Make your own free website on Tripod.com
Cat

Oleh: Uthaya Sankar SB


Ayah tiba-tiba pulang pada suatu malam dan mengejutkan kami daripada tidur. Kami pun bergegas keluar rumah. Kemudian kami mengeluarkan mancis dan membakar rumah. Kami sekeluarga berdiri di sekeliling melihat api memusnahkan rumah kami sampai hangus.   

Sejak itu kami merantau dari satu tempat ke tempat lain tanpa mempunyai rumah kediaman. Keadaan seperti ini lebih bagus, kata ayah. Kami tidak perlu memecahkan kepala memikirkan warna apa dinding rumah perlu dicat, cat jenama apa perlu digunakan, mahu mengupah orang mengecat rumah atau mengecat sendiri, berapa tin cat diperlukan dan sebagainya.   Itu baru soal cat. Ayah menyenaraikan puluhan – malah ratusan dan ribuan – masalah yang dapat kami elakkan kerana tidak mempunyai rumah.   “Tapi, ayah,” kata salah seorang daripada kami sambil kami semua duduk dalam kulit kacang tanah suatu hari. “Alamat mana perlu kita gunakan untuk urusan rasmi? Bagaimana dengan pendaftaran sekolah; mahu gunakan alamat mana? Bagaimana kalau ada orang mahu mengutus surat; peminat misalnya.”   

“Gunakan sahaja alamat Parlimen atau alamat Perdana Menteri kita,” ayah menjawab spontan. “Sekurang-kurangnya junk mail tidak akan sampai kepada kita.”   

“Dan kita tak ada peminat,” kata salah seorang daripada kami; tapi tentulah bukan yang bertanya tadi. “Apa kau ingat kita ni Penipu seperti di tangan Marsli N.O? No. Kita adalah nobody.”   

Kami yang lain mengiakan sambil menggeleng. Waktu itu kami sudah pun meninggalkan kulit kacang tanah tempat kami berteduh sambil membelek-belek halaman kumpulan cerita pendek ‘Penipu’ sementara menanti hujan reda.   

“Bagaimana dengan pendaftaran sekolah; mahu gunakan alamat mana?” tanya seseorang di antara kami; entah orang yang sama seperti tadi atau orang lain.   

“Mengapa perlu risau? Kamu semua kan tidak pernah bersekolah,” jawab ayah sambil terus berjalan.   

“Oh, ya!” kata kami semua.   

* * *   

Kami tidak tahu mengapa kami menamakannya Cat. Mungkin kerana tidak pernah ada seekor pun kucing – setahu kami – dinamakan “Kucing” maka kami pun secara spontan menamakannya “Cat”.   

Orang lain tidak boleh mempertikaikan mengapa kucing itu kami namakan Cat. Kalau seekor kucing kami namakan Dog atau Snake, orang dibolehkan mempersoalkan rasional di sebalik pemilihan nama seumpama itu. Tetapi, bukankah ada orang menamakan anjingnya Tiger? Lalu, apa salahnya seekor kucing dinamakan Cat?   

Cat pandai. Dulu ada sebuah jabatan kerajaan membuat iklan kerja kosong bagi ketua jabatan. Khabarnya ketua-ketua terdahulu tua-tua belaka dan bersara tak sampai seminggu selepas memegang jawatan. Jadi, kerajaan memutuskan untuk mencari ketua yang muda dan tahan lama bagi mengetuai jabatan berkenaan.   

Lalu Cat membuat permohonan. Dia @ ia dipanggil temuduga. Penemuduga tidak ada alasan untuk menidakkan hak Cat memohon jawatan yang diiklankan. Cat memenuhi setiap syarat dan kelayakan yang diperlukan oleh seorang ketua jabatan kerajaan. Malah kelayakan itulah, kata Cat, yang membuatkan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam memanggilnya untuk ditemuduga.   

“Kami memerlukan calon yang menguasai lebih daripada dua bahasa asing,” kata penemuduga sambil membulatkan syarat yang sah terdapat dalam iklan di akhbar.   

Lalu Cat pun berpidato dalam bahasa Itali, Jerman, Perancis, Jepun dan Hindi. Cat bercakap tentang konsep Kinder, Kuche, Kirche iaitu idea yang dipraktikkan di Jerman semasa pemerintahan Hitler.   Anehnya keputusan temuduga – yang diterima tiga bulan kemudian – menunjukkan Cat gagal. Kononnya semasa Cat bercakap bahasa Itali, Jerman, Perancis, Jepun dan Hindi, bunyinya sama sahaja: miew-miew-miew.   Bodoh betul penemuduga itu. Bukankah kucing Itali berbunyi miew-miew-miew, kucing Jerman berbunyi miew-miew-miew, kucing Perancis berbunyi miew-miew-miew, kucing Jepun berbunyi miew-miew-miew dan kucing Hindi juga berbunyi miew-miew-miew?   

* * *   

Emak sentiasa marah-marah jika kami yang berjantina lelaki cuba-cuba bermain masak-masak. Atau jika kami yang berjantina lelaki mahu sama-sama main rumah-rumah dengan kami yang berjantina perempuan.   “Sifat-sifat lelaki sejati adalah seperti berikut,” kata emak seraya memetik kata-kata dua ahli feminisme barat bernama Jane Bardwick dan Elizabeth Douvan yang mengkaji cara orang Amerika menjangka kelakuan anak lelaki: “Agresif, tegas, tabah, aktif, tidak dipengaruhi sentimen, rasional serta tidak menunjukkan emosi.”   

Dan jika kami yang berjantina lelaki kecewa – dan keliru – dengan kata-kata emak, lalu pergi memeluk ayah sambil teresak-esak, ayah pula akan berkata: “Kanak-kanak lelaki tidak boleh dan tidak dibenarkan menunjukkan emosi, tidak boleh dan tidak dibenarkan memeluk, tidak boleh dan tidak dibenarkan ada perasaan takut serta tidak boleh dan tidak dibenarkan menangis.”   

Salah seorang daripada kami yang berjantina perempuan cuba mengutip pendapat seorang ahli neuropsikologi bernama Dr James Prescott, lalu berkata: “Kelakuan agresif dan keganasan orang lelaki dewasa adalah disebabkan antara lain oleh kekurangan dakapan dan kekurangan nikmat sentuhan badan semasa tahun-tahun awal kehidupan seseorang kanak-kanak lelaki.”   

Tanpa mengendahkan kata-kata seperti itu, ayah akan meneruskan sambil terus bersandar pada kerusi malas: “Seorang lelaki sejati yang macho tidak pernah berasa takut dan sedih. Kalau ada pun, lelaki sejati perlu tahu menyembunyikan segala satu bentuk emosi. Emosi hanya milik mereka yang berjantina perempuan.”   

Emak pula akan menyambung dengan megah: “Seorang anak lelaki mesti kuat, tidak boleh ada sifat lembut dan kewanitaan, mesti memilih permainan yang agresif, mesti boleh – malah wajib – mengarahkan budak-budak perempuan menurut segala arahannya dan mesti bercita-cita menjadi pemimpin negara.”   

Kerana tidak tahan dengan segala ceramah seperti itu, kami yang berjantina lelaki pun akan mula membuat senapang dan pisau dari kayu. Kami yang berjantina lelaki akan bermain perang-perang. Kami yang berjantina lelaki akan saling berperang dan bertumbuk.   Kami yang berjantina lelaki akan memusnahkan “rumahtangga” yang dibina oleh kami yang berjantina perempuan. Kami yang berjantina lelaki akan membuli kami yang berjantina perempuan sehingga kami yang berjantina perempuan menangis. Melihat itu, kami yang berjantina lelaki akan ketawa bangga.   

Kami yang berjantina lelaki bakal menjadi lelaki sejati yang macho sebagaimana diharapkan oleh ayah dan emak sejak kami yang berjantina lelaki dilahirkan berjantina lelaki.   

Ayah dan emak akan turut tersenyum bangga melihat tindakan kami yang berjantina lelaki membuli kami yang berjantina perempuan. Kata mereka: “Kami bangga kerana kamu semua yang berjantina lelaki bakal menjadi lelaki sejati.”   

Selepas itu, ayah akan kembali bermalas-malas atas kerusi malasnya. Emak pula meneruskan kerja memasak, membasuh, mengemas dan menjaga anak sambil merungut: “Orang lelaki memang tak guna. Masakan wanita mesti buat semua kerja di rumah! Cubalah bermesra dengan anak-anak. Kalau tolong mengemas dan menjaga anak, hilangkah kelelakian mereka?”  

* * *

   Suatu hari, kami sama-sama menangkap Cat dan memasukkannya ke dalam sebuah balang kaca. Kemudian kami membeli setin cat. Kami tidak pasti cat warna apa. Jenamanya pun kami tidak ingat. Tapi khabarnya cat yang kami beli itu dijamin tahan selama lima tahun. Kalau digunakan sejurus selepas pilihan raya, cat itu dijamin akan tahan sehingga pilihan raya seterusnya lima tahun kemudian.   

Lalu kami tuangkan cat itu ke dalam balang kaca berisi Cat. Kami biarkan Cat berendam dalam cat selama hampir sejam. Kemudian kami keluarkan. Tentulah Cat sudah berubah warna mengikut warna cat yang digunakan.   Cat memberitahu kami bahawa dia sebenarnya sudah mati. Tetapi dia masih hidup kerana, katanya, kucing ada sembilan nyawa.   

“Miew-miew-miew,” kata Cat. Maksudnya: Bawa saya ke jabatan kerajaan yang menolak permohonan saya untuk menjadi ketua jabatan.   “Untuk apa?” Tanya salah seorang daripada kami.   

“Miew-miew-miew,” kata Cat. Maksudnya: Jangan tanya!   Kami pun membawa Cat yang sudah berubah warna kerana direndam dalam cat menuju ke jabatan kerajaan yang pernah menolak permohonannya untuk memegang jawatan ketua jabatan.   

Cat minta ditemuduga sekali lagi. Wakil tertinggi dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dipanggil untuk datang menemuduga Cat. Sepanjang temuduga, Cat tidak berkata apa-apa. Bermiew-miew-miew pun tidak. Sepuluh ditanya, kosong dijawab. Seratus disoal, kosong dijawab.   “Bagus! Ketua jabatan beginilah yang kami mahukan. Encik Cat masih punya lapan nyawa, bukan? Jadi, kerajaan melantik Encik Cat sebagai ketua jabatan sehingga Encik Cat mati – atau meninggal dunia – bagi kali kelapan,” penemuduga memutuskan secara kuasa veto.  

* * *

   Kami menghubungi Scott Adams di Northern California. Kartun Dilbert yang dihasilkannya mendapat tempat dalam lebih 1550 akhbar seluruh dunia. Sejak 1993 pula, nombor e-mail disiarkan bersama kartun di akhbar. Jadi, senanglah kami menghubunginya.   

Kami juga banyak meluangkan masa di Dilbert Zone Website. Kami berkenalan dengan Dilbert, Dogbert dan Catbert. Dilbert, si jurutera yang tidak mempunyai mulut serta tali lehernya sentiasa bengkok itu mengeluh: “Saya tidak dihormati di tempat kerja dan saya tidak pernah mendapat date!”   

Catbert sentiasa asyik bermain dengan bebola benang yang diperbuat daripada kakitangan di tempat kerja Dilbert. Sementara itu, Dogbert, si anjing yang berbadan seperti ubi kentang pula berulang kali menyatakan cita-citanya untuk menguasai dunia dan sekaligus memperhambakan umat manusia.   

Dilbert mengirimkan kepada kami buku Dogbert’s Top Secret Management Handbook dan The Dilbert Principle yang diambilnya dari rak buku tanpa pengetahuan Scott Adams.   

* * *   

Cat pandai. Dia telah mendengar segala kata-kata emak dan ayah tentang sifat-sifat seorang lelaki sejati. Cat juga sudah pandai membaca buku. Sekarang Cat sudah menjadi pemimpin yang disegani dalam masyarakat.   Cat yang pernah direndam dalam cat yang entah warna apa itu kini sudah memiliki ciri-ciri seorang lelaki sejati sebagaimana disebutkan oleh ayah dan emak: kuat, tidak ada sifat lembut dan kewanitaan, memilih permainan yang agresif, mampu mengarahkan kaum wanita menurut segala arahannya, tidak memiliki emosi, tidak suka memeluk dan dipeluk, serta semakin bercita-cita menjadi pemimpin negara.   

Cat juga telah memungkinkan kami memiliki sebuah rumah hasil daripada gajinya mengetuai sebuah jabatan kerajaan. Cat juga sering disebut-sebut sebagai bakal menjadi pemimpin tertinggi di negara kami.  Tetapi Cat tetap seekor kucing yang pernah kami rendam dalam sebuah balang kaca berisi cat – entah warna apa – yang dijamin tahan lima tahun sahaja.   Ayah tiba-tiba pulang pada suatu malam dan mengejutkan kami daripada tidur. Kami pun bergegas keluar rumah. Kemudian kami mengeluarkan mancis dan membakar rumah. Kami sekeluarga berdiri di sekeliling melihat api membakar Cat sampai hangus.   


BALIK