SEKULAR, SEKULARISME DAN SEKULARISASI
Antara Astora Jabat dan Kassim Ahmad

Oleh: Kalam Amran Muhammad(E-Mail : Fudzail)


Astora Jabat dan Kassim Ahmad, dua penulis yang sedang mendapat tempat utama di akhbar terbelenggu negara ketika ini mencuba-cuba untuk memberitahu kita semua mengenai sekular dan sekularisme. Mereka bercita-cita untuk membetulkan kekeliruan yang kononnya melanda umat Islam akibat tersalah faham tentang idea sekular dan sekularisme ini. Malangnya bukannya kita semua menjadi lebih faham dengan penerangan mereka tetapi mereka telah menzahirkan kekeliruan yang sebenarnya wujud dalam benak pemikiran mereka kepada kita semua. Bagaimana mereka keliru tentang makna sekular dan sekularisme biar saya jelaskan.

Kassim beretorik dengan menanya kita soalan-soalan "Apakah makna sekular dan sekularisme"? "Adakah faham keduniaan sama dengan faham sekular? "Apakah makna dunia dan akhirat dalam ajaran Qur’an?" "Apakah konsep pembangunan Islam?" Beliau langsung tidak mendefinisikan apakah itu sekular dan sekularisme. Mungkin beliau mengamalkan kaedah soalan Sokratik untuk memberi definisi. Astora pula mengambil pendekatan mendefinisi melalui konsep yang berlawanan dengan mengatakan "sekularisme lawannya fundamentalisme di mana masing-masing membawa erti fahaman dunia dan fahaman kembali pada asal, iaitu agama." Bagi Kassim soal makna yang ingin beliau kemukakan sebelum ini tidak lagi timbul sebaliknya beliau mengusulkan pula apa yang beliau dakwa sebagai falsafah pembangunan ekonomi Islam yang berasaskan tauhid. Bunyinya jelas tetapi penjelasannya kabur. Astora pula seperti mana biasa meneruskan fitnah-fitnahnya terhadap Ikhwan al-Muslimun, Hassan al-Banna dan Dr. Yusof al-Qaradhawi. Tentang kebencian yang amat sangat Astora terhadap nama-nama ini biarlah saya bincangkan dikesempatan lain.

Soal pokok yang yang cuba dikemukakan oleh Kassim dan Astora masih lagi belum diselesaikan. Justeru elok kita cuba menelusuri secara berhemah tentang makna sekular dan sekularisme. Pada tajuk rencana ini, saya menambah perkataan sekularisasi kerana bagi saya ketiga-tiga istilah ini mestilah difahami secara sekaligus untuk kita melihat maknanya yang sebenar. Malah sekularisasilah yang lebih penting kerana ia melibatkan dinamika sesuatu proses iaitu pensekularan. Misalnya kita boleh sebut tentang sekularisasi pendidikan, sekularisasi politik dan juga sekularisasi alam kehidupan. Sekular pula adalah sifat nama bagi sesuatu yang telah mengalami proses pensekularan atau sekularisasi. Kita boleh sebut pendidikan sekular, politik sekular, alam kehidupan sekular. Mengenai sekularisme ia lebih merujuk kepada nama kepada suatu ideologi seperti sosialisme, komunisme, nasionalisme dan seumpamanya. Ketiga-tiga istilah ini sudah tentu mempunyai hubungan yang sangat rapat kerana berasal dari perkataan yang sama. Ketiga-tiga istilah ini berasal dari perkataan Latin saeculum yang menurut Prof. Naquib al-Attas merujuk kepada "keadaan pada tempat dan masa yang tertentu." Tempat dan masa itu menurut Prof. Naquib lagi ialah didunia ini dan pada ketika ini atau kita boleh sebut sebagai sini dan kini, kesinian dan kekinian atau juga kesini-kinian. Justeru saeculum itu merujuk kepada kehidupan semasa semata-mata tanpa sebarang hubungan dengan kehidupan sebelumnya. Pada prinsipnya boleh kita takrifkan seaculum itu sebagai proses pengambilan satu titik ruang-waktu kehidupan secara terputus-putus tanpa menghubungkannya dengan titik ruang-waktu kehidupan yang sebelumnya.

Inilah yang dimaksudkan sebagai sekularisasi yang pada saya lebih mustahak untuk difahami berbanding dengan sekular dan sekularisme yang cuba diketengahkan oleh Kassim dan Astora. Sekularisasi ini jugalah yang telah mula-mula diberi tafsiran ilmiah dan falsafah oleh sarjana-sarjana Barat. Yang paling terkenal dikalangan mereka ialah Marx Weber (1864-1920) yang sebenarnya mengambil dari Friedrich Schiller yang telah pun menulis seabad lebih awal dari Weber. Schiller menggunakan istilah Entgotterung iaitu "menyahkan kekudusan dari kehidupan" manakala Weber memakai istilah Entzauberung iaitu "melenyapkan ketakjuban dari kehidupan." Kemudiannya dari Schiller dan Weber ini, kepada ahli-ahli teologi Kristian seperti Cornelis Peursen dari Leiden dan Harvey Cox dari Harvard, mereka sepakat menyatakan bahawa definisi utama sekularisasi bermaksud (1) melenyapkan ketakjuban kepada alam dan kehidupan (the disenchantment of nature), (2) mencemarkan kemurnian kehidupan berpolitik dan bernegara (the desacralization of politics) dan (3) merobak-rabikkan pegangan nilai, budaya dan tradisi (the deconsecration of values). (Sila rujuk lebih lanjut dari tulisan Prof. Naquib dalam Islam and Secularism beliau mengenai hal ini).   

Oleh yang demikian usahlah Kassim dan Astora berbicara mengenai sekular dan sekularisme tanpa merujuk kepada           asal-usul idea tersebut. Saya berasa amat musykil bila Astora memandai-mandai mengatakan "sekularisme dan fundamentalisme bukan perkara baru dalam Islam dan cerdik-pandai dan ulama memperkatakan topik ini sejak zaman Islam awal lagi." Pada hal beliau menyebut "kedua-dua istilah yang kontroversi ini terbentuk di Barat dan tidak kena mengena dengan kita." Tiba-tiba beliau berkata pula "dalam al-Qur’an, Hadis dan kitab-kitab agama boleh didapati istilah-istilah yang mengandungi ciri-ciri maksud sekularisme dan fundamentalisme ini" Lalu disenaraikan lah entah apa-apa perkataan dari bahasa Arab untuk menunjukkan kononnya kaitan dengan sekularisme dan fundamentalisme. Alangkah bijaknya penulis dari padang-pasir ini memutarkan tulisan-tulisan beliau. Kassim juga tidak kurang canggihnya asyik sahaja dengan teori pesimisnya terhadap umat Islam. Katanya "Hakikatnya umat Islam dalam keadaan kekeliruan fikiran yang besar. Tanda-tandanya banyak: kita bergaduh dan berperang sesama sendiri. Kita berpecah-belah dan tidak boleh bersatu. Kita antisains dan anti ilmu moden. Kita lemah, mundur dan diperkotak-katikkan oleh kuasa besar." Itulah asal-usul sekular dan sekularisme pada faham kedua-dua penulis yang nampaknya begitu aktif kini.   

Pada saya kita tidak boleh membiarkan faham yang keliru mengenai sekular, sekularisme dan sekularisasi yang tidak           berasaskan kepada hujah yang benar disebar-luaskan dalam masyarakat tanpa ditegur dan diperbetulkan. Harus kita sedari bahawa faham sekular, sekularisme dan sekularisasi jika diteliti dari makna asalnya amat berbahaya bukan hanya kepada umat Islam tetapi kepada semua umat yang beragama, berbudaya dan bertradisi. Justeru pertentangan mengenai soal sekular, sekularisme dan sekularisasi ini tidak wajar dipersempitkan sebagai pertentangan dengan Islam semata-mata. Ini kerana bila sahaja proses sekularisasi bergerak ia akan menghapuskan semua agama, budaya dan tradisi Islam dan bukan Islam   


BALIK