Make your own free website on Tripod.com
Memartabatkan Bahasa Melayu di Rangkaian Radio Era

Oleh: La Hami Ahmad (email Fudzail)


ERA merupakan suatu rangkaian radio swasta kelolaan syarikat sistem radio dan televisyen Asia iaitu ASTRO.  Rangkaian radio ini menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dan yang tunggal dalam rangkaian radio ASTRO manakala yang selebihnya rangkaian radio berbahasa Inggeris dan satu rangkaian radio berbahasa Cina.  Sebagai rangkaian radio yang beroperasi 24 jam sehari, rangkaian ini menyiarkan lagu-lagu Melayu dan lagu-lagu dalam pelbagai bahasa lain dari pelosok benua Asia.     

 Penggunaan bahasa di kalangan juruhebah radio Era ialah topik yang akan saya kemukakan dalam ruangan ini.   Oleh sebab saya peminat setia rangkaian radio tersebut, saya berpeluang membetulkan kesalahan bahasa yang dituturkan oleh juruhebah radio tersebut.  Antara contoh kesalahan bahasa itu adalah seperti yang berikut:     

a) *Keadaan trafik buat masa ini dilaporkan sesak  Sepatutnya:  Keadaan trafik pada masa ini adalah sesak di Jalan Lapangan Terbang Lama ke Jalan Hang Tuah.     

*Sebentar lagi, kita akan dengarkan pula lagu Kaui Ilhamku dari Man Bai.  Hanya di Era, Rentak Muzik Terkini.     

Sepatutnya:   Sebentar lagi, kita akan mendengar lagu oleh Man Bai, Kau Ilhamku.  Hanya di Era, Rentak Muzik Terkini.     

  Dalam iklan Era pula, terdapat beberapa kesalahan bahasa seperti yang berikut:     

a) *Ianya lain dari yang lain dengan muzik terkini.  Era!  Sepatutnya:  Lain daripada yang lain dengan muzik terkini.  Era!     

b) *Dari  Era kepada Anda 24 Jam Sehari   Sepatutnya:  Daripada Kami di Era kepada Anda 24 Jam Sehari.      

Daripada contoh-contoh kesalahan yang saya berikan di atas, saya membuat kesimpulan bahawa oleh sebab rangkaian radio Era merupakan penyiaran seluruh Asia, maka ini adalah peluang untuk “mengeksport” bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa, khususnya benua Asia.     

Melalui penggunaan bahasa Melayu yang betul di kalangan juruhebah-juruhebah radio tersebut, rakyat dari seluruh Asia dapat mempelajari bahasa Melayu dengan betul.  Penggunaan “bahasa rojak” dalam segmen tetap “Cik Laser” seharusnya dikurangkan dengan serta-merta bagi memastikan bahawa usaha memartabatkan bahasa kebangsaan kita terus berkembang.  Sebutan baku sepenuhnya dalam iklan, laporan trafik, cuaca, dan sebagainya seharusnya dilakukan tanpa diskriminasi.  Sekiranya martabat bahasa kita diangkat ke peringkat antarabangsa, kita dan seluruh rakyat negara lain akan berbangga apabila bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa dunia yang utama kelak.  


BALIK