Make your own free website on Tripod.com
"Penulis Usah Mudah Jadi Hipokrit"

Oleh: Kanaga Saba


TULISAN ini membincangkan tiga sasterawan muda berpotensi dan menyerlah yang pada masa kini sedang berkembang dan kita mengharapkan mereka ini akan menjadi karyawan terkemuka negara pada dekad akan datang. Mereka yang dimaksudkan ialah Uthaya Sankar SB, Faisal Tehrani dan S. M. Zakir.   Ketiga-tiganya terpilih membentangkan kertas kerja pada "Seminar Kebangsaan Kesusasteraan di Malaysia" yang diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, November lalu.   

Meskipun Uthaya diminta menyampaikan kertas kerja bersama Dr Krishanan Maniam dan Saroja Theavy Balakrishnan, tetapi awal-awal lagi Uthaya sudah memperjelaskan kedudukannya bukan sebagai penulis Tamil, tetapi penulis Malaysia yang menulis dalam bahasa kebangsaan; dengan salah satu agenda, menyorotkan latar masyarakat India di Malaysia.   Pendirian Uthaya ini memberi alasan kepada saya untuk menyertakan Uthaya dalam perbincangan ini, kerana ketiga-tiga penulis yang dipilih ini (Uthaya, Faisal dan Zakir) boleh dikatakan dinamis dan prolifik dalam perkembangan sastera dewasa ini. Masing-masing dengan stail sendiri tetapi dalam keselarian pembaharuan.   

Tajuk esei ini boleh dilihat dari dua perspektif: menyeru sasterawan mengelak daripada menjadi hipokrit; dan kedua, menyeru sasterawan jangan menghasilkan sastera yang berinti hipokrit.   

Uthaya tidak mengharapkan khalayak yang besar; sekadar mereka yang sanggup berfikir dan menghayati karyanya adalah memadai. Dia tidak mahu menghasilkan karya "bodoh" jesteru dia tidak mahu membaca karya "bodoh"; kerana hasil daripada pembacaan karya "bodoh" akan lahir dalam karangannya nanti "kebodohan". Uthaya tidak mahu menipu khalayak dengan karya yang "bodoh" kerana matlamat khalayaknya adalah mereka yang mampu berfikir.   

Dalam kata-kata Uthaya: "Kalau saya menghasilkan 'karya bodoh', memamng jumlah pembaca bermentaliti rendah boleh bertambah. Pada masa yang sama, kelompok bermentaliti tinggi akan kecewa kerana 'karya bodoh' saya memang memperbodohkan mereka. Selayaknyalah mereka beralih membaca 'karya bijak'."   

Bagi saya, visi seumpama ini bukan sesuatu yang salah; malah lahir sebagai penyumbang kepada khalayak sastera yang mahu berfikir. Di sebalik itu, kita juga perlu sedar bahawa tanggapan terhadap 'keindahan' berbeza mengikut daya sugestif khalayak. Kita tidak ada hak untuk melabelkan sesuatu 'tidak indah' kerana mungkin ia 'indah' bagi orang lain.   

Namun saya terpaksa membenarkan perjuangan Uthaya kerana bukan sahaja saya meminati dan menyanjungi karya serius yang meminta orang berfikir, tetapi kerana Uthaya berjuang untuk satu kelompok khalayak tertentu [kelompok yang mahu berfikir menggunakan otak].   

Ini saya kira bukan memencil atau menyempitkan peluang mempopularkan sastera kepada khalayak ramai, tetapi sebenarnya meragamkan dan melengkapkan keperluan bagi setiap golongan khalayak.   Pemilihan kata "bodoh" bagi pembaca yang tidak mahu berfikir, di sebalik fungsi revolusioner - atau dalam istilah kritikan sastera India disebut "kejutan" - bagaimanapun tidak berupaya memberikan tafsiran jitu kepada kelahiran sastera dan karya sastera. Setahu saya, sastera mempunyai fungsi menghibur. Tanpa kehadiran fungi ini, sastera akan terus memencil.   

Khalayak akan bergantung kepada karya picisan dan kita tidak boleh mempersalahkan mereka. Ini salah kita sebagai saterawan kerana tidak dapat memenuhi keperluan jiwa dan emosi mereka [khalayak yang tidak mahu berfikir menggunakan otak].   

Sekiranya Uthaya menafikan dirinya daripada menelaah 'karya bodoh', mahupun mengarang 'karya bodoh', bagi saya, dia belum memperlihatkan kepintarannya dalam menangani masyarakat sastera secara umumnya kerana dia masih berada pada tahap pertama dalam hierarki estetik sastera Hindu mahupun sastera Melayu kerana hanya menerima yang 'baik' sebagai 'indah'.   

Penerimaan seperti ini adalah penerimaan terhadap 'bahagian' dan bukan 'keseluruhan'. Bahagian yang diterima sebagai 'indah' itu sebenarnya bukanlah 'indah' kerana ia tidak lahir dalam 'keseluruhan'.   'Keseluruhan' bermakna, yang 'baik/indah' dan yang 'tidak baik/tidak indah' perlu hadir bersama-sama; untuk menentukan pada akhirnya bahawa 'kebaikan/keindahan' mencapai kemenangan.   

Konsep ini mendasari sastera, terutama sastera India dan tempiasnya banyak sekali pada sastera Melayu.   

Kepintaran memerlukan keupayaan menyesuaikan diri. Dalam hal ini, saya rasa Uthaya masih perlu menyesuaikan diri dengan masyarakat untuk memenangi hati mereka.   

Keupayaan mencari alternatif dan menawan khalayak adalah kepintaran; ditambah dengan keupayaan menghibur sambil mendidik, dan pada tahap yang lebih tinggi menjadi pelantar asas kepada peningkatan spiritual melalui penyerahan estatik dalam karya.   

Kalau diukur dari perspektif Uthaya, apakah kita hendak melabelkan pengarang karya klasik sebagai pengarang 'bodoh' kerana memaparkan adegan lebih 'bodoh' seperti mitos, alegori yang tidak masuk akal, hiperbola yang sukar untuk dibayangkan dan metafora yang jelasnya penipuan dalam karya mereka?   

Persoalannya, karya klasik mempunyai khalayak yang tidak pernah luput dan karya ini menduduki tangga teratas dalam senarai pilihan teks kritikan berbanding karya kontemporari, biar seindah mana kandungannya. Di mana rasionalnya? Memuatkan 'kebodohan' sekaligus menafikan 'kepintaran'?   

Pada tahap ini saya ingin menambah bahawa semua kita yang menelaah karya sastera adalah bodoh kerana kita sudah, sedang dan akan terus ditipu. Karya sastera adalah penipuan. Tidak ada yang tidak bersifat menipu dalam karya sastera.   

Metaforanya adalah penipuan, paradoksnya, hiperbolanya, similinya, perumpamaannya, analoginya, alegorinya, mitosnya, patosnya, witsnya, semua adalah penipuan semata-mata.   

Bolehkah langit jatuh, bulan menangis, matahari merangkak? Apakah semua ini? Kita ditipu daripada hakikat sebenar. Kita tidak menatap atau mengalami keadaan sebenar. Kita dibawa belayar dalam satu ruang emosi dan "spirit" melewati kebenaran. Kita terapung-apung dalam satu pelantar yang kita khusyuk sehingga kita lupa akan diri kita. Kita telah ditipu.   Dalam pepatah Inggeris, "taken for a ride". Biar karya tahap mana sekalipun kita telaah, kita tertipu dan kerana tertipu, kita adalah bodoh. Semua yang membaca karya sastera adalah bodoh kerana sering tertipu. Tetapi itulah hakikat yang dicari manusia dan kemanusiaan: menipu diri sendiri untuk sampai kepada kebenaran. Sastera adalah wahana kepada kebenaran dan bukan kebenaran itu sendiri.   

Faisal juga lebih kurang sama seperti Uthaya; dilihat dari sudut kesegaran dan kelantangan. Tidak ada segan silu mengutarakan apa yang menjadi pendirian atau ideologi.   


BALIK