Oleh: EDITORIAL (email Fudzail)
SEMENJAK teknologi komputer menjadi pemangkin dalam pelbagai dunia usaha, badan pelaksana bahasa dan ahli bahasa tidak mahu ketinggalan di belakang dalam memanfaatkan teknologi moden ini bagi memasyarakatkan bahasa melalui “Teknologi Bahasa Manusia” (TBM). Misalnya, Defense Department`s Advanced Research Project Agency, Amerika Syarikat dan beberapa industri komputer lainnya seperti IBM dan AT & T telah membiayai penyelidikan “Sistem Bahasa Ucapan”. Sebagai hasilnya, pada tahun l971 dan tahun l976, program ucapan Advanced Research Project Agency untuk pengenalan sebanyak l000 kata telah dihasilkan. Di samping mengembangkan projek Sistem Bahasa Ucapan, badan-badan bahasa di dunia juga sedang mengembangkan “ Sistem Bahasa Tulisan”. Tujuan pembinaan dan pengembangan Sistem Bahasa Tulisan ini adalah untuk mempermudah penyelidik dan pengguna bahasa dalam penyemakan ejaan, penggunaan istilah, pemenggalan kata, pemeriksaan tatabahasa, dan ketepatan makna dalam penterjemahan.
Kemajuan yang tampak daripada usaha yang dirintis oleh Defense Department`s Advanced Research Project Agency ini, telah dimanfaatkan oleh pakar teknologi komputer dan ahli bahasa Jepun dalam memasyarakatkan dan mengembangkan pemelajaran bahasa Jepun untuk orang asing yang hendak mempelajari bahasa Jepun. Keberhasilan ahli bahasa Jepun tersebut mendorong Dewan Bahasa dan Pustaka memperkenalkan karya berbahasa Melayu melalui sistem yang sama. Untuk merealisasikan program ini, Dewan bahasa dan Pustaka, Universiti Teknologi Malaysia, dan salah sebuah syarikat komputer Jepun telah mencuba mengadakan kerjasama. Namun, projek yang ideal ini akhirnya terbengkalai di tengah jalan dan lenyap bersama dengan perkembangan teknologi itu sendiri.
Namun, usaha untuk memanfaatkan teknologi komputer untuk memasyarakatkan bahasa Melayu terus diusahakan, dan sebagai hasilnya pada tahun l990-an, Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama syarikat Iventec Group, Taiwan dan Maprint Sdn. Bhd. telah berhasil mengeluarkan Kamus Komputer Telapak Besta DBP-1. Kejayaan kita ini, memungkinkan pemelajaran bahasa Melayu dikembangkan dan dimasyarakatkan dengan lebih terserlah dan efisien. Suatu hal yang cukup penting dalam pemasyarakatan bahasa Melayu dan pemanfaatan teknologi ini, ialah amalan budaya “hangat-hangat tahi ayam” - ghairah bersama dengan keghairahan perkembangan teknologi maklumat (IT) dan kemudian akan terhenti dengan sendirinya apabila teknologi komputer ini menjadi barang mainan kanak-kanak. Fonemena ini dibangkitkan kerana beberapa tahun yang lalu, badan perancang bahasa dan ahli bahasa sibuk untuk men-CD-Romkan pelbagai bahan dalam bahasa Melayu, tetapi kini telah dimuziumkan.