Make your own free website on Tripod.com
BAHASA MELAYU DI SANA SINI

Oleh: DARIPADA EDITOR


PERISTIWA pertama: “Everything’s in English. That’s the language of the IT world …” kata dekan fakulti yang berbangsa Melayu sebuah universiti swasta di Malaysia (New Sunday Times, 31 Januari 1999).

 Peristiwa kedua: “Mari-mari … sila masuk, ambil gambar. Boleh cuba percuma,” kata lelaki Perancis itu kepada sekumpulan pelancong Malaysia yang mengunjungi Menara Eiffel di Paris (New Straits Times, 8 Mac 1999).

 Apakah signifikannya kedua-dua peristiwa itu? Peristiwa pertama memberi gambaran bahawa kedudukan bahasa Melayu di tanah airnya sendiri semakin hari semakin terpinggir. Sebenarnya peristiwa sedemikian sering berlaku dan tidak lagi memeranjatkan. Tetapi mengapakah hal yang demikian dibenarkan terus berlaku? Tidakkah bahasa Melayu berupaya mengungkapkan ilmu, termasuk teknologi maklumat?

 Peristiwa kedua pula memberi gambaran bahawa bahasa Melayu semakin mendapat tempat di luar negara (walaupun semakin terpinggir di negaranya sendiri), dalam hal ini, di Eropah. Menurut yang empunya cerita, P. Selvarani, dia terperanjat apabila disapa dalam bahasa Melayu, apatah lagi di Perancis yang penduduknya amat megah akan bahasa mereka. Menurut Selvarani lagi, bahasa Melayu turut dituturkan di Berlin, London, dan Amsterdam. Penuturnya, orang Turki, orang India, orang Pakistan, dan orang Belanda (selain orang Melayu dan orang Malaysia yang berada di sana yang mungkin tidak berbahasa Melayu). Secara tidak langsung, mereka turut membantu usaha mengembangkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

 Mengapakah mereka berbahasa Melayu? Kerana mereka yakin bahawa dengan komunikasi yang baik, mereka dapat melariskan perniagaan, menurut Selvarani.

 Mengapakah universiti swasta itu tidak menggunakan bahasa Melayu walaupun menerima dukungan yang kuat daripada kalangan orang Melayu yang berpengaruh? Pastinya kerana tidak yakin akan keupayaan bahasa Melayu untuk mengungkapkan ilmu walaupun bahasa itu sudah mengungkapkan ilmu sejak abad ke-14.

 Di Singapura, masyarakat Melayunya mempunyai tanggapan bahawa bahasa Melayu tidak bermutu (Berita Harian, 27 Februari 1999). Adakah hal yang sama sedang berlaku di sini?


BALIK