Make your own free website on Tripod.com
BEBERAPA CATATAN KECIL

Oleh: Faisal Tehrani


1. CATAN YANG POLITICAL Melangkah ke NN Gallery, memerlukan ketabahan bukan sedikit. Ia terpinggir di Ampang Hilir. Namun masa hadapan galeri catan ini dikira besar, dengan segala pembangunan tempias KLCC, galeri ini bakal menjadi dunia penting bagi seniman kelak.

Lain dari itu, malam tersebut merupakan perasmian pameran lukisan solo pelukis tanahair unik - Ahmad Fuad Osman. Apa sangatlah jarak jauh dan kemacatan lalu lintas, jika berpeluang merayau ke dalam dunia tengkorak Fuad!

Fuad dikenali sebagai kawan, tahu lebih kurang dia menyinar dalam dunia seni lukis. Ada koleksi lukisannya dibeli Singapore Museum Of Art; itu sahaja petanda Fuad artis bermasa hadapan cerah. Dan pameran solo Fuad membuatkan saya terpegun lama pada setiap catan terpampang.

Pertamanya, menilai permainan cahaya dan warna yang nampak berimbang. Warna-warna gelap jika gagal ditangani baik akan mewujudkan suatu gambaran muram dan ketidakpastian. Namun warna-warna gelap pilihan Fuad meyakinkan, setiap hasil kerjanya bagai berkata-kata dan amat berinteraksi.

Keduanya, saya lihat karya-karya Fuad lambang manusia terperangkap dan memberontak, berusaha untuk mendapatkan kebebasan dan kemerdekaan. Fuad secara luaran tidak menampakkan apa-apa kegelisahan tetapi kini karya-karyanya dengan wanita terperangkap di dalam botol dan melaungkan pertolongan, sambil tercatit surah Al-Asr dalam SOS Message In The Bottle, jelas adalah sebalik dari peribadi itu. Atau siri catan Self Potrait nampak gemar mendampingkan tengkorak dan tulang-temulang manusia. Juga gambaran kepala manusia terkopak, kepala kambing berdarah dan manusia-manusia telanjang mengerekot. Mengapa begini, saya tertanya sendiri.

Catan seperti The Victims amat kuat, meski Fuad mengatakan ia sesuatu yang simple. Dua tiga wajah wanita dan kanak-kanak dengan mata penuh tuntutan dan pedih adalah mangsa-mangsa kepada pelbagai diskriminasi. Ia nampak hidup dan berdendam, bagai mengharap kita melakukan sesuatu untuk mereka. Spontan saya menghubungkan Fuad dengan tempat kelahirannya Baling, bukankah di sini tumpah darah pejuang Memali?

Political, begitu saya tanggapi sebahagian besar karya-karya Fuad. Ini mungkin bersebabkan Fuad mendapat pendidikan di sekolah yang pernah menyaksikan sejarah Tunku Abdul Rahman, Chin Peng dan Rashid Maidin duduk semeja menentu hala tuju Partai Kominis Malaya sebelum darurat dahulu. Baling juga merekodkan peristiwa Demonstrasi Petani pada tahun 70 an. Nyata imej perggelutan dan wajah Tunku Abdul Rahman Putra di sana sini terpancar.

Bekas penuntut School Of Art & Design ITM Shah Alam ini mulai menghulurkan karya untuk tatapan, seawal tahun 1990 dalam Pameran Young Contemporary di Balai Seni Lukis Negara. Ini termasuk pada tahun 1995 dan 1996, menyertai Philip Morris Asean Exhibition. Malah awal tahun ini, ada catannya terpamer untuk Gema…Resonance di Prague Republik Czech.

Tahniah Fuad dan teruskan…

2. SARAMAGO, POLITIK DAN TERJEMAHAN KITA

Jose Saramago penulis dari Portugal diumumkan memenangi Hadiah Nobel Untuk Kesusasteraan bagi tahun 1998. Apa hebatnya Saramago dan apa faktor kemenangannya?

Jose Saramago lahir di Azinhaga pada 1922. Anak petani dan dibesarkan di kawasan pedalaman beliau terpaksa meninggalkan alam sekolah untuk menjadi pekerja keluli, menyara keluarga yang miskin. Beliau kemudian menjadi jurnalis dan penterjemah dalam tahun 70 an. Saramago menulis dalam semua genre. Saramago dikatakan mempunyai kekuatan dalam membancuh aliran realisme-magis dengan kecam politik keras dalam karya-karyanya. Keistimewaan Saramago ialah keberanian menentang ketidakdilan dalam kerajaan. Novel Country Of Sin contohnya diharamkan selama 20 tahun kerana menentang diktator Antonio Salazar. Nada sama di mana beliau menentang gaya pemerintahan diktator dalam novel The Year Of The Death Of Ricardo Reis. Sementara dalam The Stone Raft, beliau tidak bersetuju penyertaan Portugal ke Kesatuan Eropah dengan menggambarkan semenanjung Iberia terputus dari benua Eropah dan hanyut ke lautan Atlantik menyebabkan berlaku panik. Blindness, novelnya yang baru dialihbahasa ke Inggeris mengenai wabak buta tersebar seluruh Portugal. Ini menyebabkan social order berantakan dan berlaku zina, kecurian dan pembunuhan. Saramago memberitahu mesej novel ini sebagai rasa tidak percaya beliau kepada kerajaan atau 'life under totalitarianism'.

Saramago pernah didakwa menghina Kristian dalam novel O Evangelho Segundo Jesus Christo. Ini tidak menghairankan kerana Saramago adalah ahli setia Parti Kominis sejak remaja. Kerajaan Portugal menekannya sejak novel tersebut diterbitkan menyebabkan beliau mengungsi diri menetap di Kepulauan Canary.

Tahun lalu, pemenang dari Itali, dramatis Dario Fo, juga membancuh drama-drama pentasnya dengan menyerang kerajaan dan sistem politik.

Apakah dapat dipelajari dari kemenangan Saramago? Academy Sweden nampak senang menganugerah kepada penulis-penulis yang berani mengkritik kerajaan sendiri secara pertempuran hadapan. Gabriel Garcia Marquez, Wole Soyinka, Ocatavio Paz, Kenzaburo Oe adalah nama-nama pemenang lalu yang tidak pernah lelah menuntut keadilan menerusi karya-karya sastera mereka. Pramoedya Ananta Toer dari Indonesia (ditindas teruk sepanjang pemerintahan regim Suharto) pernah dicalonkan tetapi masih kurang bernasib baik.

Pelajaran pertama, karya sastera adalah rakaman bangsa. Ia adalah rekod paling jujur untuk berkata-kata kepada generasi hadapan. Karya 'mengampu' dan kisah cinta atau sekadar kepayahan hidup jarang dianggap mewakili bangsa. Kalau nasib buruk dianggap pengkhianat pula.

Novelis dari Malaysia, bermimpi untuk memenangi anugerah ini kalau takut bersuara menyuarakan keadilan. Ramai berpendirian tidak jelas dalam berkarya. Dalam gasak ketidakadilan di Malaysia sepanjang dua dekad ini tiada persatuan penulis pernah bersuara. Kalau pun ada, SN Shahnon Ahmad, wajar dipuji kerana karya-karya beliau menyuarakan kebenaran.

Namun ada halangan lain kiranya Persatuan Kesusasteraan Bandingan berminat untuk mencalonkan Dato Shahnon ke anugerah itu, iaitu soal terjemahan, itu pelajaran kedua. Saramago dan sejumlah besar pemenang Nobel Prize menulis dalam bahasa ibunda mereka tetapi dibantu dengan terjemahan yang baik. Novel Sutan Baginda karya SN Shahnon masih belum dialihbahasa ke Inggeris atau novel Patriarchnya. Kalau ada pun terjemahan (terhegeh-hegeh lembabnya) masalah mutu pula sangat buruk. Ia dilakukan sambil lewa.

3. TRUMAN, MEDIA DAN DR NOAM CHOMSKY

Salah sebuah filem hebat produk Hollywood tahun lalu, The Truman Show barangkali dapat menggambarkan perangai media massa tanahair kita hari ini. Dalam filem tersebut, Truman lakonan Jim Carey telah diambil sebagai anak angkat sejak dari dalam rahim ibu lagi oleh sebuah syarikat televisyen dan seluruh hidupnya dirakam secara siaran langsung untuk tontotan berjuta-juta penduduk seluruh dunia menerusi lebih lima ribu kamera pelbagai saiz. Ibu, bapa, isteri dan sahabat karibnya di luar pengetahuan, adalah pelakon-pelakon handalan. Tiada dalam hidupnya yang benar, semua telah dikawal oleh sebuah syarikat televisyen menerusi seorang penerbit yang gila. Filem ini terang-terangan mengkritik media massa yang memperbodoh-bodohkan seluruh kehidupan manusia demi kepentingan sedikit.

Truman anggaplah sebagai tubuh masyarakat kita. Seperti Truman kita dikawal. Semua di keliling dalam kehidupan mesti kita tanggapi secara waspada, malah boleh jadi suatu pembohongan semata-mata. Syarikat televisyen kita tidak terkecuali, pembaca berita yang terbeliak-beliak biji mata dan termuncung-muncung bibir membaca kenegatifan puak pembangkang misalnya mengeksploitasi seluruh kesempatan yang ada untuk membohongi berjuta-juta manusia - iaitu kita.

Fitnah menjadi amat terkini dan propaganda menjadi begitu sensasi di tangan mereka ini. Inilah yang ditulis oleh Dr Noam Chomsky dalam Manufacturing Consent (seorang intelek yahudi dari Amerika yang dipinggirkan kerana menghentam media dalam setiap ucapan dan tulisannya) sebagai thought control in democratic society. Demokrasi kata Chomsky sudah menjadi permainan elit. Contohnya, gelapkan sebahagian wang rakyat untuk membantu sekelompok elit boleh sahaja dikatakan demi menjaga keharmonian demokrasi. Sekelompok elit dibantu inilah, kononnya akan memberi pekerjaan kepada rakyat. Kalau mereka dibiarkan bangkrap, demokrasi akan tergugat di mana rakyat kehilangan mata pencarian dan rusuhan akibat kebuluran akan berlaku. Media menurut Chomsky, sudah seperti serve the interest of elite dominant group.

Kita sebenarnya tidak faham dengan niat hampir keseluruhan media massa utama di negara ini yang tidak segan silu meniadakan fakta yang terang-terang ada atau mengada-adakan khayalan yang tidak munasabah ada.

Seperti Truman, satu hari nanti, kita akan dapat keluar dari kongkongan ini (ia memerlukan suatu usaha berani). Dan bila ini berlaku, iaitu kebenaran terserlah, media hanyalah tidak lebih dari tisu tandas yang amat jelek dan kotor.


BALIK