Make your own free website on Tripod.com
Jawapan "Sastera  Inggeris vs Sastera Melayu"

Oleh: Amir Muhammad


Saya rasa Sdr. Faisal Tehrani sengaja memilih tajuk provokatif "Sastera  Inggeris vs Sastera Melayu" untuk memulakan suatu wacana tentang fungsi   bahasa dalam konteks sastera Malaysia. Saya tercabar untuk melontarkan   beberapa pandangan dan provokasi sendiri. (* Maaf kalau mesej ni   panjang-lebar dan merapu sikit...tengah tulis kat cyber-cafe, tak ada   masa nak edit).   

Perlu diiktiraf, rakyat Malaysia bukannya rakyat penggemar sastera dalam  mana-mana bahasa pun. Malaysia bukannya Rusia atau India, dan belum ada   penulis yang dapat meresap begitu jauh ke dalam ingatan kolektif rakyat   kita seperti Tolstoi atau Tagore di kawasan mereka. Kita masih menunggu   penulis yang dapat menandingi dampak Lat atau P Ramlee dalam merentasi   batasan-batasan sosial yang sedia wujud di negara kita yang permai ini.   Kalaupun ada penulis mendapat gelaran (katakanlah)  "Raja Novelis   Malaysia," ini bukannya bukti sahih yang penulis itu diterima dan   diraikan oleh semua golongan etnik dan kelas di Malaysia. Gelaran   hanyalah gelaran. Bukan semua manusia bergelar Yang Amat Berhormat akan   dihormati atau patut dihormati.     

Pada saya, dikotomi atau perbalahan antara sastera Melayu dan sastera  Inggeris di negara kita tak sepatutnya wujud. Dikotomi ini hanya mula   wujud secara terang pada tahun 70an. Apabila sastera yang ditulis dalam   bahasa selain dari bahasa Melayu dicap sebagai "sastera pinggiran" dan   tak layak  menggondol beberapa hadiah, ada di kalangan penggiat sastera   Inggeris  menganggap tindakan ini bermotifkan cauvinisme perkauman.   Prasangka ini kemudian dikuatkan oleh kenyataan beberapa penggiat   sastera Melayu yang ternyata bersikap perkauman. Mohd Affandi Hassan   pernah mempertikaikan motif "kaum pendatang" menggunakan bahasa Melayu   dan bimbang bahawa ianya akan membawa suatu "kebiadaban baru." Khalid   Salleh pernah mengkritik SN Noordin Hassan sebagai penjual maruah bangsa   hanya kerana beliau menampilkan imej positif mengenai hubungan   Melayu-Cina dalam teaternya "Anak Tanjung."   

Penggunaan frasa seperti "kaum pendatang" seharusnya ditolak oleh warga  Malaysia yang cintakan suasana "kawah pelakuran" yang mampu   memperkayakan suasana sastera dan budaya kita. Ketaksuban dan dogma   terhadap kepentingan bangsa atau bahasa sendiri akan menyempitkan   pandangan dunia kita. Sastera yang sihat tak pernah muncul daripada   pandangan yang sempit.   

Malaysia kaya dengan kepelbagaian dan kontradiksi. Bahasa Melayu  diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan bangsa Melayu menerima beberapa   keistimewaan, namun suasana realpolitik kita bukannya suatu yang   monolitik. Kedudukan Bahasa Inggeris di Malaysia tak sama dengan   kedudukan bahasa tersebut di Itali atau Jepun, yang hanya menggunakannya   secara meluas dalam suasana perdagangan dan diplomasi. Pengalaman   kolonialisme Tanah Melayu serta dasar liberalisasi kerajaan memungkinkan   Bahasa Inggeris terus ketara di golongan kelas menengah dan atasan   daripada semua bangsa. Akibat dasar pendidikan kita, Bahasa Melayu   semakin lama akan digunakan oleh semakin ramai rakyat Malaysia  daripada   pelbagai bangsa dan agama. Kita akan sampai ke suatu tahap di mana   bahasa Melayu tak akan dapat disamakan dengan bangsa Melayu dan agama   Islam lagi. Nahu-nahu peradaban bangsa Cina dan India, serta kitab-kitab   suci Kristian, Hindu dan Buddha, akan harus dijelmakan dalam bahasa   Melayu jika kita benar-benar serius tentang perlunya perluasan bahasa   Melayu ke segenap penjuru sosial Malaysia.   

Kepelbagaian dan kontradiksi sebeginilah yang sepatutnya  dieksploitasikan oleh penggiat sastera di Malaysia, tak kiralah dalam   bahasa apa sekalipun. Sastera ialah wahana untuk merakam, mentafsir dan   memajukan suatu masyarakat. Justeru itu, sastera yang kaya memerlukan   penglibatan seramai mungkin daripada ahli dan pemerhati masyarakat   tersebut. Dan realpolitik masyarakat Malaysia bukannya masyarakat yang   hanya berfikir, bertutur, berurusan dan berasmara dalam bahasa Melayu.   

Benar, kuantiti kerja sastera Inggeris di Malaysia amat kecil. Lloyd  Fernando dan KS Maniam hanya menghasilkan dua novel, Kee Thuan Chye tiga   drama pentas, Karim Raslan dan Dina Zaman satu kumpulan cerpen,  Jit   Murad dua drama pentas ... dan inilah nama-nama yang boleh dianggap   "gergasi" dalam genre ini! Saya kagum dengan sikap prolifik Faisal   Tehrani, Uthaya Sankar SB dan Fudzail (sekadar menyebut beberapa nama)   yang tak pernah ditandingi oleh mana-mana penulis Inggeris di negara   ini. Dari segi sambutan pun tak ada apa yang patut dibanggakan: buku   cerpen Karim, "Heroes" yang dianggap "best-seller" itu hanya mampu   menjual 5,000 naskhah di Malaysia dan Singapura. Bandingkan saja dengan   novel "Salina" atau "Ranjau Sepanjang Jalan" yang telah mencecah angka   jualan puluhan ribu.     

Namun begitu, saya tetap merasakan yang beberapa aspek daripada  realpolitik kita  boleh dan harus diketengahkan dalam bahasa Inggeris   yang mengikut acuan Malaysia (sememangnya bukan bahasa Inggeris London).   Sastera Inggeris harus mencari idiom dan lenggok bahasa yang bersifat   Malaysia, dan harus mengambil iktibar dari kejayaan Arundhati Roy,   Chinua Achebe, Salman Rushdie dan Derek Walcott (sekadar menyebut   beberapa nama) yang telah "merampas  balik" bahasa Inggeris daripada   tangan orang putih. Seperti judul antologi Skoob: The Empire Writes   Back!   

Memang belum ada penulis Inggeris yang dapat merentasi semua batasan  sosial di Malaysia. Namun kita dengan jujur patut mengakui, tak ramai   penulis BANGSA Melayu (selain Usman Awang dan beberapa lagi) berusaha   secara sedar untuk mempelbagaikan khalayak pembaca mereka supaya tak   terdiri daripada orang Melayu saja. Kalau buku dijual sampai 10 juta   naskhah pun, tapi masih menggunakan watak Melayu, citra Melayu, alam   Melayu, tema Melayu, persoalan Melayu dan semuanya Melayu, buat apa?   Memanglah hasilnya karya Melayu tapi bagaimana pula dengan karya   Malaysia?   

Kita ambil sebagai contoh pementasan teater The Storyteller oleh Jit  Murad, 1996, yang berjaya memadati dewan Matic dengan penonton pelbagai   bangsa. Walaupun penonton rata-rata dari kelas menengah, tak ada   mana-mana kaum yang bermonopoli. Bandingkan dengan sambutan teater   Lantai T Pinkie karya SN A. Samad Said di dewan  sama pada tahun   berikutnya. Jumlah  penonton memang hebat, tapi dari pemerhatian saya   lebih 80% kalau tidak 90% daripadanya orang Melayu. The Storyteller   mempunyai kelemahan estetik sendiri terutama dari segi struktor, tapi   ianya "berjaya" kerana dapat merentasi beberapa batasan-batasan sosial.   Kejayaan beginilah yang sepatutnya diidamkan, bukannya kejayaan dalam   bentuk gelaran.  Dan soalan saya di sini: Dari segi manakah dapat Samad   Said dianggap sasterawan NEGARA jika penonton yang meraikan karya beliau   terbatas kepada satu kaum (biarpun kaum itu majoriti) dalam negara   tersebut?     

Jika Hadiah Sastera Malaysia hanya diberikan kepada penulis bahasa  Melayu, ianya sepatutnya diberi nama Hadiah Sastera Bahasa Melayu.   Memang benar bahasa Melayu itu bahasa kebangsaan, tapi jika beberapa   mercutanda gemilang hasil wawasan "Perdana Menteri Tetap" kita seperti   KLCC, KLIA dan MSC dapat mengiktiraf kedudukan bahasa Inggeris, kenapa   tidak sastera kita? Apa yang penting dalam sastera ialah nilai estetik   serta ketajaman pemikiran si pengarang. Sastera tak seharusnya   diperkotak-katikkan untuk melayan agenda dogmatik, ketaksuban atau   perkauman yang sempit. Hadiah Sastera Malaysia sepatutnya bersifat   terbuka dalam meraikan kepelbagaian masyarakat kita. Kategori khusus   harus diwujudkan untuk setiap bahasa utama,  sama seperti di Singapura   dengan Literature Prize tahunan mereka. Pemenang-pemenang dalam setiap   kategori harus kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa masing-masing   untuk memperkayakan lagi ingatakan kolektif kita yang selama ini terlalu   ketandusan karya sastera. Biarlah pembaca menilai karya mana yang hebat   dan karya mana yang harus dibakulsampahkan. Pembaca berfikir ialah panel   juri yang muktamad untuk seorang penulis berfikir.   

Faisal menyatakan bahawa penulis bahasa Melayu memerlukan hadiah dari  sini kerana pembaca mereka (dalam bahasa asal) memang tertumpu di   Malaysia dan Brunei saja. Tapi pemikiran begini seperti lanjutan   daripada "mentaliti subsidi" yang harus dihakis jika kita benar-benar   mahu berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain. Hadiah sastera ialah   peluang untuk mengiktiraf dan meraikan yang terbaik, bukannya peluang   untuk  menepuk belakang kawan-kawan kita. Suasana "selesa" sebeginilah   yang barangkali telah mewujudkan angan-angan bahawa ada penulis di   kalangan kita yang mampu menggondol Hadiah Nobel.   

Namun, saya tak setuju apabila beberapa penulis Inggeris memberi  gambaran seolah-olah peminggiran sastera Inggeris oleh badan-badan   berwajib tertentu telah menatijahkan suatu penindasan yang membantut   kreatitivi dan proses pengkaryaan mereka. Kegagalan penulis Inggeris   (walau sehebat manapun) untuk menandingi kuantiti dan konsistensi   rakan-rakan sejawat mereka dalam bahasa Melayu merupakan kegagalan   peribadi yang tak seharusnya dihumban keatas Gapena atau DBP. Penulis   jitu akan tetap menulis. Kalau pengarang yang merengkok dalam penjara   pun dalam menghasilkan tetralogi Bumi Manusia, agak "mengada-ngada"   kalau terdapat insan yang merajuk dan gantung pena semata-mata sebab tak   dapat bergelar Sasterawan Negara.   

Wallahu'alam. Inilah saja buat kali ini ... apa komen penghayat maya  yang lain? 


BALIK