisan kreatif khususnya cerpen. Teknik penyamaran ini ternyata dimanfaatkan daripada lanjutan kecanggihan teknologi maklumat terkini. Walau dalam bentuk yang sederhana namun Nisah memulakan sesuatu yang agak berlainan.

Sebelum ini di tangan Anwar Ridhwan ada dimasukkan teknik penulisan “-” untuk perbualan misalnya dalam “Gua, Perempuanku dan Pandangan Darat” (Sangkar, 1989) dan Zaharah Nawawi ada menggunakan teknik penulisan skrip “:” dalam cerpen terbarunya “Doa” (Dewan Sastera, Januari 1999). Pembauran yang bersepadu/harmonis antara langgam bercerita, pemilihan subjek cerita dan mengangkatsama kecanggihan teknologi maklumat, menurut Othman Puteh sebagai, “...keprihatinan dan kepekaan pengarang dalam usaha memasukui alaf baru untuk memberi sesuatu yang terbaik dan unik kepada khalayak pembaca yang semakin terdidik dan cerdik.” (Dewan Sastera, Disember 1998: 34).

Cerpen “Lading Masih di Tangan” mengangkat konflik antara kerancuan untuk melestari khazanah Melayu dengan tuntutan dikotomi ringgit dan keuntungan Emir Corporation. Protagonis Ezzeq, Penasihat Undang-undang Emir Corporation milik bapanya Tan Sri Emir, begitu optimis untuk meneruskan hasratnya. Ezzeq ingin menjadikan Syarikat Seri Renta, sebuah kedai antik sebagai subsidiari Emir Corporation; bukan hanya untuk tujuan perniagaan tetapi untuk memelihara khazanah lama. Namun dalam cerpen ini, ilmu luar sastera guaman hampir tiada, hanya pengarang menyisipkan watak Ezzeq yang merupakan seorang penasihat undang-undang syarikat.

Lewat cerpen yang pernah memenangi Hadiah Kedua Bulan Budaya Pulau Pinang, YTL-Berita Harian 1996, juga mengandungi penyelidikan yang nyata dijalankan pengarang dengan penuh tanggungjawab. Perihal senjata-senjata asli orang Melayu dan beberapa bangsa di dunia ini seperti keris, pisau, kerambit, tenno, zulfaqar, dicatat pengarang. Begitu juga dengan seni persilatan. Ezzeq turut menjalani latihan tangan berlading.

Di samping mesra membaurkan bahan yang hampir dengan peribadi, Nisah turut menjengah ke himpunan sastera Greek dan nusantara. Cerpen “Cinta Sangkuriang, Rindu Oedipus” yang pernah memenangi Hadiah Utama Utusan Melayu- Public Bank 1997 sebenarnya turut menjadikan psikologi sebagai bumbu cerita. Cuplikan amalan guaman juga ditonjol Nisah apabila soal sesuatu ketentuan itu boleh diubah atau tidak.

Bersama rakan-rakan pengarang sezaman seperti Faisal Tehrani, Hizairi Othman, Uthaya Sankar SB, Nisah Haji Haron dan beberapa nama lain ternyata tidak mensiakan pengetahuan serta pengalaman guamannya untuk lebih menceriakan warna pencerpenan tanahair. Tidak dinafikan bahawa Ishak Haji Muhammad lebih awal telah turut menyumbang dengan membaurkan hal guaman lewat cerpen seperti “Membunuh Diri” dan “Musim Gelora” (Cerpen-cerpen Pak Sako, 1995).

Namun di tangan Nisah cerpen Melayu lebih diwarnakan dengan latar guaman yang lebih teliti, rinci dan bersifat mutakhir serta difikirkan dapat mewakili warna zamannya. Walaupun masih terdapat bancuhan warna latar cerpen remajanya, Nisah kian memekatkan bancuhan tersebut dengan persoalan yang lebih dewasa dan matang. Di samping itu cerpen yang dihasilkan Nisah Haji Haron juga tidak keciciran akan pengangkatan dan pembelaannya terhadap wanita.


BALIK