Make your own free website on Tripod.com
Pesona Kad (Nafas) Cinta Kita

Oleh: Uthaya Sankar SB


Senang sahaja. Kau hentikan segera pembikinan drama tv itu. Kalau kau teruskan pun, hasilnya tentu tidak seberapa. Sebaliknya, kau dengarlah nasihatku. Ikut cakap aku. Kau kata, kau memang berhajat mengaut keuntungan, bukan?   

Tentang skrip, kau jangan risau. Skrip untuk drama yang sedang kau shooting itu suami kau yang tulis, bukan? Habis cerita. Kau minta sahaja suami kau rombak skrip itu agar menjadi sesuai bagi sebuah filem. Dia tentu tidak keberatan. Aku kenal sangat sikap toleransi suami kau tu.   Yang penting, ubah tajuk drama yang hendak dijadikan filem. Siapa yang beri idea memilih judul “Sebuah Pengorbanan”? Aduh; tak komersial langsung. Kau dan suami kau nak buat untung atau nak buat kebajikan? Kau jangan lupa: loan yang kamu berdua ambil tu wajib dibayar semula. Kalau drama atau filem tak laku, nak bayar macam mana?   

Pertama, ubah judul. Carilah tajuk yang catchy, yang … yang mengghairahkan pun tak apa. Ikut trend. Kalau aku, aku cadangkan judul “Pesona Kad (Nafas) Cinta Kita”. Kau jangan lupa, di Malaysia sekarang ni, kalau pakai sahaja perkataan ‘cinta’, filem mesti laku. Apa salahnya kalau kita di Pulau Cinta tiru trend itu.   

Soal mengolah semula drama menjadi filem, kau serahkan pada aku. Tahulah aku menanganinya. Aku dah baca skrip “Sebuah Pengorbanan” yang kau kirim. Tak ada apa-apa yang menarik sebenarnya. Tapi tak perlulah kita risaukan hal itu. Penonton tak kisah semua itu sekarang.   Kau jangan risau. Aku tahu macam mana nak kembangkan drama lima puluh minit itu menjadi filem dua jam. Serahkan sahaja tugas itu kepada aku. Aku akan bincangkan dengan suami kau selaku penulis skrip.   Aku nak komen sedikit tentang pelakon wanita yang kau pilih. Tak adakah orang lain? Memanglah dia cukup berbakat. Pembawaan wataknya cukup real dan superb. Tapi kau jangan lupa bahawa tujuan kita adalah untuk mengaut untung. Kita bukan mahu mengetengahkan lakonan bermutu. Kalau kita terus mengekalkan pelakon itu dalam filem kita, nescaya tak adalah pemuang nak pulang kos sekalipun!   

Tentu kau tak dapat singkirkan pelakon wanita itu sekarang. Begitu juga dengan pelakon-pelakon lain yang sudah sain kontrak bagi drama “Sebuah Pengorbanan”. Sebagai jalan penyelesaian, kau minta sahaja mereka sain kontrak bagi filem yang bakal kita ambil; dan sekaligus membatalkan kontrak bagi lakonan drama.   

Tentang si heroin, kau kekalkanlah dia supaya dia tidak menyaman kita kerana menyingkirkannya. Memanglah dia tidak ada unsur komersial bagi melariskan filem kita. Tapi apa yang boleh dibuat; kau dah terlanjur ambil dia berlakon.   

Sebagai alternatif, kita masukkan satu lagi watak baru dalam filem ini. Kita wujudkan watak bekas kekasih si hero. Watak bekas kekasih ini adalah seorang penyanyi kelab malam. Jadi, dengan mudah sahaja kita boleh selitkan sekurang-kurangnya lima buah lagu dalam filem kita nanti!   Watak penyanyi itu harus kita pilih dengan bijak. Kau perhatikan siapa penyanyi wanita paling top buat masa ini. Kita lamar dia untuk melakonkan peranan si penyanyi alias bekas kekasih.   Atau kalau mahukan kelainan, kita buat watak penyanyi tu lelaki. Tapi tentulah dia bekas kekasih si heroin; bukan bekas kekasih si hero! Kita jangan memandai-mandai menimbulkan isu gay dalam industri filem kita.   Kalau kita pakai watak penyanyi lelaki, ada risikonya juga. Sukar nak ditimbulkan kontroversi dan adegan-adegan panas. … Tak apalah, kita putuskan hal itu kemudian. Mungkin kita jadikan watak itu seorang playboy, gigolo atau apa sahaja. Yang penting, kita adakan watak tambahan; seorang penyanyi.   

Kisah pengalaman bersama bekas kekasih, kita boleh selitkan dalam flashback. Kita masukkan dua lagu dalam flashback dan tiga lagi at present. Hal ini tidak perlu dirisaukan langsung. Plot, kesinambungan cerita dan kelancaran antara babakan, tak perlu diberatkan. Penonton kita bukannya ambil kisah semua itu.   

Kita tak perlu pecahkan kepala bagi menyajikan filem berkualiti. Khalayak sudah biasa terbuai oleh filem berciri hiburan ringan. Kita boleh juga buat double-role seperti yang dilakukan dengan jayanya oleh Tiara dari Malaysia dalam Aida Shada. (Aku baru selesai menontonnya melalui video.) Tapi tak perlulah membazir duit dan masa. Penonton mahukan hiburan semata-mata. Kita harus bijak mengambil kesempatan atas kebodohan mereka untuk mengaut keuntungan!   

Tentang watak penyanyi tu, aku rasa kita cuba ambil artis dari Pulau Cinta sendiri. Kita pilih artis yang paling glamour, paling daring, paling kontroversional dan paling senang digossip. Kalau tak dapat, kita ambil dari Malaysia atau Indonesia. Bagus juga; boleh kita labelkan filem kita itu nanti sebagai berciri Nusantara.   

Kita buat enam puluh peratus penggambaran di Pulau Cinta. Dua puluh peratus di Malaysia atau Indonesia; bergantung pada pelakon negara mana yang kita ambil. Dua puluh peratus lagi wajib di luar negara; di barat. Kita lakukan penggambaran di London sama ada pada musim bunga atau musim salji.   

Penggambaran di London – atau Paris – adalah satu kewajiban, aku kira. Bukan apa, kita pun boleh turut melancong atas tiket penggambaran. Cuma satu nasihat aku: jangan lupa bereskan segala bayaran sewa pengangkutan semasa di sana. Aku tak mahu insiden yang berlaku di negara jiran menular ke pulau kita. Rosak nama baik industri filem pulau kita nanti.   Kita cuba siapkan filem kita dengan kos yang paling minimum. Aku dapat tahu daripada suami kau, loan bagi drama “Sebuah Pengorbanan” agak banyak juga. Aku fikir kita boleh rolling wang itu untuk bikin filem. Kita buatlah secara ekonomikal. Tapi di press confrence nanti kita tunjukkanlah penyata dua tiga kali ganda. Kononnya filem kita pakai budget besar.   

Untuk menarik lebih ramai penonton terutama remaja dan golongan pelajar pun ada teknik juga. Penggunaan penyanyi sebagai pelakon adalah satu cara. Sama ada pelakon itu boleh berlakon atau tidak, itu tidak perlu diambil kisah langsung.   

Satu lagi patua adalah isu kontroversional. Kita selitkan adegan-adegan yang pasti tidak diluluskan oleh Lembaga Penapis Filem Pulau Cinta (LPFPC). Biar ada lima atau enam babak VHS. Apabila LPFPC tidak meluluskan adegan-adegan itu, kita buat rayuan. Kita minta budi baik – atau bayar – pihak berkenaan agar membuat pertimbangan semula.   Kalau satu atau dua adegan lulus pun kira alright. Newspapers pun tentu highlight filem kita yang dipotong lima-enam babak oleh LPFPC.   Selain itu, kita upah orang untuk menyebarkan khabar angin mengatakan bahawa filem itu adalah berdasarkan kisah cinta watak hero filem kita. Kita minta juga pelakon wanita buat gimik di media massa mengatakan bahawa dia dieksploitasi oleh pengarah di dalam – dan di luar – filem berkenaan. Apa lagi, meletuplah filem kita apabila ditayangkan di pawagam!   

Soal memanjangkan drama lima puluh minit menjadi filem dua jam, kau jangan risau. Tahulah aku caranya. Rasanya tak perlu membuat banyak rombakan pada skrip asal. Kita tambah sahaja adegan-adegan yang membabitkan watak penyanyi alias bekas kekasih.   

Babak satu minit dalam “Sebuah Pengorbanan” boleh kita jadikan sekurang-kurangnya sepuluh minit dalam “Pesona Kad (Nafas) Cinta Kita”. Biar aku yakinkan kau dengan satu contoh.   

Katakanlah si heroin mahu pergi bersemuka dengan si penyanyi. Kita mulakan shot di rumah si heroin. Dia bersiap dan meninggalkan rumah. Dia masuk kereta, start enjin dan pergi buka pintu pagar. Lepas tu dia masuk semula dalam kereta dan menandu dari rumah menuju ke rumah si penyanyi.   Kita buat shot dari dalam kereta sepanjang perjalanan lima minit itu. Kita tunjukkan latar tempat di Pulau Cinta; terutama bekas istana Ravana di puncak bukit yang dirampas Rama setelah berlaku perebutan kuasa antara mereka.   

Apabila si heroin sampai di rumah si penyanyi, dia keluar kereta dan menuju ke pintu. Pada masa itu, shot berpindah ke bilik tidur si penyanyi. Dia baru selesai mandi dan masih bertuala. Lalu dia menuju ke dapur, membancuh kopi dan makan sandwic.   

Pada saat itu, loceng pintu berbunyi. Si penyanyi tak ambil kisah. Loceng berbunyi lagi. Perlahan-lahan dan dengan aksi malas, si penyanyi berjalan ke ruang tamu dan membuka pintu hadapan.   

Nah! Sekarang percaya tak yang drama lima puluh minit boleh menjadi filem dua jam? Serahkan sahaja tugas itu kepada aku. Aku akan pastikan bahawa filem kita mencapai box-office!   

Maaflah kerana aku menggunakan frasa “filem kita”. Memanglah kau dan suami kau yang menjadi pengarah dan penerbit. Tapi aku yang bagi idea untuk mengolah dan mengadaptasi skrip “Sebuah Pengorbanan” menjadi “Pesona Kad (Nafas) Cinta Kita”, bukan?   

Kau berbincanglah dengan suami kau tentang hal ini. Aku fikir dia tentu setuju. Masakan kamu berdua tidak bersedia menerima pandangan profesional. Kalau kamu nak kaut untung, ikut nasihat aku. Aku dah kaji trend semasa filem di Pulau Cinta. Kalau kamu berdua ikut cakap aku, kita boleh hasilkan filem yang pasti meletup.   

Apabila filem “Pesona Kad (Nafas) Cinta Kita” sudah meletup dan mencapai box-office, kita buat pula sambungannya dengan tajuk “Sembilu Kad (Nafas Panas) Cinta Kita”. Mungkin selepas itu kita boleh teruskan dengan sequence “Pesona (Nafas) Pulau Cinta” dan “Sengketa (Nafas) Pulau Cinta”.   

Wah! Aku sudah dapat membayangkan panggung yang padat dan kocek kita yang kembung. ‘There’s no business like show business’. Percayalah, kita akan menjadi pengusaha filem yang berjaya. Kita akan berupaya menyajikan apa yang dipinta oleh khalayak penonton bermentaliti rendah di Pulau Cinta. Industri filem Pulau Cinta akan mekar semula dan mencapai tahap antarabangsa sebagaimana yang diharapkan pemimpin negara.   Kau fikirkanlah semasak-masaknya segala apa yang aku sarankan dalam surat ini. Berbincanglah dengan suami kau berhubung hal ini. Aku akan pulang ke Pulau Cinta dalam tempoh seminggu dua lagi. Aku akan hubungi kamu berdua nanti. Kita boleh sama-sama putuskan cara mudah untuk bikin duit.


BALIK