Make your own free website on Tripod.com
SASTERA MELAYU VS SASTERA INGGERIS

Oleh: Faisal Tehrani


BARANGKALI tiada lagi isu benar-benar serius untuk saling diperdebatkan dalam dunia sastera di Malaysia ini. Segelintir penulis sibuk menakrif istilah generasi baru dan penulis muda. Sekejap heboh mahu mencalonkan sasterawan kita ke Nobel Prize (entah mengapa itu menjadi terlalu penting secara tiba-tiba!) seolah-olah sudah cukup kualitinya untuk melayakkan mereka ke status 'besar' itu. Kemudian tercelah suara berkisar sastera Melayu, sastera Inggeris atau sastera Malaysia dan pertuduhan lama yang dibangkit-bangkitkan kembali. Betapa remeh-temehnya!

Seorang penulis sastera Inggeris yang saya kelompokkan kepada generasi veteran dari sastera tersebut menyentuh soal meminta pengiktirafan untuk sasterawan yang menulis dalam bahasa Inggeris, juga menyelar Institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, menuduh sasterawan Melayu semacam meminggirkan mereka, dan mendakwa merekalah yang paling ditekan pihak berkuasa (drama pentas mereka dilarang serta karya mereka diperhatikan misalnya) di hadapan sejumlah penulis-penulis dari luar negara di Hotel Ming Court baru-baru ini. Saya berasa hairan, pertama kerana beliau memilih khalayak luar untuk 'menyerang' sedemikian. Kenapa tidak memilih sasaran yang lebih tepat, penulis negara ini sendiri? Keduanya topik tersebut juga dikira membosankan untuk diperdebat dan dipanjangkan.

Pengiktirafan yang diminta tentulah hak karya-karya mereka dinilai untuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia sama seperti penulis-penulis dalam bahasa Melayu. Hak untuk dianugerahkan SEA Write Award, Anugerah Sasterawan Negara dan sebagainya. Saya berasa lucu dengan permintaan seperti ini sebenarnya. Ada beberapa hal yang boleh ditertawakan.

Pertama, ia akan bertolak semula dari semangat ideologi pembentukan bangsa Malaysia. Secara mudah tidakkah soal bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi untuk semua suku di negara ini telah diputuskan lama dahulu, dan bahasa Inggeris jatuh di tempat kedua. Sebuah tubuh badan sastera yang kita namakan kebangsaan tentunya bergerak dari titik ia adalah sastera yang difahami secara majoriti di negara ini. Ia harus menggunakan bahasa yang diterima umum sebagai alat pengucapan seninya itu. Dalam konteks ini tentu sekali bahasa Melayu.

Kedua, meminta pengiktirafan yang sama seperti sastera Melayu adalah sudah dikira tidak adil. Sasterawan Inggeris harus memahami, penulis-penulis yang berkarya dalam bahasa Melayu terbatas khalayak mereka di negara ini, paling jauh ia pergi mungkin ke Brunei sedang Indonesia mungkin boleh dikatakan masih sombong untuk membuka pintu mereka kepada karya-karya dari Malaysia. Justeru pengiktirafan yang ada, akan datang, hanya dari kelompok ini sahaja. Sedang sastera Inggeris kerana penggunaan bahasa yang global itu boleh sahaja dinilai untuk Booker Prize misalnya. Arundathi Roy, novelis dari India yang menulis novel The God Of Small Things mudah sahaja diangkat oleh Panel Booker di United Kingdom sebagai pemenang setelah hak penerbitan dibeli oleh sebuah syarikat penerbitan gergasi dari Britain. Novel itu dianggap sangat kuat dari sudut estetiknya, menggaulkan satira yang amat bermakna, karektor berkesan, penggunaan bahasa yang sangat kreatif dan pengolahan tema cinta kasta yang biasa menjadi begitu tragis di tangan Roy. Tetapi saya juga sering mengingatkan kepada kawan-kawan dari sastera Inggeris. Jangan lupa ada karya yang barangkali jauh lebih baik dari The God Of Small Things yang ditulis dalam bahasa Urdu, atau Telegu, atau Malayalam, atau Benggali atau Hindi atau Tamil sekalipun tetapi tidak dapat diiktiraf dan dinilai kerana tidak ditulis dalam bahasa Inggeris. Puisi Inggeris hasilan Bernice Chauly contohnya belum tentu sebaik puisi penyair muda Shukri Abdullah. Hujah saya, kalau benar ada karya dari sastera Inggeris yang patut diiktiraf di negara kita ini, ia akan diiktiraf lambat-laun oleh Panel Booker, atau panel Commonwealth Prize. Kalian menulis di dalam sebuah bahasa yang bertaraf antarabangsa maka mungkin pengiktirafan antarabangsa jugalah yang akan menanti kalian, itu kata saya selalu. Untuk sastera Melayu di negara ini, penulis-penulisnya hanya ada Anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan beberapa lagi anugerah tahunan itu sahajalah untuk berbangga diri. Jadi penulis-penulis sastera Melayu berhak meminta supaya mereka tidak diganggu. Namun sesuatu yang amat menarik lagi untuk diperhatikan ialah penulis sastera Inggeris di Malaysia ini seperti Karim Raslan misalnya, barangkali boleh berpeluang untuk memenangi Booker Prize menerusi novel Inggerisnya. Tetapi saya mungkin mendahuluinya untuk memenangi Nobel Prize pula. Saya sering gunakan hujah ini untuk membuat rakan-rakan dari sastera Inggeris tertawa. Hampir sebahagian besar penerima anugerah Nobel Prize menulis dalam bahasa ibunda atau bahasa kebangsaan mereka, dan kemudian dengan bantuan terjemahan yang baik, karya mereka dapat dibaca dan dinilai. Sebut siapa sahaja, Albert Camus menulis dalam bahasa Perancis, Jose Saramago menulis dalam Portugis, Rabindranath Tagore dalam bahasa Benggali, Naguib Mahfodz dalam bahasa Arab, Gabriel Garcia Marquez dalam bahasa Spanish dan Kenzaburo Oe menulis dalam bahasa Jepun. Dramatis Dario Fo yang menerima Nobel Prize 1997 contohnya tidak mahir berbahasa Inggeris, dia tersangkak diinterbiu sebuah stesyen televisyen Amerika dan memerlukan interpreter, semua karya-karyanya dalam bahasa Itali tetapi dia dipandang tinggi oleh Panel Nobel dan dramatis dari seluruh dunia kerana kepintarannya menggaul satira, witt dan komedi sambil mengkritik secara tajam dasar-dasar kerajaan Itali dalam drama-dramanya.

Satu lagi hakikat yang perlu diperhatikan, sastera Melayu tentunya bukan hak orang Melayu sahaja. Lim Swee Tin, Saroja Theavy Balakrishnan, Uthaya Sankar SB, Tung Wai Chee, Ding Choo Ming (sekadar beberapa nama) adalah sasterawan bukan berbangsa Melayu yang boleh menulis dengan cemerlang di dalam bahasa Melayu dan telah pun diiktiraf menerusi pelbagai anugerah sastera.

Memilih untuk menulis dalam bahasa apa sekalipun adalah hak individu. Bahasa bukan dan tidak harus menjadi isunya. Untuk mengungkap perasaan dan pemikiran di dalam bahasa apa sekali pun telah menjadi tradisi manusia sejak diwujudkan Tuhan.

Saya sentiasa meraikan karya-karya sastera Inggeris. Novel Scorpion Orchid karya Dr Lyold Fernando memang bermutu dan harus diakui sebagai rakaman kecil kepada hati nurani segelintir masyarakat Malaysia. Satu sikap penulis sastera Melayu yang sedikit ego enggan menjenguk karya dari sastera Inggeris di negara ini harus dikikis. Penelitian karya inter-language memungkinkan satu dialog kesusasteraan yang lebih bermakna. Jangan cepat perasan diri sudah kuat, menggali khazanah kesusasteraan lain apatah lagi yang ada di negara kita sendiri harus dijadikan satu kemestian dan dimulakan segera. Ini mesti dilakukan dengan terjemahan. Tidak ada salahnya DBP menterjemah In A Far Country karya KS Maniam kalau institusi yang sama boleh menterjemah The Remains Of The Day karya Kazuo Ishiguro dari United Kingdom. Juga jangan dilupakan karya-karya sastera yang ditulis dalam bahasa Tamil atau Mahua, bahasa-bahasa sukuan dari Malaysia Timur, Iban contohnya memungkinkan pengkayaan sastera negara. Kita barangkali boleh bertolak ansur pada tuntutan penterjemahan namun meminta pengiktirafan setelah menulis selain dari bahasa kebangsaan, barangkali ini yang kita namakan diberi betis mahukan paha.

Saya barangkali boleh memahami perasaan menjadi minoriti, ada rasa tersingkir dan dipinggirkan. Tetapi juga adat, yang kecil mesti menghormati yang besar dan di kandang mana kita masuk, kita harus belajar mengembek atau menguak atau mengaum.

P/S: Amir Muhammad/Fudzail ada nak komen apa-apa?


BALIK