Make your own free website on Tripod.com
LANTAKLU

Oleh: FUDZAIL


Dalam sebuah kapalterbang dari Narita.

Sambil terus menatap majalah in-flight, Jim seorang arkitek California sesekali menjengah keluar. Juruterbang baru saja memberitahu tinggal empat jam lagi untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Koo-wa-la Loom-pu-or atau nama singkatannya LANTAKLU.

"Pertama kali ke Mae-lay-zia?" Tiba-tiba penumpang disebelahnya bertanya. Tidak seperti Jim yang terbang sejak dari Los Angeles, penumpang itu baru menaiki penerbangan dari Narita.

Jim mengangguk. "Pertama kali juga ke Asia!"

Penumpang itu menghulurkan tangan. "Mikael Yeoh, dari Mae-lay-zia!" "Jim Bond, California!" Jim memperkenalkan diri. "Saya sekadar singgah transit enam jam sebelum ke Sydney!"

"Oh! Mengapa tidak ambil penerbangan terus ke Australia?"

"Mahu melihat lapangan terbang termoden dan tercanggih, LANTAKLU!"

Mikael tersenyum. "Saya pun pertama kali akan mendarat di LANTAKLU! Sewaktu saya terbang ke San Francisco ianya belum dibuka secara resmi lagi!"

"Betulkah begitu?" Jim sinis bertanya. "Nampaknya tiada bezanya kita. Saya ada membaca tentang LANTAKLU dalam sebuah majalah. Tertarik dengan laporan yang mengatakan senibinanya begitu jauh kehadapan dengan bertemakan rekabentuk pergabungan, yakni symbiosis antara identiti Mae-lay-zia dan imej lapangan terbang termoden!"

Mikael ketawa. "Ah! Arkitek Jepun itu! "

"Apa maksud anda berkata sebegitu?"

"Bagi ramai rakyat Mae-lay-zia seperti saya, seorang pembayar cukai, tiada apa yang mahu dibanggakan dengan LANTAKLU yang bernilai puluhan bilion ringgit itu. Senibinanya rekaan arkitek Jepun, dengan bantuan pakar-pakar asing dalam pelbagai bidang, dengan buruh-buruh asing. Bukan buatan Mae-lay-zia!" Mikael ketawa dan tidak berselindung menyatakan apa yang berada di fikirannya sejak lama.

Jim sama ketawa. "Itulah yang membuatkan saya tertanya-tanya. Apakah LANTAKLU sekadar flight of fancy? Sekadar bermegah dengan bangunan-bangunan raksasa? Tidak cukupkah dengan Menara tertinggi di planet? Atau sebuah pernyataan yang Mae-lay-zia kini sama taraf dengan negara maju?"

"Itulah antara punca kegawatan ekonomi di Asia sekarang. Pembaziran di peringkat tidak munasabah. Atas nama projek mega, pembangunan dan Mae-lay-zia boleh. Mungkin mahu jadi sebahagian dari keajaiban dunia seperti Mesir dengan Piramid, kaum Mayan dengan kuil-kuil atau sekurang-kurangnya macam Sydney Opera House, Chicago Twin Towers dan Melbourne Central! Semuanya duit pinjaman, yang kaya dua tiga orang dan bila susah semua orang terlibat!"

"Anda tidak patriotik!" Jim ketawa berterusan. Memang dia jarang berdepan rakyat Asia yang tidak bermatian mempertahankan negara dan pemimpin mereka. Mungkin kegawatan ekonomi dan kejatuhan nilai matawang seakan telah banyak mengajar mereka mengenai hak asasi, berdetik hati Jim. Yang juga seorang pejuang hak asasi manusia yang sentiasa mahu membuktikan bahawa Barat sentiasa benar dan berkuasa. Terutama Amerika.

"Anda tidak baca LA Times mengenai jerubu, kemarau dan masalah kewangan yang terus menyesakkan? Satu demi satu bencana!" Mikael menunjukkan potongan akhbar yang dibawanya. Sengaja dipotong dan dibawa balik seakan menjelaskan memang tiada kebebasan akhbar di Mae-lay-zia.

Laporan itu turut melaporkan yang jerubu dan kemarau adalah akibat dari negara dunia ketiga yang terburu-buru mengejar pembangunan. Tanpa mengambil kira perancangan jangka panjang dan ekologi. Termasuk penswastaan yang berdasarkan sukut-sakat ekonomi, bukan kepentingan rakyat. Malah dikatakan pertumbuhan yang menakjubkan sebenarnya sebuah ilusi sedangkan mereka tidak tahu apa yang terbaik, sekadar mengikut arus. Sungguh-sungguh Mikael mempercayai apa yang dibacanya. Terutama tentang 20 billion ringgit yang dibawa keluar sejak kegawatan. Itupun setelah membaca tentangnya di Amerika.

"Sebenarnya saya terbaca lapuran mengenai pendatang asing tanpa izin di racun sebelum di bunuh beramai-ramai! Mahu tahu kebenaran berita itu dari dekat!" Jim meneruskan perbualan dengan menghulurkan potongan akhbar British yang dibelinya sewaktu di London.

Mikael terdiam. Menaikkan suara. "Itu tidak benar, walauapapun kami lebih bertamadun dari kebanyakan negara barat sendiri! Malangnya ada juga NGO tempatan yang marah-marah polis kononnya suka-suka bunuh perompak dan pendatang! Tidak benar!"

Kata-kata Mikael seakan mengubah arus suasana. Jim sekadar diam melihat wajah Mikael bersama sapaan pramugari yang bertanya tentang menu pilihan.

************

Di kaca TV seluruh Mae-lay-zia.

"Saya fikir masalah kebocoran paip air untuk bekalan ke LANTAKLU ini hanya disedari setelah lima jam ianya berlaku!" Jelas seorang jurutera syarikat Kemuncak Naga yang mendapat konsesi penswastaan bekalan air. Visual rakaman di tempat kejadian memenuhi semua berita TV waktu perdana malam itu. Jurutera itu enggan gambar dan namanya disiarkan atas alasan keselamatan. Sekadar suaranya.

Menurutnya lagi, paip yang besar berukuran garis pusat 208 cm itu mengambil masa untuk dibaiki. Kebetulan paip itu mengawal kuantiti dan arah aliran air dan di sambung dari paip utama.

Pengurus operasi LANTAKLU yang bertugas sewaktu ditemuramah memberitahu, "Kami langsung tidak diberitahu tentang bekalan air terputus. Kebetulan kami sedang membaiki pulih tangki air setelah bocor oleh pembuatan yang tidak sempurna oleh kontraktor. Air dalam simpanan kami pula hanya dapat bertahan selama tiga jam. Jadi kami terpaksa menutup separuh dari chillers yang ada dan sekali gus mematikan unit penghawa dingin."

Wajahnya yang menampakkan keletihan terpampang di kaca TV. "Kemudian semua pili air dan hydrants pun kekeringan! Pihak Kemuncak Naga telah berjanji untuk menghantar bekalan seberapa segera tetapi tidak sampai-sampai lagi. Menurut mereka, lori tangki yang sepatutnya dihantar untuk kecemasan ke LANTAKLU telah ditahan dan diculik oleh penduduk beberapa kawasan yang memang tertunggu-tunggu bekalan air sejak sebulan lalu!" Sambungnya. "Malah kami masih menanti sehingga kini, setelah sepuluh jam berlalu!"

Sebuah stesen TV begitu sensasi dengan melaporkan yang mereka telah berjaya menyeludupkan sebuah video rakaman temuramah dengan penumpang di LANTAKLU walaupun pihak LANTAKLU telah melarang apa saja rakaman dibuat sama ada di dalam terminal atau kawasan sekeliling.

Seorang penumpang dari Jepun dengan kasar berkata. "Kalau terjadi di Jepun, semua yang menjadi tulang belakang LANTAKLU akan dipecat. Tidak pun mereka sendiri akan bunuh diri. Apakah lapangan terbang secanggih ini tiada bekalan air simpanan?" Mukanya berpeluh-peluh antara kepanasan dan meradang. Dia terus mengomel dalam bahasa Jepun yang tidak berbutir. "Sudah banyak yang diperkatakan tentang kemajuan dan pembangunan pesat Mae-lay-zia. Dari menara tertinggi, lapangan terbang terunggul hingga ke empangan terbesar. Tetapi malangnya keperluan asas seperti air pun tidak mampu di selenggarakan. Memalukan!" Komen seorang wanita yang bergelar doktor dari Britain. Dia enggan mengulas lanjut.

Visual itu kemudian menunjukkan seorang pegawai khidmat pelanggan sebuah penerbangan asing yang sedang cuba menenangkan beberapa penumpang. Terdengar maki hamun dan sumpah seranah terutama pada pihak pengurusan LANTAKLU sehingga ke beberapa menteri yang bertanggungjawab. Jelas mereka adalah warga tempatan.

"Ini adalah kali terakhir untuk saya ke negara ini!" Sepatah komen seorang penumpang dari Perancis. Mukanya masam semasam bau badannya.

"Bayangkan kalau transit lebih dari empat jam dan mahu ke tandas! Yuk!" Seorang pramugari yang bercuti dan mahu terbang ke Jepun mencemik. "Saya tidak menyalahkan mereka yang sudah mahu mengamuk, terutama yang ada anak-anak kecil. Apalagi kalau yang tidak sihat!"

Sambungnya dengan penuh perasaan. "Saya tiba-tiba jadi malu dengan negara sendiri. Apalagi kalau kita banyak terbang ke negara lain yang lapangan terbangnya tidak sehebat kita, tetapi kemudahan asasnya sentiasa berada ditahap terbaik!"

Akhirnya pembaca glamour berita stesen TV tersebut yang juga bekas seorang pramugari membaca komen ini, " Bilion ringgit telah dibelanjakan untuk sebuah projek mega bertaraf dunia dan untuk menjadikan Koo-wa-la Loom-po-ur sebagai pintu masuk dan destinasi pelancungan terunggul, dengan apa yang terjadi hari ini segalanya seakan tercurah ke dalam air tandas. Mereka yang berada di balai berlepas akan terus segar dengan gambaran jijik najis melimpah dan sekaligus memudarkan apa saja imej-imej gemilang negara kita. Bilakah kita boleh belajar dari kesilapan lalu?"

************

Di ruang terminal utama LANTAKLU.

Jim tidak sabar-sabar lagi untuk menaiki penerbangan selanjutnya ke Sydney. Panas suasana. Pendingin hawa tidak berfungsi. Bau busuk memenuhi udara. Terasa sesak nafas. Terdengar suara anak-anak kecil menangis dan merengek. Masing-masing panas hati. Terdengar juga pertengkaran di sana sini antara penumpang dan pekerja syarikat swasta pengendali LANTAKLU Sedangkan di luar hujan lebat disertai petir dan guruh menggelapkan pandangan. Tidak henti-henti sejak dua jam lalu. Jim yang sudah tidak tahan lagi untuk buang air besar sejak lima jam lalu. Perutnya memulas-mulas. Mungkin terlebih makan pedas dalam kapal terbang. Tetapi tiada siapa yang sehat mentalnya untuk masuk mana-mana tandas yang ada di LANTAKLU. Kesemua tandas di LANTAKLU melimpah-limpah dengan najis manusia.

Tiada siapa yang tahu apa yang terjadi. Tiada apa-apa pengumuman. Jim hanya mendapat tahu dari akhbar petang berbahasa Inggeris tentang catuan air yang semakin membebankan penduduk Koo-wa-la Loom-pu-or. Gambar depan akhbar itu terpampang sebahagian penduduk menunjuk perasaan setelah putus bekalan air selama sebulan. Disamping gambar sebuah lori tangki air yang diletakkan di laman sebuah rumah pegawai kanan sebuah majlis perbandaran. Kedua-duanya di tempat yang sama. Antara dua darjat, begitu tajuk yang tertera. Sedangkan monitor TV yang banyak tergantung di mana-mana tidak henti-henti menayangkan dokumentari mengenai LANTAKLU. Dari keunggulan senibina hingga kecanggihan sistem komputer yang menjadi nadi setiap pergerakan di LANTAKLU. Sebagai khazanah kebanggaan rakyat Mae-lay-zia untuk menghadapi cabaran abad 21.

Dokumentari itu menunjukkan hutan buatan manusia sebagai hutan tropika menghijau yang digabungkan dalam pembinaan LANTAKLU, seakan menggambarkan ruang yang besar dan terbuka. Pengacara dokumentari itu mengatakan, "LANTAKLU menggambarkan sebuah memori akhir abad 20. Beberapa ratus tahun dari sekarang, generasi akan datang akan melihat LANTAKLU sebagai simbol peninggalan terakhir abad 20. Sebagai karakteristik sebuah mercu tanda dan masterpiece yang ulung!"

Bersilih ganti dengan pelbagai promo destinasi pelancungan dalam negeri. Menggambarkan betapa Mae-lay-zia adalah syurga pelancungan terutama di waktu nilai matawangnya terus merudum.

Tiba-tiba pengumuman baru membuat semua orang serentak terdiam. "Semua penerbangan dibatalkan sehingga diberitahu kelak! Menara radar kami telah di panah petir dan tidak boleh berfungsi. Kami sedang sedaya upaya memulihkan keadaan, diharapkan semua penumpang dapat terus bersabar kerana inilah kali pertama insiden seumpama berlaku. Semua pakar kami sedang bertungkus lumus untuk mengembalikan operasi LANTAKLU seperti sediakala!" Jim menjerit sekuat-kuat hati bersama isi perutnya yang hampir terburai!


BALIK