Make your own free website on Tripod.com
Bahasa Kebangsaan di Kompleks Beli-Belah  

Oleh: Fadhila Fadhil(email Fudzail)


DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan sebuah badan kerajaan yang berfungsi sebagai pusat pengembangan bahasa Melayu dan Sastera atau lebih tepat dikatakan sebagai “gedung ilmu”.  Umum dapat melihat pelbagai usaha yang telah dilakukan dan terus dirancang oleh DBP supaya matlamat untuk mengembangkan penggunaan bahasa Melayu terlaksana. DBP misalnya merupakan pihak yang bertanggungjawab dan berperanan penting dalam memastikan setiap iklan yang ingin dipamerkan di tempat-tempat awam tidak mengandungi kesilapan ejaan dan menepati hukum tatabahasanya.  Selain itu, usaha DBP baru-baru ini yang mengadakan Minggu Bahasa Kebangsaan Kompleks Beli-belah Peringkat Negeri Selangor di Plaza Metro Kajang harus diberi pujian.  

 Usaha sedemikian perlu diteruskan kerana pelbagai bangsa mengunjungi pusat beli-belah.  Melalui cara ini mungkin akan memberi kesedaran dan peluang kepada pengunjung-pengunjung untuk menggunakan bahasa Melayu ketika mereka berada di kompleks  beli-belah tersebut.   Dengan adanya Minggu Bahasa ini para peniaga dapat juga mempraktikkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusniaga mereka.    

  Sekiranya sebelum ini para peniaga menggunakan pelbagai bahasa mengikut keturunan  pelanggan yang datang, dengan adanya Minggu Bahasa ini mereka berpeluang menggunakan bahasa Melayu.  Hal ini menunjukkan mereka peka dengan kegiatan kebahasaan dan sebagai sokongan positif mereka terhadap usaha DBP.  Biasanya peniaga dan jurujual di kompleks beli-belah akan memberi sokongan yang positif terhadap usaha ini.  Para pengunjung Mtero Kajang sendiri dapat menyaksikan kesungguhan para peniaga menggunakan bahasa Melayu sepanjang Minggu Bahasa tersebut.  Para peniaga kelihatannya sentiasa bersedia untuk menggunakan bahasa Melayu dalam menjalankan urusniaga seharian.    

  Sebenarnya penggunaan bahasa Melayu dalam urusan perniagaan tidak langsung menjejaskan keuntungan perniagaan pengusaha-pengusaha tempatan. Malah sebaliknya usaha ini merupakan salah satu cara untuk memajukan kualiti penggunaan bahasa Melayu mereka sendiri.  Hal ini boleh dianggap sebagai sumbangan mereka sebagai rakyat Malaysia. Selain itu, pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh DBP seperti jualan buku, kaunter khidmat nasihat bahasa kuiz bahasa, persembahan berbalas pantun dan lain-lain lagi seharusnya dipuji dan digalakkan agar terus diadakan dari semasa ke semasa.  Ini adalah untuk menarik minat masyarakat dalam memberi sumbangan kepada perluasan dan peningkatan penggunaan bahasa kebangsaan di sektor swasta.   Walau bagaimanapun, adalah satu perkara yang lumrah sekiranya  terdapat rungutan daripada segelintir peniaga yang mungkin keberatan untuk menggunakan bahasa kebangsaan ketika berurusniaga.  Mereka mungkin mempunyai mempunyai alasan tersendiri untuk mempertahankan tindakan mereka.  Tetapi, sekiranya ada yang memberi alasan bahawa penggunaan bahasa Melayu akan menyukarkan kegiatan urusniaga dengan pelanggan; hakikat sebenarnya mereka keliru dengan kemampuan mereka ketika berbahasa Melayu. Malah terdapat juga peniaga yang menganggap kekurangan istilah-istilah dalam bahasa Melayu menyukarkan mereka untuk menjalankan urusniaga menggunakan bahasa Melayu.  Mereka bimbang sekiranya sesuatu perkataan itu diterjemahkan dalam bahasa Melayu akan menimbulkan kekeliruan kepada pelanggan.  Alasan tersebut tidak sepatutnya ditimbulkan kerana DBP telah menerbitkan beberapa banyak buku istilah yang merangkumi pelbagai bidang.  Benarlah kata orang “jika mahu seribu daya, tidak mahu seribu dalih”.  Sesungguhnya kita memainkan peranan yang besar dalam memastikan bahasa Melayu terus maju di samping menanam semangat cinta akan bahasa kebangsaan kita.  


BALIK