Make your own free website on Tripod.com
CINTA GENDANG KASTURI

Oleh: Faisal Tehrani


DUA perkhabaran. David meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya dahsyat di luar Chicago. Berita baik, dimasyhurkan oleh Cinta sendiri, dia sudah berkahwin lagi.

Kamu terkebil-kebil tidak percaya. Hebat, sudah kali ketujuh. Siapa mangsa terbaru si black widow ini?

"Engkau tak tahu betapa sukarnya hidup menjanda." Cinta mempertahankan diri.

Kamu melopong. Profesor Cinta terima tawaran sebagai pensyarah kontrak di Universiti Auckland. Witi Ihimaera, novelis New Zealand (menulis The Matriarch, kisah perang Maori dengan peneroka-peneroka tanah Inggeris); jadi saing mengajar kursus penulisan kreatif; dia dinobatkan New Zealand.soc.culture antara sepuluh manusia terkemuka di negara kiwi. Witi anjurkan parti hujung minggu. Ramai kawan-kawan rapat hadir, makan-makan dan kalau larat boleh menari. Pesan Witi bawa kuih atau kek untuk tambah memeriahkan temasya kecil.

"Perhaps something special, really special from Malaysia."

"Prof, bakar karipap?" kamu bertanya tidak sabar.

"Huh, kita tak main karipap lagi. Ada orang tak gemar. Ramai tak reti makan. Terlalu pedas, kata mereka. Kali ini aku uli dan hidangkan gendang kasturi." Cinta senyum manja.

Kamu beliakkan mata.

"Gendang kasturi ada lemaknya, ada manisnya, ada rangupnya…itulah Cinta yang baru…cinta penuh rasa!"

"Witi Ihimarea jadi laki Prof Cinta?"

"Hissy, bukan dia."

"Habis siapa?"

"Tamatea Taketake. Iskandar Tamatea huh…"

"Jantan Maori? Ya Allah Prof, apa lagi?"

"Heii, peduli apa kata orang!"

Kamu terbelalak. Cinta merebus kacang hijau hingga empuk, siap dengan kelapanya. Gendang kasturi mini penuh lemak dan masih hangat dijamu. Tamatea kala itu bercerita soal kejadian alam versi Maori dan Cinta membandingkan dengan firman-firman Tuhan.

"Dengar sini Cik, apa ya?"

"Arwah suami dulu panggil saya Love." Cinta menggetap bibir.

Tetamu lain berbual dan berlegar. Witi sibuk melayan hadirin.

"Ahah Love, cerita turun-temurun Maori…" Tamatea menatap muka Cinta. Fuhh, boleh tahan juga perempuan Melayu ini, getus hati.

"Asal segala-gala adalah Te Kore, kemudian datang Te Po, keadaan malam, dan ini berlangsung untuk beberapa lama, baru ia bertukar kepada 12 status, sehingga tiba ke peringkat Te Ao Marama, dunia cahaya." Tamatea menggigit gendang kasturi, mengunyah, merasa, emm sedap sekali.

"Dari Te Kore dan Te Po, terbina tuhan Rangi awatea, bapa langit dan Papatuanuku, ibu bumi. Bapa langit dan ibu bumi melekap erat lantas cahaya tidak dapat menembusi. Ketika itulah lahir tuhan-tuhan lain. Tane mahuta, tuhan belantara, Tangaroa, tuhan lautan, Tu matauenga, tuhan manusia dan peperangan, Ruaumoko, tuhan gempa bumi dan Tawhiri matea, tuhan ribut taufan." Tamatea menelan gendang kasturi. Kamu tahu, Tamatea menelan sama 'rasa lemak dan manis cinta' si Prof Cinta bersama-sama.

"Setelah itu anak-anak langit dan bumi berusaha beribu tahun memisahkan ibu-bapa mereka yang melekat itu supaya dapat hidup di bawah cahaya. Setelah berjaya barulah kejadian bumi dilengkapkan dan wanita dijadikan." Tamatea memandang bersungguh Cinta. Kamu tiba-tiba menyampuk.

"Prof Cinta, Tamatea ini siapa? Kan, Prof, pilih taste bagus saja."

Tamatea? Cinta mengajak kamu duduk mendampingi. Seperti mahu membisikkan. Pengajar falsafah politik di University Of Canterbury. Artis terkemuka bangsa Maori, kerja-kerja seninya cemerlang. Kamu jegil biji mata. Pilih orang ternama sahaja dia ini. Profesor Cinta ketawa kecil, seperti kata Witi, tawa yang menghiburkan, semacam giggle anak-anak. Kamu mendengar penuh perhatian.

Artis bagaimana? Cinta seolah mengerti persoalan tercetak di benak kamu. Jangan perkecilkan Tamatea, karya-karyanya acap menghiasi pameran solo di The Auckland City Art Gallery. Ada whakairo (seni pahatan Maori) pada kayu keras akeake terdedah untuk paparan umum di National Art Gallery Wellington. Khabarnya mendiang Puteri Diana ada membeli whakairo pada pounamu (jed jenis nephrite). Pengukir, pemahat dan pelukis juga. Catannya banyak political, maklum bapa Tamatea pernah bertanding di bawah pemimpin tersohor New Zealand, Michael Joseph Savage. Dia sendiri pernah menjadi ahli parlimen, beria membela nasib Maori tetapi kemudian bosan dengan dunia kuasa. Semua orang gila. Benda sedikit direbut-rebut sekian ramai hingga sanggup lakukan apa sahaja. Kesan bergelumang begitu dalam lumpur politik sekular tercurah pada pahatan moden dan lukisan. Bersara dunia politik, mulai muak dengan melukis dan memahat semata, terdorong secara kontrak bertugas di institusi pengajian tinggi.

Kamu khayal mendengar cerita-cerita cinta Cinta. Kamu dikisahkan, cinta dari gigitan sekeping gendang kasturi itu merebak bila berpeluang bercuti beramai-ramai di kaki gunung Taranaki. Kamu bayangkan di hadapan mata, betapa mereka menghanyutkan asmara di sepanjang sungai Waikato sepanjang 435 kilometer tatkala senja dan sama-sama merendam kasih di kolam air panas Tasik Taupo sepanas rindu mereka. Juga berdua menonton persembahan opera penyanyi Maori tersohor, Dame Kiri Te Kanawa di Hamilton.

Emm, lemaknya cinta gendang kasturi !

"Wah enak berbual?" Witi mengusik Cinta dan Tamatea di luar verandah. Hingar hadirin dan dentam-dentum lagu That Thing You Do mulai rancak meresap. Tetamu bertaburan sepasuk di sana sini.

"Mahu tahu pepatah Itali, chi trova un amico trova un tesoro." Witi melanjutkan dengan gelak mesra.

Cinta tunduk malu. Tidak faham. Tamatea angguk-angguk.

"Saya tahu Prof." kamu mencelah spontan.

Cinta menyeluruhi muka kamu. Rasa marah sedikit diganggu.

"One who finds a friend finds a treasure." kamu rasa bangga lebih mengetahui.

"Uhuh, memang Tamatea itu khazanah!" Cinta separuh menjerit. Kamu sengih, terasa jelek. Mujur, kali ini sebaya tua pasangannya.

Kamu diam, duduk pegun kembali menjaja telinga.

"Dalam Islam, kami percaya kepada Tuhan itu satu. Allah mencipta 'Ruuhul A'zhom'. Itu sumber segala roh iaitu roh Nabi Muhammad.

Kemudian baru Allah jadikan ruh malaikat, ruh haiwan serta tumbuhan, unsur empat, langit dan alam semesta. Ayat-ayat dalam surah Anbiya' al Quran menjelaskan hakikat kejadian alam selama tujuh hari. Opss, bukan seperti hari-hari dunia!" Cinta menggali sepenuh ilmu terbekal dalam dada untuk berentap maklumat dan membanding firman dengan lagenda warisan. Cinta kemudian rasa kurang pengetahuan soal kejadian alam dan memutar politik menjadi isi bual. Barangkali boleh jadi umpan setelah gendang kasturi memain peranan.

"Politik itu kotor." keluh Tamatea.

"Politik sekular begitu tetapi politik Islam tidak." Cinta yakin boleh mengheret berahi Tamatea jauh.

Kamu mengesip-ngesip mata. Belum mengantuk. Kamu menopang dagu, terus asyik.

"Ceritalah lagi." gesa kamu, merangsang Cinta usah berhenti merasai lemak dan manis gendang kasturi.

"Saya melihat politikus sudah dicengkami nafsu. Nafsu bukan sekadar sempit hal-hal kelamin tetapi nafsu pemimpin mengumpul harta kemewahan juga." Tamatea serius.

Kamu angguk, mengingatkan Cinta.

"Kerana nafsu Rajiv Ghandi mati dibunuh, atau Bill Clinton terjebak dengan skandal zippergate itu. Nafsu samseng apartheid memenjarakan Mandela puluhan tahun tanpa bicara. Nafsu korupsi dan kolusi faktor tuduhan terhadap Suharto. Kerana nafsu, orang berpolitik jadi sasau, sanggup lakukan apa sahaja. Tipu (semacam mesti), samun (kita perlukan Robin Hood dan Zoro?), duit kopi (kopi apa berharga juta-juta?), bunuh (Sonia Gandhi kini meneruskan perjuangan suami), skandal seks (fitnah Zulaikha mengakibatkan Nabi Yusuf dipenjara), kesimpulan utama: Politik berakar nafsu menjijikkan!"

"Paksi politik Islam adalah tauhid, kepercayaan mendalam kepada Tuhan. Kalau sudah faham Tuhan Yang Esa paling berkuasa, apa gunanya politikus merebut kuasa? Kuasa sekadar amanah untuk penghuni di bumi. Dalam politik Islam antara tiang utama adalah keadilan. Setiap manusia berhak diberi penilaian adil. Politik Islam jelas sekali murni. Justeru bila berpolitik terasa nikmat manis dan lemak ke inti-inti." Kamu terliur mengenangkan gendang kasturi.

"Hemm, agama menarik. Begitu political." Tamatea tertarik.

"Tentu, setiap ibadah di dalam Islam adalah penyataan politik, kalau tidak, pasti tidak difardukan perhimpunan besar di Mekah sebagai haji atau pertemuan di masjid waktu solat jemaah sebagai deklarasi."

"By the way, Love, kuih Malaysia ini sedap sekali. Love, I love it."

"Tengok siapa buat." Cinta provokatif.

Begitu, cerita Cinta bertemu suami terbaru.

"Kamu perlu belajar dari aku. Lemak manis dan kalau panas, seperti gendang kasturi, garing sekali!"

Kamu ketawa, disambut hilai Cinta. Gendang kasturi begitu menjadi. Dari karipap ke gendang kasturi, pedas panas ke lemak rangup, dari yahudi ke maori. Wow, Cinta memang hebat. Kamu terkesima, jodoh pertemuan di jari Tuhan.

Aduh Cinta, kamu tertanya: Akan adakah yang kelapan?


BALIK