Make your own free website on Tripod.com
Kisah yang Diulang-ulang

Oleh: Uthaya Sankar SB


Sewaktu saya menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR) Ke-VI pada 19-23 Ogos 1991, saya merupakan peserta termuda. “Muda” bukan dari segi usia tetapi dari segi pengkaryaan. Atau lebih tepat lagi, dari segi kuantiti karya yang sudah tersiar dalam media massa.   

  Para peserta lain sudah banyak berkarya serta banyak tersiar dalam pelbagai media serta menang banyak pertandingan menulis. Karya saya pula sehingga itu belum pernah tersiar di mana-mana media bertaraf nasional. Salah saya juga kerana tidak mengambil inisiatif mengirimnya ke mana-mana.   

  Sepanjang MPR 1991 juga saya berpeluang mendengar ceramah Pak Arena Wati, Pak Shahnon Ahmad, Pak A. Samad Said, Pak Haji Othman Puteh dan Pak Rahman Shaari. Tidak terkecuali juga peluang mengenali Zaen Kasturi, Ahmad Patria Abdullah dan Tuan Faridah Syed Abdullah – sekadar menyenaraikan beberapa nama.   

  Ahmad Patria menasihati saya, “Uthaya, versatility is an advantage. To be able to use the sword with both hands is a great gift.”  Tuan Faridah pula mengingatkan, “Sekali menulis, terus menulis.”     

Banyak yang saya belajar daripada abang-abang, kakak-kakak, mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik yang lebih dulu terlibat dalam dunia sastera. Malah banyak juga yang saya pelajari daripada adik-adik yang menyertai MPR selepas saya. Dan jangan terkejut jika pada kali ini juga saya berpeluang belajar banyak perkara daripada anda yang menyertai MPR 1997.     

Walaupun saya peserta “termuda” semasa menyertai MPR 1991, saya menerima layanan baik daripada pihak DBP. Mereka tidak memandang rendah pada saya walaupun pada waktu itu belum ada karya saya yang tersiar. Hubungan mesra itu masih terus terjalin hingga kini. Walaupun sudah banyak karya tersiar, hubungan kami masih mesra.   

Malah kami sudah menjadi semacam sebuah keluarga. Hubungan kami cukup mesra, erat, intim dan ikhlas. Kalau anda terus aktif berkarya – karya berkualiti tentunya – serta cepat mesra, anda juga akan berpeluang menjadi sebahagian daripada keluarga DBP. Bermula dengan menjadi anak angkat DBP selama seminggu, anda juga boleh menjadi sebahagian daripada keluarga DBP.   

Hubungan yang terjalin amat perlu dikekalkan dan dipereratkan. Ini penting dan bermanfaat kepada semua pihak yang terbabit. Apatah lagi dalam usahasama memartabatkan sastera kebangsaan.   

Para peserta MPR cukup bertuah kerana pasti diberi prioriti dalam penilaian karya untuk diterbitkan – dengan syarat karya yang dihasilkan mencapai mutu yang diharapkan. Tidak sekadar “dimanjakan” selama seminggu; malah diberi peluang menjalin hubungan kekeluargaan yang kekal abadi.   

Pada waktu begini, saya tidak dapat tidak semakin kerap terkenangkan segala pengalaman sewaktu menyertai MPR 1991. Saya teringatkan Shazmira, Rjmi, Lim Wye Leong, Lee Kok Ann, Saharil, Shazmee, Roslan Jomel, Salina, Azlina … Cukup indah pengalaman kami berkampung di Kompleks Belia Antarabangsa, Cheras.   

  Apa khabar mereka agaknya? Ada beberapa di antara mereka masih saya hubungi. Di kalangan mereka yang masih saya hubungi, ramai yang sudah tidak berkarya. Peserta-peserta lain pun begitu juga. Malah begitu juga nasib sekian ramai bekas peserta MPR.   

  Ini merupakan suatu kerugian kepada dunia sastera tanah air. Juga pembaziran bakat dalam diri para peserta sendiri. Semoga perkara seumpama itu tidak akan berulang di kalangan anda semua.     

2. Saya percaya anda semua berharap akan “belajar” sesuatu melalui sesi ini. Itulah juga tujuan pihak urusetia meminta saya bercakap di hadapan anda. Saya diminta bercerita tentang proses kreativiti saya. Namun, saya meminta izin untuk turut bercakap tentang beberapa perkara lain yang berkait dengan dunia penulisan sastera tanah air.   

  Penglibatan awal saya dalam bidang penulisan dapat anda baca dalam Prakata berjudul “Penulis Ialah Penimbul Persoalan …” pada bahagian prelim kumpulan cerpen Siru Kambam. Tidak perlulah saya mengulang perkara yang sama di sini. … Sekurang-kurangnya bagi memastikan bahawa anda akan ke kedai buku selepas ini untuk mendapatkan buku berkenaan!     

Saya rasa lebih sesuai jika saya menyentuh perihal bagaimana saya berpeluang menyertai MPR. Ini adalah wajar memandangkan – seperti yang telah saya akui tadi – karya-karya saya tidak tersiar di Dewan Siswa sebelum saya menyertai MPR.   

  Begini kisahnya: Saya memang gemar membaca dan menulis karya kreatif sejak  kecil. Karya-karya saya kemudian mula tersebar di kalangan rakan-rakan Sekolah Menengah Darul Ridwan, Taiping. Guru-guru saya, khasnya En Mokhtar, Pn Hadebah Duseh, Pn Hasnah dan Cik Pragasam memberi galakkan. Namun, cerpen-cerpen awal saya yang berbentuk juvenilia belum saya bukukan.   

   Di peringkat sekolah dan daerah, saya terlibat secara aktif dalam pertandingan pidato, deklamasi puisi, drama, bahas dan pantun. Begitu juga dalam berpersatuan. Saya memegang jawatan-jawatan penting dalam Persatuan Bahasa Malaysia, Bahasa Tamil, Bahasa Inggeris serta beberapa kelab.   

Saya terlibat sama dalam penghasilan majalah persatuan dan sekolah. Dalam persatuan, kami susun aktiviti yang ada kaitan dengan dunia penulisan kreatif. Semua ini menjadi asas kepada minat saya dalam bidang penulisan. Saya terus menulis dan menulis untuk diri sendiri, rakan-rakan dan majalah sekolah.   

Bersama Jeffry Mohd Rejab dan Adik Muhammed Amin pula saya kendalikan Kursus Penghayatan Cerpen peringkat daerah pada Mei 1991. Semua itu saya lakukan lantaran minat yang mendalam terhadap penulisan sastera.   Penglibatan saya dalam bidang penulisan mula semakin terarah setelah berpeluang menemui saudara A. Rahim Abdullah (kini di Berita Harian) sewaktu beliau memberi ceramah “Sastera Melayu Membuka Jendela Dunia” di Dewan Perbandaran Taiping pada 14 Jun 1991 sempena Pesta Buku. Saya pada waktu itu menjadi pengacara Majlis Sayembara Deklamasi Sajak Peringkat Menengah Rendah.   

  Sewaktu sesi soal-jawab selepas ceramah tersebut, saya telah banyak bertanya kepada saudara A. Rahim Abdullah tentang peluang yang ditawarkan oleh DBP kepada penulis remaja. Tambahan, beliau pada waktu itu terlibat dalam Skim Penggalakan DBP. Beliaulah yang telah meminta saya kirimkan manuskrip cerpen saya kepada beliau untuk diteliti dan dikomen. Beliau juga sempat menasihati, “Selamat belajar dan menjadi penulis besar!”   

  Lalu, dengan semangat berkobar-kobar, saya kirimkan manuskrip cerpen “Mereka Tidak Mengerti” kepada beliau. Saya telah mengharapkan agar cerpen saya dikomen dan dikembalikan. Tetapi saudara A. Rahim Abdullah tidak pernah memulangkan manuskrip itu.   

  Sebaliknya, pada 26 Julai 1991, saya menerima surat jemputan menyertai MPR. Rupa-rupanya saudara A. Rahim telah mengemukakan manuskrip “Mereka Tidak Mengerti” kepada urusetia MPR dan editor majalah Dewan Siswa.     

Jika bukan kerana MPR, nescaya saya masih seperti ramai penulis amatur yang terkial-kial mencari tempat untuk berpijak atas peta dunia sastera. Apabila saya menyebut “MPR”, saya maksudkan setiap individu yang terlibat dalam menjayakannya. Mustahil dapat saya senaraikan nama setiap daripada mereka di sini.   

  Sejak menyertai MPR, saya terus aktif menghasilkan karya sastera yang saya yakini mutunya. Segala pujian kepada Tuhan yang menganugerahi saya bakat penulisan. Dan ucapan terima kasih saya kepada semua pihak yang memberi peluang penyiaran karya saya. Terima kasih daun keladi … .     

3. Saya tergolong dalam kumpulan penulis yang suka bercakap tentang karya sendiri. Tetapi bukan pula dalam erti kata “mengangkat bakul sendiri”. Sebaliknya saya bangga dengan karya-karya saya. Saya yakini mutu karya saya. Untuk membolehkan saya mampu memperkatakan karya sendiri, tentulah saya perlu pastikan mutunya. Ini merupakan salah satu cara bagi golongan penulis memastikan bahawa karya mereka layak dipekatakan; sama ada oleh orang lain atau diri sendiri.   

  Saya juga sering menulis di akhbar dan majalah dalam usaha membimbing bakat baru sekadar yang termampu. Usaha ini juga saya lakukan lantaran kesedaran bahawa tidak semua remaja yang meminati bidang penulisan akan berpeluang menyertai MPR. Lalu, ilmu yang ada itu saya cuba kongsi bersama mereka.   

Biasanya artikel saya bertolak daripada pengalaman saya sendiri dalam bidang penulisan. Antara artikel yang mungkin anda pernah (atau wajar) baca adalah “Mendekati Khalayak Remaja” (Dewan Sastera, Julai 1995), “Penulis Tidak Kering Idea” (Mingguan Malaysia, 30 Julai 1995), “Penulis Bukan Penglipur Lara” (Mingguan Malaysia, 22 Oktober 1995) dan “Antara Nama Pena dan Nama Samaran” (Mingguan Malaysia, 21 Januari 1996).   Begitu juga dengan siri artikel “Bertemu Sasterawan Dalam Diri” sepanjang 1996 serta siri artikel “Proses Kreativiti” yang disiarkan mulai April 1997 dalam majalah Dakwah. Tidak terkecuali juga teks ucapan dalam Dewan Sastera, Mei 1997.   

(Lihat, saya ternyata sedang bercakap tentang artikel-artikel saya sendiri!)   

  Saya juga sering mengendalikan ceramah dan bengkel penulisan cerpen di beberapa tempat. Hasilnya boleh dikatakan baik. Lahir beberapa penulis baru – saya namai Penulis Angkatan Baru – yang berpotensi menghasilkan karya bermutu. Walaupun saya menulis karya sastera berbahasa Malaysia, saya mampu mengendalikan ceramah dan bengkel dalam bahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil. Bakat-bakat baru yang diasuh juga meliputi penulis ketiga-tiga kategori bahasa.   

  Biasanya apabila saya pergi memberi ceramah kepada khalayak kaum India, reaksi pertama yang saya terima adalah “Kami tidak tahu langsung bahawa ada seorang penulis kaum India dalam sastera berbahasa Malaysia.” Ramai pula yang tidak pernah mendengar judul buku Orang Dimensi, Nari! Nari!, Hanuman: Potret Diri, Munis Dengan Harimau dan Siru Kambam.     

Lalu saya gunakan juga peluang berceramah dan berbengkel untuk mempromosi buku-buku saya secara tidak langsung. Kalau tidak, macam mana boleh promosikan karya? Saya tidak mahu buku-buku saya terus tidur nyenyak di dalam stor di Hulu Kelang. Soal promosi akan saya sentuh secara lebih mendalam sebentar lagi.      

4. Setiap penulis perlu ada ideologi atau pegangan dalam berkarya. Bagi saya, penulis adalah penimbul persoalan untuk renungan pembaca. Pembaca sasaran saya adalah golongan yang berfikiran kritikal. Mereka tidak mahu disajikan bahan bacaan yang kurang mencabar minda. Mereka mengharapkan karya yang mampu menambah ilmu di samping menghormati mentaliti mereka sebagai pembaca.   

  Pengkhususan ini memudahkan proses pengkaryaan saya. Saya tidak perlu risau apakah setiap pembaca boleh memahami apa yang saya tulis. Karya saya berciri subjective, anticlimax (bezakan daripada denouement), circular structure, faction, fictional truth, metafiction, parody, passive characterization (bezakan daripada static character), local colour, gratuitous act, grotesque, in media res, interpretive fiction, intertextuality, parable, rashomon effect serta unreliable narrator.     

Watak “Saya” atau “Aku” selalu pula bercakap secara terus dengan “Anda” atau “Saudara”. Misalnya dalam cerpen-cerpen “Sebuah Cerita Biasa”, “Krishna: Potret Diri”, “Datuk Datang Ke Kampung Kami”, “Yang Aneh-aneh”, “Makan Malam” dan “Bitara Sita”.   

  Atau ada pula watak yang hanya bercakap sendirian, seperti dalam “Post-mortem”, “Vis-a-Vis” dan “Panther”. Anda yang biasa membaca karya-karya saya tentu menyedari hal-hal yang saya maksudkan.     Kembali kepada persoalan tadi, saya kira ramai penulis muda – termasuk mereka yang menyertai MPR – hilang begitu sahaja lantaran kebergantungan mereka terhadap “ilham” secara total. Mereka tidak berusaha mencari “idea” dan “ilmu bantu”.   

  Saya memang ulat buku. Macam-macam buku yang saya baca. Saya peroleh ilmu bantu melalui pelbagai cara. Media cetak, media elektronik serta segala rupa media massa menjadi sumber ilmu. Tidak terkecuali juga ilmu yang saya kumpul melalui pengalaman dan pergaulan.     Segala ilmu ini pasti bermanfaat dalam berkarya. Tambahan pula, berkarya tanpa ilmu bantu umpama menyertai pertandingan menyanyi tanpa suara. Atau apa sahaja perumpamaan yang menunjukkan tindakan yang kurang profesional.   

  Apabila ilmu di dada cukup banyak, akan mampulah kita mengeluarkannya secara spontan apabila perlu. Begitu juga, apabila idea, bahan cerita dan ilmu bantu penuh di dada, senanglah kita berkarya. Atau sekurang-kurangnya, timbalah ilmu yang diperlukan bagi memastikan karya yang dihasilkan itu benar-benar bermutu.   

  Penulis Angkatan Baru – dan saya andaikan anda semua akan sudi menyertai saya dalam kelompok tersebut – perlu juga belajar untuk berkarya secara lebih terancang; lebih profesional. Gunakan sepenuhnya kemudahan komputer. Gunakan sepenuhnya kemudahan perpustakaan. Gunakan media elektronik secara yang bijak. Disiplinkan diri untuk berkarya secara konsisten.   

  Masa bukan alasan untuk tidak berkarya. Ketiadaan komputer bukan alasan untuk lambat menghasilkan karya. Kekeringan idea bukan ciri seorang sasterawan. Malah, “alasan” bukan ciri seorang sasterawan. Jika kita sentiasa mencari alasan untuk menjelaskan ketidakaktifan kita dalam berkarya, percayalah, tidak perlu ada alasan lain untuk membantutkan usia kepengarangan kita. Anda mungkin akan pulang selepas MPR dan kemudian “hilang” begitu sahaja.   

  Itu akan menjadi kehilangan besar kepada dunia kesusasteraan tanah air, kepada DBP dan kepada diri sendiri. Malah cukup sedih kerana sekian ramai bakat yang diasuh melalui MPR “hilang” tanpa berita dan tanpa karya susulan.   

  Saudari Ade Irma, bekas MPR, pernah cuba mengumpulkan semula seramai mungkin anak-anak MPR. Malangnya usaha itu kurang berjaya. Salah satu sebab adalah kerana ramai di antara bekas peserta MPR sudah “bersara” dari bidang penulisan. Lebih malang lagi, ada yang sekadar hangat-hangat tahi ayam semasa menyertai MPR.   

  Siapa yang rugi sebenarnya?   

   5. Menulis bukan suatu kerjaya di Malaysia. Ini tidak pula bermakna kita boleh menulis ala kadar. Penulisan lebih berupa tanggungjawab sosial. Dan bagi penulis profesional – sebagai kontra kepada penulis amatur – pula, penulisan adalah salah satu cara memperoleh pendapatan sampingan secara yang halal. Semakin banyak karya dihasilkan serta tersiar, semakin banyak honorarium diterima.   

  Dalam hal ini, tidak dapat tidak, kita terpaksa mengakui hakikat kelembaban minat membaca di Malaysia. Tetapi saya tidak mahu menuding pada masyarakat umum semata-mata. Dalam ruangan “Surat Kepada Editor” di Dewan Sastera April 1997, dua pembaca mengemukakan masalah mendapatkan majalah berkenaan di pasaran.   

  Sewaktu saya berceramah di beberapa tempat, ramai yang merungut tentang kelemahan pihak penerbit dalam memasarkan buku. Hakikat ini terpaksa diterima oleh pihak penerbit. Usahlah mencari “alasan” untuk menutup kelemahan pengurusan. Sebaliknya, jadikannya teguran membina demi kebaikan.   

  Sekadar contoh, buku-buku sastera terbaru sering diiklankan dalam majalah Dewan Sastera. Soalnya, siapakah pembaca majalah berkenaan? Kebanyakan daripada pembacanya adalah kelompok masyarakat yang sudah sedia meminati bidang sastera. Lalu, iklan tadi hanya sampai kepada kelompok yang itu-itu sahaja. Bukankah lebih berkesan – dan lebih bijak – jika buku-buku sastera diiklankan dalam akhbar dan majalah yang mempunyai pembaca dari kelompok yang pelbagai?   

  Sewaktu diwawancara untuk ruangan sastera majalah Dakwah (Julai 1996), Pak Abdullah Hussain menimbulkan persoalan tentang siapakah yang bertanggungjawab mempromosi karya. Saya ingin mengemukakan pertanyaan yang sama kepada anda: Siapakah yang bertanggungjawab mempromosi buku yang diterbitkan?   

  Ini mungkin persoalan yang klise. Tetapi memandangkan bahawa persoalan ini masih belum terjawab, rasanya tidak salah jika persoalan yang sama ditimbulkan berulang kali – dengan harapan akan mendapat reaksi pihak terbabit.   

  Mungkin karya yang tersiar secara eceran tidak memerlukan promosi individual. Tetapi bagaimana dengan karya berbentuk buku (antologi dan kumpulan cerpen misalnya)? Siapa yang bertanggungjawab mempromosikannya: penerbit, pekedai buku atau penulis sendiri?   

  Dengan royalti tidak seberapa yang diterima, mampukah penulis menjelajah serata tanah air untuk mempromosi karyanya – seperti yang dipersoalkan oleh Pak Abdullah Hussain. Atau wajarkah kita mengharapkan pekedai buku mempromosi karya sastera sedangkan tujuan utama mereka adalah mencari untung hasil daripada  perniagaan buku yang dijalankan.   

  Dalam soal ini, saya bersetuju dengan pendapat Pak Abdullah Hussein bahawa penerbitlah yang sepatutnya memainkan peranan serta tanggungjawab utama dalam mempromosi karya. Soalnya, setakat manakah tanggungjawab berkenaan dilaksanakan?   

  DBP sebagai badan pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera kebangsaan sewajarnya memainkan peranan dalam menangani isu ini – sekurang-kurangnya bagi buku-buku yang diterbitkannya.   Usaha promosi harus diperhebatkan dan dilakukan secara yang terancang. Mungkin penerbit dan penulis dapat bekerjasama dalam usaha promosi. Misalnya apabila penerbit mengadakan pameran buku, selitkan sekali sesi pertemuan dengan penulis. Pada sesi seumpama itu, di samping masyarakat dapat bersemuka dengan penulis, promosi buku juga dapat dilakukan secara tidak langsung. Memanglah promosi seumpama ini ada dilaksanakan sebelum ini. Tetapi ia lebih tertumpu kepada penulis besar yang sudah sedia dikenali umum. Bagaimana dengan penulis baru; misalnya penulis daripada kalangan peserta MPR sendiri?   

Ada saya sebutkan bagaimana saya gunakan sesi ceramah dan bengkel penulisan untuk mempromosi karya. Tetapi itu hanyalah usaha pada skala kecil-kecilan. Saya tidak dapat menjelajah seluruh negara untuk mempromosi buku-buku saya. Kosnya siapa yang akan tanggung?   Betapa baiknya jika penerbit yang menganjurkan pesta buku mengambil inisiatif mengundang penulis-penulis muda bagi mempromosi karya. Tambahan, usaha promosi memang menjadi sebahagian daripada tugas pemasaran pihak penerbit.   

  Media elektronik juga wajar dieksploitasi secara positif bagi mempromosi karya sastera ke seluruh negara. Tidak usahlah kita bercakap tentang slot khas bagi sastera di televisyen. Usah terus menanti bulan gugur ke riba. Sebaliknya, gunakan slot sastera yang sedia ada di radio. Radio Satu dan Radio KL mempunyai target audience yang cukup ramai.   Daripada pengalaman saya sendiri menyertai ruangan sastera di kedua-dua stesen radio berkenaan, saya dapati ramai pendengar menelefon untuk mengetahui tentang dunia sastera. Pada masa yang sama, mereka mengakui betapa mereka tidak tahu tentang buku-buku karya sastera terbaru di pasaran.   

  Sebaliknya mereka lebih terdedah kepada iklan dan promosi kaset lagu terbaru di pasaran. Ini adalah hasil promosi yang terancang di radio. Syarikat rakaman turut mengusahakan agar artis dibawa ke studio untuk memberi peluang kepada para pendengar radio berinteraksi melalui telefon.   

  Di sini, usahlah kita salahkan masyarakat kalau mereka lebih mengenali kaset daripada buku. Sebaliknya penerbit buku perlu bertindak bijak menggunakan air time di radio untuk mempromosi karya sastera. Ruangan sastera yang sedia ada wajar digunakan sepenuhnya secara bijak dan terancang. Promosikan buku-buku terbaru secara profesional.   Bawalah penulis ke studio untuk memberi peluang masyarakat berbual dengan mereka melalui telefon. Usaha saudara Ismail Karmun dan saudara Jaafar Abdul Rahim dalam melakukan promosi seperti ini wajar dipuji dan dicontohi.   

Namun begitu, perlu juga dipastikan bahawa promosi seumpama ini dilakukan secara profesional. Pastikan bahawa penulis yang dibawa ke studio berkebolehan untuk bercakap. Saya perhatikan beberapa penulis – termasuk penulis mapan – yang dibawa ke studio terlalu gementar untuk menjawab pertanyaan pendengar. Lain yang ditanya, lain yang dijawab. Ramai penulis nampaknya hanya mampu “bercakap” melalui karya. Apabila dibawa ke studio untuk berinterkasi secara live dengan pendengar, mereka mula menampakkan sifat tidak profesional.   

Apa yang nyata, strategi pemasaran buku perlu ditingkatkan secara profesional. Promosi tidak lagi harus tertumpu kepada produk (buku) semata-mata. Sebaliknya, gunakan strategi pemasaran melalui promosi “jenama” (penulis) untuk membantu melariskan “produk”.   Pengurusan dan organisasi penerbitan juga amat perlu diberi perhatian serius. Usahlah tunggu sehingga ditegur tokoh politik, baru penerbit mula sibuk meningkatkan mutu kerja – dan dua-tiga minggu kemudian kembali lembap seperti sediakala!   

   6. Saya percaya segala perkara yang saya sentuh sebentar tadi akan mendapat perhatian daripada anda. Dunia sastera memerlukan kerjasama penulis, khalayak dan penerbit. Saya tidak begitu menyentuh tentang peranan khalayak. Memandangkan bahawa kita yang berkumpul di sini pada hari ini lebih tepat mewakili pihak penulis dan penerbit, wajarlah saya tumpukan perhatian kepada peranan kita bersama – sebagai sebuah keluarga – dalam memasyarakatkan sastera.   

  Untuk itu, segala masalah yang timbul di pihak penulis, di pihak penerbit serta dalam hubungan penulis-penerbit perlu terlebih dahulu diselesaikan dan diatasi secara profesional. Jika tidak, makin sukarlah usaha memasyarakatkan sastera.   

  Memanglah pada hakikatnya penulis juga sebahagian daripada masyarakat pembaca. Namun saya percaya penulis tidak tergolong dalam kumpulan pembaca yang belum dimasyarakatkan dengan sastera. Jadi, penerbit (selaku pengeluar buku secara massa) dan penulis (selaku pengkarya sastera) perlu bekerjasama dalam usaha menarik minat khalayak umum terhadap karya sastera.


BALIK