Make your own free website on Tripod.com
Memperteguh Keyakinan Terhadap Kemampuan Bahasa Kebangsaan 

Oleh:  (PELITA BAHASA 2/99)- email Fudzail


UMUMNYA, kita sering menganggap, isu bahasa adalah isu remeh; isu yang agak basi untuk diperkatakan.  Benarkah tanggapan yang sedemikian?  Namun apa pun tanggapan yang diberi, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, setiap rakyat Malaysia bebas menyuarakan pendapat dan pandangan masing-masing, selagi tidak menyentuh isu-isu sensitif yang bertentangan dengan Perlembagaan negara.  Oleh hal yang demikian, terpulanglah kepada setiap individu untuk memberi tanggapan sejauh mana bahasa kebangsaan memainkan peranan yang penting dalam membentuk sahsiah diri rakyat Malaysia.  

Sekiranya kita setuju dengan frasa “bahasa melambangkan bangsa,” kita pasti peka dengan peri pentingnya memartabatkan bahasa Melayu selaku bahasa yang telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan.  Kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara kita.  Hal ini telah termaktub dalam Perlembagaan negara.  Namun begitu, kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya mendokong setiap amanah yang dipertanggungjawabkan terhadap semua individu.     

 Dalam hal ini, bahasa turut menjadi salah satu amanah yang tidak kurang penting dalam membentuk jati diri bangsa Malaysia.  Oleh hal yang demikian, kita haruslah yakin dengan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang berwibawa untuk menyingkap apa-apa sahaja bidang.  Apatah lagi bahasa Melayu satu masa dulu pernah wujud sebagai lingua franca yang digunakan oleh pelbagai bangsa.  Bahkan ketika itu bahasa Melayu dianggap begitu penting untuk dikuasai oleh pedagang-pedagang asing bagi melancarkan urusan perdagangan mereka.  Berdasarkan hal tersebut, sebagai rakyat yang berpegang kepada prinsip “negara kita tanggungjawab kita”, maka sewajarnyalah kita berusaha untuk memperteguh keyakinan terhadap kemampuan bahasa kebangsaan kita.  

Sementara itu, wakil Pelita Bahasa berkesempatan mendapatkan pandangan Sdr. Mohamad Daud Mohamad, Editor Jurnal Dewan Bahasa, mengenai hal ini dengan lebih lanjut lagi.  Menurut Sdr. Mohamad Daud, secara teoritikalnya tidaklah dapat dinafikan bahawa bahasa Melayu mencapai targetnya sebagai bahasa kebangsaan.  Tetapi satu perkara yang perlu kita sedar ialah usia bahasa Melayu bukanlah muda.  Bahasa Melayu telah bertapak lebih 40 tahun dan telah melewati usia dewasanya.  Jadi soalnya sekarang, bukanlah masanya lagi untuk kita memperkatakan perihal kedudukan memantapkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama atau lebih tepat lagi sebagai bahasa kebangsaan negara ini.  Sepatutnya dalam tempoh sematang ini, bahasa Melayu sedang mengalami zaman pengisiannya sebagai satu bahasa yang maju, yang mampu mengungkap pelbagai bidang ilmu, setanding dengan bahasa-bahasa utama dunia seperti bahasa Inggeris, bahasa Arab, dan bahasa Cina.  Oleh hal yang demikian, soal-soal yang berkaitan dengan pembinaan bahasa Melayu, telah lama selesai dan bukan lagi menjadi agenda pengembangan bahasa kebangsaan di negara ini.  “Sekiranya kita melihat pada jumlah penutur bahasa Melayu di seluruh dunia iaitu melebih 250 juta penutur, kita seharusnya akur dengan kemampuan dan kematangan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dunia,” demikian Mohamad menegaskan.     

 “Oleh hal yang demikian, andai kata kita mengambil fakta itu sebagai landasan atau sebagai titik tolaknya, bahasa Melayu kini perlu diisi setidak-tidaknya dalam pembinaan ilmu yang meliputi berbagai-bagai bidang dan laras.  Dan kita juga harus memikirkan untuk membentuk bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi antara negara ASEAN.  Yang mahu saya tekankan di sini ialah peri pentingnya pengisian yang lebih bermakna terhadap bahasa Melayu itu sendiri,” kata Mohamad lagi.    Selanjutnya Mohamad menambah bahawa sekiranya kita melihat Perlembagaan negara sebagai landasan, kita dapat memerhatikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam dua konteks.  Yang pertama ialah melihat bahasa kebangsaan dalam konteks nasional yang menurut Mohamad, penggunaan bahasa Melayu masih belum merata di kalangan masyarakat negara ini.  Dengan lain perkataan, kita belum boleh berpuas hati dengan tahap penggunaan bahasa Melayu sekarang.  Menurut beliau, hal sedemikian dapat dilihat sekiranya kita menonton berita di televisyen; ada kalangan pemimpin yang bertutur dalam bahasa Inggeris apabila ditemu bual, walaupun wartawan bertanya dalam bahasa Melayu.  “Saya tidak mengatakan bahawa mereka tidak mampu berbahasa Melayu atau mahu meremehkan bahasa Melayu.  Tetapi satu hal yang agak ketara di sini, jika kita lihat dalam konteks nasional yang saya maksudkan terlebih awal, kita belum mampu mewujudkan semangat patriotisme bahasa dalam minda masyarakat kita,” tegas Mohamad.    

Selain itu, Mohamad turut menambah bahawa kalangan yang agak kerap melakukan “code switching” terdiri dari kalangan masyarakat Melayu sendiri.  Hal ini berbeza daripada masyarakat bukan Melayu yang lebih berhati-hati apabila ditemu bual.  Mungkin dalam minda mereka telah tertanam bahawa bahasa Melayu bukan bahasa ibunda mereka tetapi adalah bahasa kebangsaan.  Oleh hal yang demikian mereka lebih berhati-hati dan lebih peka dengan fungsi bahasa Melayu dan kesesuaian penggunaan bahasa Melayu dengan situasi dan tempatnya.     

 Sementara itu, Mohamad turut memberi pandangan beliau tentang penggunaan bahasa kebangsaan dengan melihat dari konteks sejarah.  Menurut beliau, kita seharusnya jujur dengan diri kita sendiri. Dalam hal ini beliau menegaskan bahawa jika dilihat dari sudut penulisan sejarah bahasa Melayu, kita masih kurang berupaya menyelaraskan tentang fakta sebenarnya.  Mohamad yang pernah terlibat sebagai ahli jawatankuasa kerja penulisan sejarah bahasa Melayu pada awal tahun 80-an menyatakan bahawa sehingga kini mereka hanya mampu menghasilkan monograf tentang sejarah bahasa Melayu yang bersifat umum sahaja, bukan monograf yang bersifat khusus; apatah lagi untuk menghasilkan ensiklopedia sejarah bahasa Melayu.    “Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah mengalami zaman gahnya sebagai lingua franca.  Tetapi, faktor masa dan faktor politik menyebabkan bahasa Melayu telah terbahagi kepada tiga bahagian iaitu; bahasa Indonesia yang merujuk kepada bahasa Melayu yang digunakan di Republik Indonesia, bahasa Malaysia yang merujuk kepada bahasa kebangsaan Malaysia, dan bahasa Melayu di Brunei Darussalam.  Dalam hal ini, kita menjadi keliru untuk menyelaraskan kerja-kerja penulisan sejarah bahasa Melayu, sama ada kita perlu merujuk perkembangan bahasa Melayu yang wujud sekarang atau perkembangan bahasa Melayu yang menjadi induknya,” kata Mohamad.     

 Apabila ditanya tentang kemampuan bahasa Melayu dalam menghadapi era abad ke-21, Mohamad Daud berpendapat, bahasa Melayu mengalami kesukaran untuk bergerak seiring jalan dengan perkembangan teknologi masa kini.  “Dalam kita mengalami ledakan teknologi maklumat, dan pasca modenisme yang melibatkan pengaliran sistem maklumat tanpa sempadan atau dengan kewujudan maya siber; kita seolah-olah lupa dengan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang sewajarnya berfungsi sebagai bahasa penghantar dan bahasa komunikasi,” tegas Mohamad.     

 Menurut beliau, jika kita lihat akan kecanggihan teknologi sekarang maka kita tidak begitu hairan dengan projek gergasi kerajaan untuk membina koridor raya multimedia.  Dalam hal ini, adalah tidak mustahil untuk menubuhkan sebuah bandar siber yang serba canggih.  Tetapi menurut Mohamad, dalam pada itu, kebanyakan daripada kita lupa akan pengisian terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.  “Fungsi bahasa Melayu seakan-akan terabai apabila kita memperkatakan perihal bandar siber yang menjadi impian kita,” tambah Mohamad lagi.    “Ingin saya tegaskan di sini, dalam memperkatakan hal ini, kita seharusnya tidak merendah-rendahkan kemampuan bahasa Melayu.  Tetapi sebaliknya perlu menyedari hakikat bahawa faktor kurang keyakinan terhadap kemampuan bahasa Melayulah yang menyebabkan kita meremehkan akan peri pentingnya mengutamakan bahasa Melayu dalam semua situasi,” demikian menurut Mohamad.    Beliau mengambil beberapa contoh yang dapat menunjukkan bahawa keyakinan terhadap kemampuan bahasa Melayu penting demi memartabatkan kewibawaan bahasa Melayu.     

 “Cuba kita lihat kesan daripada pengeksportan kereta nasional negara kita seperti Proton Wira di luar negara dan usaha kerajaan mempromosi Wira di Kutub Utara secara tidak langsung memperkenalkan bahasa Melayu serata dunia.  Walaupun dengan hanya satu atau dua patah perkataan Melayu, tapi usaha sedemikian sudah memadai untuk menggambarkan penghormatan kita terhadap bahasa Melayu.     

 Sebaliknya, kalau kita mengambil satelit pertama Malaysia MEASAT sebagai contoh, sudah pasti kita berasa hampa, kerana nama satelit tersebut tidak langsung mempunyai citra Malaysia.  Indonesia misalnya, satelit mereka dinamakan PALAPA bersempena dengan sumpah Gajahmada, yang begitu ketara sekali citra Indonesianya,” tambah Mohamad lagi.     

 Mohamad kemudiannya menegaskan bahawa keyakinan terhadap kewibawaan bahasa kebangsaan adalah penting dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.  “Oleh itu setiap individu seharusnya berusaha untuk memperteguh keyakinan terhadap bahasa rasmi negara kita,” katanya bagi mengakhiri perbualan.     


BALIK